10 Jun 2022

Lebih 1,000 rakyat Malaysia tertipu jadi scammer di luar negara

 


Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA memaklumkan pihaknya me­nerima sebanyak 74 kes membabitkan sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan di luar negara bagi tempoh Januari lalu sehingga semalam.

Ketuanya, Datuk Seri Micheal Chong berkata, daripada 74 kes itu, 23 individu berjaya diselamatkan dengan 11 individu berjaya kembali ke tanah air.

“Sejumlah 12 lagi masih berada di pusat tahanan di negara luar.

“Daripada 74 kes itu juga, sebanyak 45 laporan polis adalah yang dibuat oleh ahli keluarga mangsa sendiri,” ujarnya pada sidang akhbar di sini semalam.

Jelas beliau, pihaknya me­nganggarkan kemungkinan lebih 1,000 mangsa yang terpedaya dengan sindiket penipuan dan telah diseludup ke luar negara.

“Kita percaya kebanyakan mangsa terbabit terdiri daripada golongan muda yang berusia seawal 14 tahun,” katanya.

Justeru itu, Micheal menasihati orang ramai agar lebih peka dan berhati-hati dengan tawaran kerja yang dilihat di media sosial bagi mengelak menjadi mangsa pemerdagangan ke luar negara.

“Isu pemerdagangan orang ini semakin serius sejak kebelakangan ini ekoran ramai golongan muda kita menjadi mangsa.

“Jadi saya minta orang muda agar berhati-hati dalam memilih tawaran kerja supaya tidak di­eksploitasi oleh sindiket peni­puan yang hanya mahu mengaut keuntungan semata-mata,” katanya.

Sumber : Kosmo!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.