24 Februari 2022

Macau Scam kini menyamar jadi LHDN

 

Sindiket Macau Scam dikesan menggunakan taktik baharu dengan menyamar sebagai wakil daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memperdaya mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, pihaknya telah menerima dua laporan polis berhubung penipuan tuntutan LHDN palsu terbabit.

“Dua mangsa lelaki berusia 29 dan 36 tahun itu dipercayai menerima panggilan kononnya daripada seorang kakitangan LHDN mendakwa mangsa mempunyai masalah cukai tertunggak yang belum dijelaskan.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada polis(suspek) yang mana mangsa dimaklumkan bahawa nama mereka terlibat dalam kegiatan jenayah dadah.

“Mangsa diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi dan mengisi maklumat akaun bank peribadi ke dalam aplikasi tersebut sebelum menyedari pengurangan duit dalam akaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kedua-dua mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM19,300 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana telah membuat capaian tanpa kuasa yang sah terhadap akaun mangsa,” ujarnya.

Sumber dari Kosmo!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.