20 Jun 2022

Tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan kekal 30 Jun 2022

 


Tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal pada 30 Jun 2022, namun tempoh pendaftaran kenderaan bagi menikmati insentif pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan itu adalah satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.

Beliau berkata, dengan pembukaan sektor ekonomi, sektor automotif telah kembali beroperasi seperti sedia kala, namun terdapat sejumlah permintaan yang masih belum dapat dipenuhi ekoran gangguan kepada rantai bekalan global. 

Katanya, pada masa yang sama, seluruh dunia sedang menghadapi masalah kekurangan cip mikro semikonduktor yang digunakan secara meluas merentas beberapa industri termasuk industri automotif. 

"Berikutan permasalahan ini, sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah di dalam tempoh pengecualian ini masih belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli.

"Sehubungan itu, bagi membolehkan pembeli yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun 2022 terus menikmati insentif pengecualian cukai jualan ini, sukacita dimaklumkan bahawa tempoh pendaftaran kenderaan itu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023," katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Zafrul berkata, bagi mengekal dan meningkatkan momentum permintaan dan jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kerajaan telah memperkenalkan pengecualian sepenuhnya cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk MPV dan SUV pemasangan tempatan dan 50 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang import (CBU) sejak 15 Jun 2020 dan akan berakhir pada 30 Jun 2022. 

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah terjual dan rakyat telah mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.