17 Jun 2022

iProperty bantu pembeli, penjual dapatkan data hartanah

 


Portal hartanah utama pasaran, iProperty.com.my memperkenalkan ciri baharu, iProperty Transaction Section, instrumen untuk membantu pembeli dan penjual hartanah mendapatkan data transaksi.

Pengarah Produknya, Shah Suriye Rubhen, berkata ciri terbaharu portal itu menyediakan data transaksi hartanah sebenar di mana-mana kawasan di seluruh negara.

"Anda boleh mengecilkan jenis hartanah, sama ada rumah teres, banglo, berkembar dan sebagainya dan melihat harga daripada sudut berbeza termasuk harga median dan harga bagi satu kaki persegi.

"Ini akan memberikan rakyat Malaysia pusat rujukan yang baik semasa mereka membeli atau menjual hartanah," katanya kepada pemberita semasa majlis pembentangan mengenai ciri terbaharu portal itu.

Pengguna juga boleh melihat butiran terperinci mengenai hartanah yang tersedia untuk dijual dan disewa dan melihat data transaksi terkini manakala penjual hartanah akan dapat menganalisis trend pasaran dan sejarah data transaksi.

Bahagian iProperty Transaction Section boleh diakses menerusi https://www.iproperty.com.my/transaction-price/.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai kadar penghunian ruang pejabat dan komersial di tengah-tengah trend keanjalan bekerja dari rumah, Pengurus Negara iProperty bagi Malaysia, Shylendra A S Nathanm berkata berdasarkan kaji selidiknya, syarikat-syarikat masih sedang menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa ketika Malaysia beralih ke fasa endemik.

Bagaimanapun, katanya terdapat peningkatan permintaan terhadap hartanah di luar kawasan bandar dengan ruang lebih besar bagi memenuhi keperluan rumah-pejabat dan kehidupan lestari yang dilengkapi dengan infrastruktur berkonsepkan hijau yang dibina dengan baik.

"Permintaan dalam suasana pasca COVID-19 sudah berubah, tidak seperti sebelum ini di mana semua orang mahu tinggal hampir dengan tempat mereka bekerja, terutamanya di bandar.

"Kini, dengan pelaksanaan kerja secara hibrid, pembeli mula mencari hartanah yang lebih besar dengan kos efektif di luar bandar," katanya.

Sumber : BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.