10 Februari 2022

Helikopter Leonardo AW 139 ganti Nuri

 

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima empat helikopter Leonardo AW 139 bagi menggantikan helikopter Sikorsky S-61 Nuri yang ditamatkan operasi tiga tahun lalu.

Tiga daripada empat helikopter itu sudah diterima manakala satu lagi dijadualkan diperoleh Mei ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata helikopter itu diperoleh secara sewaan dari sebuah firma swasta sebagai langkah jangka pendek bagi menggantikan Nuri yang digunakan sejak 50 tahun lalu, selain mengurangkan kebergantungan penggunaan helikopter EC 725AP.

"Sewaan helikopter AW 139 ini dilaksanakan atas beberapa sebab, antaranya menampung penugasan helikopter Nuri yang tamat operasi selaras dengan keputusan Kabinet pada 7 Ogos 2019.

"Ia juga bagi mengurangkan kebergantungan penggunaan helikopter EC725AP yang mana Kabinet pada 22 Januari 2020 bersetuju memilih helikopter AW 139 menggunakan kaedah jangka pendek secara sewaan dan perolehan baharu sebagai langkah jangka sederhana," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja sempena Program Pengenalan Pesawat AW139 di TUDM Butterworth.

Hishammuddin turut meninjau unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) yang selesai dinaik taraf.

Beliau berkata, pengoperasian keempat-empat helikopter yang diperoleh menerusi kaedah sewaan berkonsepkan 'Government Operate, Company Own and Maintain' (GOCOM) itu akan dikendalikan oleh Skuadron No 3.

"Kerajaan memilih mengguna pakai kaedah GOCOM kerana ia adalah pendekatan yang amat diperlukan ketika tumpuan kewangan kerajaan ketika ini terarah kepada usaha pemulihan negara dalam era pandemik.

"Dengan kaedah ini juga, tempoh melaksanakan proses perolehan termasuk berkaitan tender dan pembinaan aset dapat dikurangkan," katanya.

Katanya, helikopter AW 139 dipilih kerana kemampuan pesawat itu melaksanakan operasi yang memberikan kepentingan taktikal, operasi dan strategik kepada TUDM serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

Pada masa sama, tegasnya, helikopter AW 139 berupaya melaksanakan peranan dan tugas pelbagai guna serta mampu beroperasi waktu siang dan malam.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, sejumlah 288 unit RKMAT di Pangkalan Udara Butterworth digabung menjadi 144 unit.

Ketika ini, katanya, sebanyak 60 unit sudah siap di bawah Fasa Tiga manakala Fasa Empat membabitkan penggabungan 168 unit menjadi 84 unit akan bermula dalam masa terdekat.

"Ini adalah usaha kita memastikan anggota dan keluarga dapat mendiami perumahan lebih selesa, sekali gus bertugas dengan baik," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.