26 April 2022

Kad debit Maybank, aplikasi M2U terganggu

 


Urus niaga Maybank menerusi web Maybank2u, Aplikasi M2U, Aplikasi MAE dan penggunaan kad Debit mengalami gangguan dan perlahan mulai jam 9.00 pagi 25 April 2022.

Bank terbesar Malaysia itu dalam kenyataan berkata, gangguan itu adalah susulan volum trafik tinggi yang belum pernah berlaku sebelum ini di seluruh platformnya.

"Maybank ingin memohon maaf kepada pelanggan yang mengalami gangguan perkhidmatan di web Maybank2u, M2U App, MAE App dan penggunaan kad Debit hari ini.

"Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan dan memulihkan perkhidmatan sebaik mungkin. Kami jamin baki dan butiran akaun anda akan kekal utuh dan selamat dengan kami," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Maybank memohon maaf kepada semua pelanggan yang terjejas atas kesulitan yang disebabkan oleh gangguan itu.

"Kami menghargai sikap bertimbang rasa dan kesabaran pelanggan kami dan akan terus memaklumkan kepada mereka secara berkala melalui media sosial rasmi Maybank dan platform M2U," kata kenyataan itu.

Untuk bantuan dan kemas kini lanjut, pelanggan boleh menghubungi Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank di talian 1-300-88-6688 (Malaysia) atau +60378443696 (Luar Negara) atau mengikuti/berkomunikasi dengan bank melalui platform media sosialnya.

Ramai pelanggan Maybank hari ini mendakwa terkejut apabila jumlah wang simpanan mereka menunjukkan angka kosong ketika menyemak akaun masing-masing melalui aplikasi dalam talian bank itu pada pagi Isnin.

Keresahan pelanggan mengenai perkara itu diluahkan mereka di ruangan komen media sosial Maybank.

"Saya rasa panik dan risau. Hampir pengsan sebentar tadi bila semak baki akaun tinggal RM0.00," kata Catherine Alek di Facebook.

Sumber Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.