7 Februari 2022

Pampasan 50-60 peratus untuk jemaah tak dapat tunai umrah


Pampasan untuk jemaah umrah yang terpaksa menangguhkan ibadat itu sepanjang penutupan sementara sempadan negara selama sebulan bermula 8 Januari lalu akibat penularan COVID-19, dianggarkan pada kadar antara 50 hingga 60 peratus daripada kos.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata pampasan berkenaan akan dibayar terus oleh Lembaga Tabung Haji (TH) kepada bakal jemaah berkenaan dan mereka yang terkandas serta mengalami kerugian boleh hadir di mana-mana pejabat TH terdekat dengan membawa dokumen berkaitan.

"Proses ini kini dalam penelitian akhir, kita jangkakan akan mendapat senarai penuh jemaah yang mengalami kerugian pada pertengahan bulan ini dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan persatuan umrah.

"Kalau mereka ada akaun TH lebih senang sebab pembayaran akan dimasukkan terus ke akaun bakal jemaah berkenaan. TH akan mengagihkan bayaran pampasan dengan peruntukan disediakan kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MoF)," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Marzuk turut mengingatkan bakal jemaah yang akan menunaikan umrah bermula Selasa ini supaya menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.

"Kebelakangan ini berlaku peningkatan mendadak kes COVID-19. Saya harap jemaah kekal patuh SOP, terutama pakai pelitup muka. Kita mahu pastikan mereka pulang daripada umrah, tidak menyumbang kepada peningkatan kes di negara ini," katanya.

Pada 27 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dilaporkan berkata, kerajaan akan membayar pampasan kepada jemaah umrah yang terpaksa menangguhkan ibadat itu sepanjang penutupan sementara selama sebulan bermula 8 Januari lalu.

Beliau yang diamanahkan Jemaah Menteri untuk bersama MOTAC, MoF, Kementerian Kesihatan (KKM) dan TH untuk menguruskan perkara itu, berkata walaupun tidak dapat memberikan pampasan penuh, kerajaan berharap ia sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada jemaah tanah air.

Terdahulu pada 1 Januari, kerajaan mengumumkan keputusan menangguhkan ibadah umrah buat sementara berkuat kuasa 8 Januari berikutan penularan jangkitan Omicron. Tiga minggu kemudian, Kabinet memutuskan membenarkan semula umat Islam di negara ini ke Tanah Suci mulai 8 Februari.

Sumber dari Berita Harian

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.