1 Jun 2022

Bank Muamalat lancar khidmat pentaksiran zakat

 


Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat) melancarkan khidmat pentaksiran zakat di kaunter secara percuma di kesemua 20 cawangannya di Kuala Lumpur dan Selangor bermula 31 Mei 2022.

Perkhidmatan tersebut disediakan melalui kerjasama dengan Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), bertujuan membantu merancakkan kutipan zakat.

Ketua Bahagian Shariah Bank Muamalat, Mohd. Izuwan Mahyudin berkata, servis baharu itu, ditambah dengan penyediaan khidmat pembayaran zakat di Bank Muamalat yang telah tersedia sebelum ini melengkapkan ekosisten pengurusan kekayaan Islam yang ditawarkan.

“Memang kami ada khidmat pembayaran zakat di kaunter, tetapi orang ramai biasanya ingin tahu berapa jumlah sebelum dibayar.

“Justeru, hari ini kami sertakan sekali khidmat untuk membuat pengiraan.

“Dalam fasa awal sekarang, perkhidmatan ini tersedia di semua cawangan kami di Kuala Lumpur dan Selangor namun kami memang menyimpan hasrat untuk memperluaskannya di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran yang diadakan di Muzium Kesenian Islam Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin.

Pada majlis berkenaan, Bank Muamalat turut menyampaikan sijil penyertaan kepada 20 kakitangannya yang telah menghadiri kursus pentaksiran zakat.

Sumber : Kosmo!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.