27 April 2022

Larangan penggunaan 3 kategori kenderaan mikromobiliti - MOT

 


Kementerian Pengangkutan menetapkan larangan penggunaan kenderaan jenis mikromobiliti membabitkan tiga kategori di atas jalan raya berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata larangan itu dibuat menerusi pewartaan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (Kaedah) yang sudah berkuat kuasa pada 17 Disember lalu.

Beliau berkata, tiga kategori itu termasuk moped, Personal Mobiliti Devices (PMD) iaitu skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman atau pun kuasa manusia yang mempunyai kelajuan maksimum 50 kilometer sejam serta Personal Mobiliti Aids (PMA).

"Untuk penggunaan basikal, walaupun tidak dilarang namun ia hendaklah mematuhi semua peraturan yang sudah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Bagi basikal dengan bantuan elektrik atau basikal elektrik, hanya yang memenuhi spesifikasi Malaysia Standard, MS2514: Electric Bicycles (Electric Pedal Assisted Bicycles) Specification dibenarkan digunakan di atas jalan raya," katanya

Ka Siong berkata, penggunaan kenderaan mikromobiliti menerusi percampuran dengan aliran trafik bersama kenderaan lain di jalan raya akan menimbulkan risiko berlakunya tragedi sama seperti nahas basikal lajak yang meragut nyawa lapan kanak-kanak.

Katanya, berikutan itu mana-mana individu yang menggunakan kenderaan berkenaan di atas jalan raya boleh dikenakan kompaun sehingga RM300 seperti diperuntukkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

"Sekiranya membabitkan kemalangan ia akan menjadi satu isu besar kerana tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 41 hingga 44 iaitu memandu secara melulu atau membahayakan atau sehingga menyebabkan kematian.

"Walaupun kompaun yang dikenakan hanya RM300, namun Akta Pengangkutan Jalan boleh digunakan sepenuhnya sekiranya berlaku kemalangan," katanya.

Ka Siong berkata, semua pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta untuk bersama mengawal selia penggunaan kenderaan itu di kawasan masing-masing.

"Bagaimanapun, pihak PBT boleh membangunkan infrastruktur jalan khusus yang mampu menyokong penggunaan kenderaan mikromobiliti yang selamat seperti laluan basikal serta tidak bercampur dengan aliran trafik," katanya.

Beliau turut mengesan terdapat aktiviti perlumbaan membabitkan kenderaan mikromobiliti yang diubahsuai kelajuannya melebihi 50 kilometer sejam.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil kesempatan menggunakan kenderaan ini untuk berlumba terutama ketika musim perayaan kerana kurangnya kenderaan di atas jalan raya di kawasan bandar," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.