16 April 2022

Ramai tertipu taktik bayar wang pendahuluan sebelum pinjaman lulus

 


Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mendedahkan sebarang bentuk pinjaman yang meminta bayaran pendahuluan sebagai syarat merupakan satu penipuan.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, penipuan yang menggunakan taktik itu merekodkan ramai mangsa dan jumlah kerugian juga meningkat saban tahun.

“Sepanjang 2019, sebanyak 5,039 kes telah dilaporkan membabitkan kerugian berjumlah RM48,428,531.93.

“Kes meningkat kepada 5,718 kes dengan kerugian RM62,397,559.35 pada 2020 manakala 4,784 kes dengan kerugian RM50,604,323.67 pula direkodkan pada 2021.

“Bagi 2022 sehingga April ini, sejumlah 903 kes telah dicatatkan membabitkan kerugian RM8,849,603.14,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, analisis pihaknya mendapati satu-satunya cara pihak sindiket mendapatkan wang mangsa adalah melalui bayaran pendahuluan yang kononnya perlu dibayar oleh mangsa sebelum pinjaman diluluskan.

“Pelbagai alasan digunakan untuk mendapatkan bayaran pendahuluan antaranya bayaran guaman, bayaran perjanjian, bayaran insurans, bayaran kenaikan kredit, Sistem Maklumat Rujukan Semakan Kredit (CCRIS)/bayaran CTOS, bayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bayaran pengaktifan akaun dan sebagainya.

“Hakikatnya, perkara itu adalah bertentangan dengan kaedah pinjaman wang yang tidak dipraktikkan oleh institusi perbankan atau syarikat pinjaman wang berlesen yang mana sebarang wang proses atau yuran yang perlu dibayar akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada jumlah pinjaman,” katanya.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati. Sebarang nasihat berkaitan jenayah komersial orang ramai boleh merujuk kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-2610 1599.

Sumber : Kosmo!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.