20 April 2022

Bank Dunia jangka krisis kewangan bertambah teruk tahun 2022 ini

 


Bank Dunia mengeluarkan amaran bahawa kebanyakan negara akan mengalami tekanan kewangan akibat hutang dan defisit yang tinggi.

Presiden Kumpulan Bank Dunia, David Malpass, berkata krisis hutang juga dijangka akan menjadi bertambah teruk.

"Sebanyak 60 peratus negara berpendapatan rendah sudah mengalami tekanan hutang atau berisiko menghadapinya.

"Hutang adalah salah satu dari dua masalah berat dalam berdepan perkembangan global," katanya.

Katanya krisis hutang dan penurunan nilai matawang adalah beban yang berat kepada negara miskin.

"Salah satu masalah besar bagi perkembangan global adalah inflasi yang memberikan tekanan besar.

"Dasar perlu diubah untuk meningkatkan bekalan, bukan hanya menaikkan permintaan," katanya.

Mesyuarat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) dan kumpulan Bank Dunia yang bermula semalam akan berlangsung sehingga Ahad ini.

Katanya, adalah penting bagi kerajaan dan sektor swasta menyatakan bahawa bekalan akan meningkat dan dasar negara akan menjana kestabilan matawang bagi menurunkan inflasi serta meningkatkan kadar perkembangan.

Ketua Bank Dunia itu juga berkata beliau sangat bimbang mengenai negara membangun yang tiba-tiba berdepan peningkatan harga bagi tenaga, baja dan makanan serta kemungkinan peningkatan kadar faedah.

Tambah Malpass, berkata perdagangan global masih lagi berdepan kuota, kadar import dan eksport tinggi, kenaikan harga bekalan makanan subsidi dan juga sekatan menghalang eksport produk makanan.

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan bantuan kecemasan bagi ketidakpastian bekalan makanan selain memperkukuh jaringan keselamatan sosial.

Bank Dunia menganggarkan bahawa untuk setiap satu peratus peningkatan harga makanan, seramai 10 juta orang akan terjerumus dalam kancah kemiskinan di seluruh dunia.

Bank Dunia menyediakan kira-kira AS$17 bilion (RM72.3 bilion) setiap tahun untuk meningkatkan keselamatan makanan, sebahagian besar daripada peruntukan tahunan global institusi antarabangsa itu. 

Sumber dari Berita Agensi

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.