24 April 2022

SEMy2030 sasar 10,000 perusahaan sosial berdaftar menjelang 2030

 


Kerajaan menyasarkan seramai 10,000 bilangan perusahaan sosial yang berdaftar menjelang 2030 di bawah Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMy2030).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, konsep penjanaan impak melalui aktiviti keusahawanan sosial kini mendapat perhatian dan diiktiraf sebagai elemen penting dalam menangani permasalahan sosioekonomi semasa.

“Di sebalik pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi keusahawanan sosial negara, Malaysia berpotensi  besar dalam membangunkan lebih banyak perusahaan sosial tempatan.

“Dengan bantuan dan sokongan kerajaan, beberapa perusahaan sosial di Malaysia telah mencapai kejayaan  sekali gus menyumbang kepada agenda pembangunan sosioekonomi negara,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian SEMy2030 di LaLaport, Bukit Bintang di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar.

Ismail Sabri berkata, bagi memastikan pencapaian objektif dan sasaran dasarnya, SEMy2030 telah membangunkan lima teras strategik, 20 strategi dan 45 inisiatif.

“Tumpuan Rangka Tindakan termasuklah membangunkan kerangka kawal selia dan tadbir urus yang efektif untuk memastikan perusahaan sosial di Malaysia mempunyai tanggungjawab dan akauntabiliti selain membina kepercayaan rakyat dan sektor swasta.

“Selain itu, usaha bersepadu akan diambil untuk memperkukuhkan pelaksanaan dasar dan penyelarasan serta pemantauan dan pengukuran impak program pembangunan keusahawanan sosial yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi,” ujarnya.

Sementara itu, Noh berkata, melalui SEMy2030 juga, kerajaan menyasarkan sebanyak 95,000 bilangan pekerjaan dapat diwujudkan menjelang tahun 2030 oleh perusahaan sosial yang berdaftar.

“Buat masa ini, seramai 414 perusahaan sosial telah berdaftar di bawah SEMy2030. Susulan daripada itu juga, sebanyak 3,900 pekerjaan telah diwujudkan buat masa ini.

“Melalui ekosistem yang mantap, saya percaya lebih ramai lagi usahawan sosial akan dapat dilahirkan dalam kalangan keluarga Malaysia yang seterusnya akan memberikan impak yang positif kepada pertumbuhan ekonomi, kelestarian dan kemampanan alam sekitar serta peningkatan kualiti kehidupan masyarakat,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis perasmian tersebut.

Ditanya adakah terdapat sebarang kos pelaburan oleh kerajaan bagi menjayakan SEMy2030, Noh berkata, kerajaan membantu dengan memberikan pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh tiga tahun bagi syarikat yang berdaftar dengan KUSKOP.

“Langkah ini bagi menggalakkan syarikat-syarikat ini membantu dalam perusahaan sosial,” ujarnya. 

Sumber dari Kosmo!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.