15 Jun 2022

31,598 entiti tidak lapor pendapatan sebenar - LHDN

 


Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan sebanyak 31,598 entiti terdiri individu, perniagaan, syarikat dan lain-lain yang masih tidak melaporkan pendapatan sebenar.

LHDN dalam satu kenyataan hari ini, berkata amaun ketirisan cukai langsung dialami oleh negara dianggarkan bernilai RM665 juta dan nilai anggaran ketirisan itu adalah satu amaun yang signifikan dan mampu memberi impak negatif kepada kestabilan ekonomi negara jika ia tidak segera dibendung.

Ia menambah pengesanan entiti itu dibuat berdasarkan maklumat melalui pemilikan aset dan kemampuan entiti terbabit mengambil pinjaman/sekuriti melebihi RM500,000 dan ke atas.

"Bagi tujuan itu, tempoh masa yang diberikan kepada mereka untuk mengambil tindakan seperti yang dinasihatkan ialah selama sebulan iaitu bermula dari 15 Jun hingga 15 Julai 2022," katanya.

Selepas tempoh sebulan itu tamat, LHDN akan mengambil tindakan penguatkuasaan cukai seperti audit, siasatan sivil dan siasatan jenayah terhadap entiti dan individu berkenaan yang masih gagal patuh menghantar Borang Nyata Cukai bagi sesuatu Tahun Taksiran, mengemukakan penyata yang salah, dan mengelakkan diri daripada dikenakan cukai.

"Tindakan siasatan jenayah akan memberi implikasi pendakwaan di mahkamah. Ketidakpatuhan dan pelarian cukai ini dikenakan tindakan mengikut kesalahan di bawah Seksyen 112, 113 dan 114 Akta Cukai Pendapatan 1967," katanya. 

Sumber : BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.