16 Julai 2022

MySejahtera kini berwajah baharu, bantu pantau maklumat kesihatan

 


Beberapa ciri baharu bagi memantau dan melihat maklumat kesihatan diperkenalkan dalam aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata aplikasi dengan wajah baharu itu antara lain memaparkan rekod saringan kesihatan dan imunisasi anak masing-masing.

"MySejahtera kini berwajah dan ciri baharu dapat membantu kita pantau dan lihat maklumat kesihatan.

Rekod saringan kesihatan dan rekod imunisasi anak juga boleh dilihat di MySejahtera. Kemas kini aplikasi anda mulai hari ini untuk mendapatkan ciri-ciri baharu ini.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataannya memaklumkan antara ciri baharu yang diperkenalkan ialah rekod imunisasi bayi yang dilahirkan selepas 1 Julai 2022.

Katanya, usaha untuk memaparkan rekod kesihatan dan imunisasi di MySejahtera adalah sebahagian daripada langkah KKM untuk memudahkan orang ramai menyimpan rekod kesihatan mereka secara digital.

"Dengan akses rekod yang lebih mudah, masalah seperti kehilangan buku imunisasi atau tiada simpanan rekod saringan akan dapat diatasi.

"KKM juga berharap aplikasi MySejahtera akan terus memainkan peranan sebagai satu alat untuk orang ramai menukar gaya hidup kepada yang lebih sihat apabila mereka dapat memantau sendiri trend kesihatan dengan lebih mudah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Memperincikan mengenai rekod imunisasi, KKM memaklumkan fungsi itu hanya dapat dilihat di MySejahtera selepas bayi yang baru dilahirkan diberikan suntikan imunisasi Bacillus Calmette-Guerin (BCG) di fasiliti kesihatan yang terbabit dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

"Suntikan imunisasi yang akan terpapar di MySejahtera adalah seperti Tetanus, Hepatitis B, Haemophilis Influenza, Diphteria (D), Tetanus (T) dan Acelullar Pertussia (AP) (DTAP), Measles, Mumps dan Rubella (MMR), Japanese Encephalitis (JE) dan COVID-19 akan dimuatnaik di MySejahtera.

"Buat masa ini, orang ramai masih boleh memilih untuk menggunakan MySejahtera untuk menyimpan rekod vaksinasi anak mereka atau menggunakan buku rekod imunisasi," katanya.

Bagi rekod saringan kesihatan pula, KKM menyatakan aplikasi itu akan memaparkan maklumat kesihatan pengguna MySejahtera yang menjalankan saringan di bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan di Klinik Kesihatan Kerajaan.

"Rekod ini boleh diakses melalui modul 'Rekod Kesihatan' di laman utama MySejahtera. Di bawah modul ini, selain daripada maklumat mengenai ketinggian, berat badan, BMI dan jenis darah, akan ada tiga lagi ciri yang boleh dilihat.

"Ia termasuk Laporan Kesihatan Keputusan Saringan Kesihatan yang dibuat di fasiliti kesihatan; Laporan Keputusan Ujian Makmal oleh makmal hasil daripada ujian tertentu seperti ujian darah serta Vaksinasi iaitu rekod vaksinasi sudah diambil yang bukan sebahagian daripada saringan kesihatan," katanya.

Bagaimanapun, KKM memaklumkan individu yang menjalankan saringan kesihatan dikelolakan oleh agensi seperti ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (PHCorp) melalui program PeKa B40, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui Health Screening Program (HSP), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan lain- lain lagi, maklumat saringan kesihatan mereka hanya akan dipaparkan dalam MySejahtera dalam masa terdekat ini.

"Antara maklumat saringan kesihatan asas yang dipaparkan di MySejahtera adalah berat badan, indeks jisim tubuh (BMI), kumpulan darah, kolesterol dalam darah, gula dalam darah, tekanan darah dan ringkasan dari hasil pemeriksaan bersama doktor termasuk keputusan ujian makmal.

"Maklumat saringan yang lain boleh dimuat naik ke dalam MySejahtera, tetapi ini adalah bergantung kepada jenis saringan yang anda lakukan," katanya.

Bagi rekod saringan kesihatan dan imunisasi di fasiliti kesihatan swasta, KKM berkata rekod saringan kesihatan hanya boleh dimuatnaik sekiranya fasiliti kesihatan itu mempunyai MyVAS.

"MyVAS adalah satu sistem yang digunakan lebih daripada 4,000 fasiliti kesihatan yang sebelum ini turut terbabit dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang kini diguna pakai untuk Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan dan Program Imunisasi Kebangsaan.

"Namun begitu, terpulang kepada fasiliti kesihatan swasta sama ada mereka ingin memuat naik maklumat anda ke dalam MySejahtera. KKM amat mengalakkan mereka untuk berbuat demikian.

"Tiada bayaran yang dikenakan oleh KKM untuk maklumat saringan dan imunisasi dimuat naik ke dalam MySejahtera. KKM dalam perancangan supaya MySejahtera dalam tempoh terdekat boleh menawarkan pelbagai lagi perkhidmatan berkaitan dengan kesihatan.

"Antaranya trend kesihatan, tempahan janji temu kesihatan, perkhidmatan telekonsultasi, input saringan kesihatan kendiri, ikrar menderma organ, urusan berkenaan preskripsi atau ubat-ubatan dan lain-lain lagi," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.