19 Februari 2022

Karnival Kerjaya JaminKerja tawar lebih 12,000 peluang pekerjaan

 

Sebanyak 12,000 peluang pekerjaan membabitkan 50 majikan akan ditawarkan pada majlis pelancaran Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur esok. Karnival tersebut yang dianjurkan secara kerjasama antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) serta agensinya akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kementerian Kewangan dalam Laporan Kewangan Rakyat yang juga penjenamaan semula bagi Laporan Laksana, berkata terdapat juga aktiviti lain seperti kaunseling kerjaya, sesi temu duga bersama majikan, bantuan pendaftaran Portal Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs.

Menurut MOF, inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) bakal menyediakan 600,000 peluang pekerjaan dan terdiri daripada tiga komponen utama iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, MySTEP serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran membabitkan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion.

Bagi Insentif Penggajian JaminKerja, permohonan dibuka mulai 17 Januari 2022 sehingga 30 Jun 2022 dan boleh dibuat menerusi laman web Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di https://www.myfuturejobs.gov.my/careerfair/, manakala MySTEP yang merupakan program pekerjaan jangka pendek secara kontrak di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan akan dilanjutkan pada tahun ini dengan 80,000 peluang pekerjaan disasarkan.

Untuk permohonan boleh layari http://mystep.mof.gov.my/

Setakat 15 Februari, 2022, program MySTEP menerima sebanyak 5,944 permohonan dan daripada jumlah tersebut, seramai 452 peserta telah pun berjaya ditempatkan di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan juga menyasarkan 220,000 pelatih menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dan sebanyak 5,000 kursus akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Bagi maklumat lanjut mengenai peluang pekerjaan, orang ramai disarankan untuk melayari Portal Manfaat Bajet 2022 di https://budget.mof.gov.my/manfaat/jaminkerja.html dan https://budget.mof.gov.my/manfaat/ untuk maklumat mengenai manfaat lain.

Sementara itu bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya), inisiatif di bawah PERKESO yang menggalakkan pengambilan pekerja dengan menyediakan insentif kewangan kepada majikan atau program latihan kepada pekerja, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.451 bilion kepada 41,892 majikan bagi mengekalkan 304,857 pekerja tempatan.

Bagi inisiatif JaminKerja - Insentif Penggajian (JKIP) pula, peruntukan sejumlah RM2 billion disediakan pada 2022 dan kerajaan berharap usaha ini dapat mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan baharu. 

Sumber dari BERNAMA

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.