12 Mac 2022

BN menang Pilihanraya Johor

 


Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung hari ini dengan memperolehi majoriti mudah apabila memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN telah memenangi 40 kerusi daripada 56 DUN yang dipertandingkan manakala Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan Pakatan Harapan (PH) pula 10 kerusi.

Dalam pada itu, bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menggunakan logo sendiri kali ini memenangi satu kerusi iaitu di DUN Bukit Batu.

Parti MUDA yang baru ditubuhkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd. Rahman juga memenangi satu kerusi di DUN Puteri Wangsa.

Menurut Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Hasni Muhammad, rakyat Johor telah memilih BN dan kemenangan tersebut adalah kemenangan rakyat Johor.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua jentera dari seluruh negara yang telah banyak membantu, saya sedar ini adalah tanggungjawab yang sangat besar.

“Insya-Allah ikhtiar BN akan teruskan komitmen kami dalam memerintah negeri ini. Kami menyeru rakyat Johor untuk terus menjaga Johor Darul Takzim,” katanya ketika mengumumkan kemenangan BN di Johor sebentar tadi.

Kemenangan bergaya tersebut sekali gus mengulangi kejayaan BN pada PRN Melaka pada 20 November tahun lalu.

Lebih menarik, BN merampas beberapa kerusi DUN yang gagal dimenangi mereka dengan majoriti undi besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRUp-14) antaranya DUN Yong Peng.

Beberapa DUN lain antaranya Pekan Nenas yang sebelum ini menjadi kubu kuat PH turut ditawan calon BN dengan majoriti sebanyak 1,308 undi.

Selain itu, DUN Penawar yang dimenangi calon BN, Fauziah Misri turut memperoleh majoriti besar iaitu 7,505 undi manakala DUN Kukup pula majoriti 8,201 undian.

Satu-satunya kerusi DUN Bukit Pasir yang dimenangi Pas pada PRU-14 turut dimenangi lawannya daripada BN.

Pada PRN Johor kali ini, calon BN, Mohamad Fazli Mohamad Salleh memenangi kerusi tersebut dengan memperoleh 6,048 undian dan majoriti 188 undi. 

Sumber dari Kosmo!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.