23 Julai 2022

Wany Hasrita sah milik jejaka profesional industri penerbangan

 


Penyanyi Wany Hasrita, 30, selamat bernikah dengan jejaka pilihan, Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 30, dengan dua kali lafaz di sebuah premis acara di Damansara Perdana, di sini, pada jam 9.11 malam tadi.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan Hasbullah Hassan, 56, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Qariah Masjid Al Mukarramah Daerah Petaling, Mat Syaharuddin Al Rasyid Mat Isa.

Pada majlis itu, Wany atau nama sebenar, Nurshazwany Hasrita Hasbullah menerima mas kahwin sebentuk cincin berlian. Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan serta tiada dulang hantaran daripada kedua-dua pihak.

Wany yang popular dengan lagu Menahan Rindu bersyukur majlis dirancang lancar dan berterima kasih kepada keluarga, rakan dan peminat yang sentiasa mendoakan yang terbaik buat dirinya.

"Alhamdulillah, saya bersyukur majlis pernikahan ini lancar dan dipermudahkan Allah.

"Terima kasih kepada emak, ayah, keluarga, rakan-rakan, media dan peminat yang tanpa jemu menitipkan doa yang baik-baik buat saya tidak kira untuk kerjaya mahu pun peribadi.

"Insya-Allah, ini adalah fasa baharu buat saya dan suami. Perjalanan kami masih panjang. Tanggungjawab menjadi isteri dan dalam masa sama bergelar anak seni akan saya cuba berikan yang terbaik.

"Cuma, selepas ini tentu saja keluarga menjadi keutamaan saya.

"Saya berdoa semoga segala-galanya dipermudahkan. Paling penting, saya

mohon semua pihak mendoakan yang terbaik buat saya dan suami dalam melayari bahtera perkahwinan ini," katanya.

Berkongsi mengenai jejaka yang berjaya menambat hati dan bekerja dalam bidang penerbangan di Kuching, Sarawak itu, Wany berkata, mereka mula rapat sejak 2019.

"Kalau diikutkan saya sudah kenal Adib sejak 2010. Ketika itu, saya kenal

dia melalui rakan baik yang juga sepupunya… Kenal macam tu saja.

"Ketika itu pun, saya belum jadi penyanyi lagi. Cuma, pada 2019 barulah kami mula rapat.

"Kami ikut satu sama lain di Instagram (IG) dan banyak berhubung di situ.

"Pada suatu hari, dia melawak mengenai kartun Thomas & Friends. Saya pun boleh layan.

"Sejak itu, kami terus 'ngam' dan saling memahami dalam banyak perkara.

"Tidak ada istilah 'declare' menjadi kekasih dalam perhubungan kami. Masing-masing faham perasaan dan hati. Akhirnya, kami putuskan untuk membawa perhubungan ini ke fasa yang lebih serius," katanya.

Wany yang juga Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 pada 2018, berkata, mereka bertunang pada 26 Februari lalu.

"Apabila sudah rapat, kami terus fikir dan rancang ke fasa seterusnya.

"Apatah lagi ketika itu (pada 2019) masing-masing sudah berumur 28 tahun. Selama ini saya tidak terlalu 'looking forward' untuk berkahwin. Tapi selepas rapat, semuanya 'ngam' dan serasi dari segi semua perkara.

"Malah, dari mula perhubungan ia bukan lagi untuk cuba-cuba tapi memang nak berkahwin. Dia pun sama juga begitu. Itu yang kami ambil keputusan untuk bertunang terlebih dahulu pada 26 Februari lalu di sebuah hotel di Sepang, Selangor.

"Majlis itu hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat saja.

"Kalau diikutkan perancangan nak berkahwin dibuat lebih awal, tapi disebabkan jarak kami di mana dia bekerja di Kuching, masa dan komitmen kerjaya, kami ambil keputusan untuk cari waktu paling sesuai.

"Ditambah pula kita sudah masuk fasa peralihan endemik, jadi kami fikir ini waktu yang tepat," katanya.

Dilihat mengambil sikap berahsia dalam perhubungan yang dibina, Wany yang juga pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) menerusi lagu Belenggu Rindu duet bersama Datuk Jamal Abdillah berkata, perkara itu lebih kepada menghormati peribadi suaminya.

"Bukan rahsia sebenarnya. Saya pun belajar daripada pengalaman sebelum ini yang mana selagi belum ada ketetapan yang sahih dalam perhubungan itu tidak perlu dikongsikan.

"Itu sebab dalam perhubungan kali ini, saya ambil pendekatan begitu. Biar semuanya sudah 'confirm' barulah kita kongsikan.

"Lagi pula dia juga bukan seorang yang cenderung kepada media sosial. Dia tak suka menonjolkan diri apatah lagi di media sosial.

"Jadi saya kena belajar untuk menjaga privasi itu. Walaupun dia jenis tak kisah, tapi saya sendiri yang nak menjaga atas dasar menghormati," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan suami terhadap kerjaya dan status dirinya sebagai selebriti terkenal, Wany berkata, Adib sangat memahami.

"Macam dikatakan, dia bukan jenis 'kaki media sosial'. Disebabkan itu dia tak ambil tahu sangat. Lagu saya pun dia tak tahu banyak, jauh sekali soal gosip. Pendek kata, suami bukan seorang yang minat dalam industri hiburan.

"Alhamdulillah, dia menerima saya seadanya dan sangat baik. Dia memahami kerjaya saya dan tak kacau. Cuma berpesan apa yang perlu dijaga, kena jaga.

"Pendek kata, dia meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada saya untuk menjaga diri. Pada masa sama, dia pun tahu siapa kawan-kawan saya, sebaliknya begitu juga saya," katanya.

Melalui perhubungan jarak jauh selama ini, Wany berkata mereka menjalaninya dengan baik sahaja selain Adib yang juga berasal dari Kuching, Sarawak.

"Kami okay saja 'long distance relationship' (LDR). Kami menjalani hubungan ini macam biasa dan tak ada isu pun. Nak kata keluar bersama, memang jarang sekali.

"Sepanjang tiga tahun ini, boleh kira tak lebih 10 kali. Di IG memang tak pernah letak pun gambar dia. Siapa yang tahu saja tahu," katanya.

Majlis pernikahan itu dihadiri kira-kira 300 tetamu merangkumi kedua-dua keluarga, rakan rapat dan media.

Busana kedua mempelai pula mendapat sentuhan pereka Altelia Amani.

Majlis kesyukuran bagi meraikan pasangan pengantin baharu ini akan diadakan di Cheras, Ahad ini.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.