24 Jun 2022

Pekerja boleh mohon aturan kerja fleksibel bermula 1 September

 


Pekerja di negara ini dibenar memohon aturan kerja fleksibel (AKF) kepada majikan masing-masing mengikut pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa 1 September ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata pekerja hanya perlu membuat surat permohonan berkenaan kepada majikan sama ada memohon perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan perubahan tempat kerja.

"Majikan pula perlu memberi jawapan dalam tempoh 60 hari.

"Dalam surat jawapan bertulis majikan kepada pekerja, mereka perlu nyatakan sama ada menerima permohonan atau menolak permohonan dengan alasan yang perlu dinyatakan," katanya selepas Simposium Keharmonian Perusahaan Wilayah Utara

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM), Khalid Jali.

Semalam media melaporkan, sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti bekerja berbanding hari kerja yang pendek seperti empat hari seminggu, mengikut tinjauan oleh Qualtrics syarikat berpengalaman mengendalikan tinjauan secara dalam talian.

Secara keseluruhan, di Asia Tenggara keutamaan untuk fleksibiliti adalah sebanyak 60 peratus memilih minggu bekerja yang lebih singkat.

Awang berkata, keputusan kerajaan dalam AKF itu bagaimanapun tidak 'mengikat' majikan dan ia bergantung kepada kesesuaian agensi serta syarikat masing-masing.

Sementara itu , beliau berkata, pihaknya bersedia membuat kajian mengenai dasar tempoh bekerja empat hari dalam seminggu seperti mula dilaksanakan di beberapa negara maju.

Katanya, kajian mengenai perkara itu perlu dilakukan secara menyeluruh berikutan terdapat majikan yang terkesan atas faktor produktiviti rendah.

"Jadi majikan pun perlu ada kajian tersendiri mengenai perkara ini dan kemudian boleh dibawa dalam perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan JPPM," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.