22 Jun 2022

Syarat Sejarah subjek wajib lulus SPM kekal

 


Kementerian Pendidikan (KPM) tidak bercadang mengkaji keperluan memansuhkan Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) biarpun jumlah calon gagal mata pelajaran itu atau Bahasa Melayu pada SPM 2021 mencecah 12 peratus.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata apa yang penting adalah untuk kementerian mengkaji faktor yang menyumbang kepada keputusan sedemikian selain mencari pendekatan intervensi yang bersesuaian.

"Ia bagi memastikan anak kita yang lahir daripada sistem pendidikan kita ini dapat menguasai subjek Sejarah supaya pada masa akan datang, jumlah murid gagal dapat dikurangkan dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media.

Dalam keputusan SPM 2021 yang diumumkan minggu lalu, seramai 45,514 atau 11.91 peratus calon dilaporkan tidak layak mendapat sijil, sama ada disebabkan tidak lulus mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah.

Sementara itu, Radzi berkata, kementeriannya sudah diarahkan untuk melihat dakwaan berkenaan silibus Matematik Tahun Satu yang dikatakan dirangka dengan standard aras tinggi sehingga membebankan guru dan pelajar.

Beliau berkata, ia bagi melihat sama ada subjek berkenaan rumit atau sesuatu yang boleh menjadi kebiasaan.

"Seperti yang saya sebut sebelum ini, pusingan pertama Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan tamat tahun ini, jadi kita akan semak kembali silibus yang ada," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.