28 April 2022

Tak wajib pelitup muka di luar mulai 1 Mei 2022

 





 Pemakaian pelitup muka di luar bangunan tidak lagi diwajibkan, bermula Ahad ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pemakaian pelitup muka digalakkan di luar bangunan, terutama di kawasan sesak seperti bazar Ramadan, pasar malam serta stadium.                

"Selain itu, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan apabila berada dalam bangunan, termasuk gedung beli belah dan pengangkutan awam, termasuk e-hailing.

"Penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan peraturan-peraturan di bawahnya akan dikenakan ke atas individu yang gagal mematuhi arahan pemakaian pelitup muka," katanya dalam sidang media khas hari ini berhubung kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik.

Pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah atas pilihan tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan.

Khairy berkata, pelitup muka boleh ditanggalkan sekiranya bersendirian di dalam suatu ruang atau ketika makan, minum, berucap dan membuat persembahan.

"Pemakaian pelitup muka terutama di dalam bangunan dan pengangkutan awam masih lagi penting untuk melindungi diri serta orang sekeliling khususnya mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak serta individu terimunokompromi," katanya.

Khairy berkata pelitup muka tidak diwajibkan di luar bangunan selepas mengambil kira risiko penularan jangkitan yang rendah dalam keadaan di mana ventilasinya adalah baik.

Beliau juga berkata prosedur operasi standard penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan kini tidak lagi diperlukan selepas mengambil kira semua aktiviti telah dibenarkan dengan penggunaan 100 peratus kapasiti ruang.

"Namun begitu, penjarakan fizikal digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka," katanya.

Khairy juga mengumumkan bahawa solat sunat Aidilfitri tahun ini dibenarkan dengan kapasiti 100 peratus namun semua jemaah perlu memakai pelitup muka ketika bersolat dan sepanjang berada di masjid atau surau.

Turut dibenarkan ialah takbir hari raya di masjid, surau dan rumah ke rumah dengan sentiasa memakai pelitup muka.

Aktiviti lain dibenarkan dengan keperluan memakai pelitup muka adalah jamuan selepas solat di masjid atau surau, program ziarah, ziarah tanah perkuburan serta rumah terbuka atau majlis hari raya sama ada secara indoor (dalam bangunan) atau outdoor (terbuka).

"Protokol ini adalah sebagai panduan umum, namun ia tertakluk kepada ketetapan dan SOP (prosedur operasi standard) oleh pihak berkuasa agama negeri," katanya.

Semua aktiviti yang dibenarkan itu bagaimanapun tidak boleh dihadiri oleh individu yang positif COVID-19 atau bergejala.

"Semua individu atau jemaah terbabit perlu mengelakkan 3S (kawasan yang sesak, sempit dan sembang atau bertutur dengan jarak dekat)," katanya.

Beliau menasihatkan jemaah masjid atau surau untuk berwuduk di rumah serta membawa sejadah masing-masing dan memasuki premis berkenaan mengikut giliran bagi mengelak kesesakan serta bersurai dengan tenang.

"Semua boleh balik kampung dan enjoy your (menyambut) Hari Raya dalam keadaan selamat," katanya.

Individu boleh dilepaskan pada hari keempat jika diuji negatif

Dalam sidang media sama, Khairy berkata, individu positif COVID-19 yang sedang menjalani arahan pengasingan di rumah (HSO) boleh dilepaskan pada hari keempat sekiranya disahkan negatif menerusi ujian saringan semula.

Ujian berkenaan perlu dilakukan menggunakan RTK-Ag kendiri di bawah penyeliaan pengamal perubatan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sama ada secara fizikal ataupun secara maya.

"Keputusan ujian perlu dimasukkan ke dalam sistem eCOVID oleh pengamal perubatan bagi memastikan integrasi data dengan aplikasi MySejahtera dapat berlaku dalam tempoh kurang daripada satu jam, agar individu terbabit segera dapat perintah pelepasan daripada pengasingan apabila keputusan ujian negatif.

Bagaimanapun, sekiranya masih positif, individu terbabit perlu melengkapkan tempoh pengasingan selama tujuh hari. Sekiranya individu tidak memilih untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19, maka pelepasan akan diberikan secara automatik setelah menjalani HSO selama tujuh hari.

Kelonggaran terbabit dibenarkan mulai 1 Mei ini dan ia terpakai ke atas individu yang sedang menjalani pengasingan.

Berkuat kuasa pada tarikh sama juga, aktiviti bersalaman ketika bertemu turut dibenarkan namun perlu sentiasa mencuci atau membersihkan tangan.

"Jangan sentuh muka selepas bersalaman," katanya.

Beliau berkata berkuat kuasa 15 Mei pula, semua senarai aktiviti yang tidak dibenarkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) terbitan 1 April 2022 akan digugurkan.

"Agensi berkaitan sedang menyediakan protokol bagi pengoperasiannya," katanya.

Ujian pengesanan COVID-19 ke atas tiga kumpulan pengembara digugurkan

Sementara itu, keperluan melakukan ujian pengesanan COVID-19 sebelum berlepas ke Malaysia dan semasa ketibaan bagi tiga kumpulan pengembara digugurkan berkuat kuasa 1 Mei ini.

Mereka terdiri daripada pengembara berusia 13 tahun ke atas yang telah lengkap vaksinasi; mempunyai sejarah jangkitan COVID-19 dalam tempoh enam ke 60 hari dari tarikh sembuh sebelum berlepas ke Malaysia; dan pengembara berusia 12 tahun ke bawah tanpa mengira status vaksinasi.

Pengembara dengan status vaksinasi tidak lengkap atau belum menerima vaksinasi perlu melakukan ujian prapelepasan dua hari sebelum berlepas ke Malaysia menggunakan RT-PCR atau RTK-Ag Professional.

Mereka juga perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan menggunakan RTK Antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta sama ada secara fizikal atau maya.

"Mereka masih perlu menjalani kuarantin wajib selama lima hari di tempat penginapan termasuk rumah. Mereka perlu menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK-Ag professional pada hari kelima," katanya.

Pengembara yang dikesan bergejala semasa berada di pintu masuk antarabangsa negara akan diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan RTK-Ag profesional. Polisi sama digunapakai bagi semua kategori pengembara termasuk umrah, haji dan pekerja asing.

"Semua pengembara masih perlu mengemukakan Kad Pengembara (Traveller's Card) yang dipaparkan dalam aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa," katanya.

Bagi pengembara umrah dan haji, beliau berkata mereka dikehendaki mendapatkan vaksinasi dos penggalak sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Dalam pada itu, beliau berkata insurans COVID-19 bagi pengembara bukan warganegara Malaysia tidak lagi menjadi prasyarat kemasukan ke Malaysia.

Sumber dari Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.