17 Mac 2022

Solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April

 


Solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal dibenarkan di semua surau dan masjid di Wilayah Persekutuan selaras dengan negara memasuki Fasa Peralihan Endemik pada 1 April 2022.

Kebenaran merapatkan saf itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan pelaksanaan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri ketika mengerjakan solat di masjid dan surau.

Beliau berkata, kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had usia kepada mereka yang sudah menerima vaksinasi COVID-19.

Katanya, masjid dan surau dibenar melaksanakan solat sunat Tarawih 20 rakaat sepanjang Ramadan, manakala Qiamullail dibenarkan di masjid dan surau bermula tengah malam.

"Majlis berbuka puasa, moreh dan sahur dibenarkan di masjid dan surau, manakala makanan digalakkan disediakan secara berbungkus," katanya

Mohd Ajib berkata, aktiviti tadarus al-Quran di masjid dan surau dibenar diadakan pada bila-bila masa bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil.

Beliau berkata, semua kebenaran itu tertakluk kepada SOP ditetapkan selaras nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Diharapkan lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan serta disaran terus bermunajat dan berdoa semoga penularan wabak COVID-19 melanda negara segera dapat dibendung, seterusnya mendapat perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah SWT," katanya.

Umat Islam di negara ini dijangka menyambut Ramadan pada 3 April ini.

Sumber dari Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.