26 Jun 2022

Elaun warden sekolah asrama KPM naik 25 peratus mulai 1 Ogos

 


Kadar elaun warden di sekolah berasrama bawah Kementerian Pendidikan (KPM), akan dinaikkan sebanyak 25 peratus mulai 1 Ogos depan, selepas kali terakhir ia disemak pada 1997.

Dengan kenaikan itu nanti, kadar baharu elaun ketua warden ialah RM350 sebulan, manakala warden pula RM300.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata KPM turut menambah seramai 3,813 lagi warden asrama menjadi 9,868 orang, meningkat 63 peratus berbanding 6,055 sebelum ini.

"Sebagaimana saya jelaskan sebelum ini, KPM sentiasa berusaha menambah baik portfolio warden asrama di 1,874 sekolah berasrama bawah KPM.

"Dengan peningkatan jumlah warden asrama ini, maka penggiliran jadual bertugas warden akan dapat dilaksanakan di semua sekolah berasrama bawah KPM," katanya dalam pengumuman disiarkan melalui media sosial beliau, hari ini.

Radzi berkata, kedua-dua penambahbaikan itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM19 juta.

Beliau berkata, ia adalah implikasi kewangan tambahan dalam konteks penambahbaikan yang akan dilaksanakan.

"Penambahbaikan ini akan mula dilaksanakan pada 1 Ogos 2022, Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi pihak KPM untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan atas kelulusan diberikan kepada cadangan KPM untuk kedua-dua penambahbaikan ini.

"Pada masa sama, KPM akan terus berusaha menambah baik portfolio warden asrama di sekolah asrama bawah KPM. Kita doakan yang terbaik untuk semua," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.