14 Ogos 2022

Agro Job Fair tawar kerjaya dalam pertanian

 


Penganjuran Agro Job Fair sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, membantu mengubah persepsi golongan muda terhadap peluang pekerjaan dalam sektor pertanian.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Hussin Mahmud, berkata Agro Job Fair itu membetulkan persepsi bahawa kerjaya dalam sektor pertanian tidak hanya berkisar kepada pekerjaan 3D (sukar, bahaya dan kotor), sebaliknya menawarkan pelbagai pekerjaan lain dengan gaji yang lumayan.

"Ada yang berkaitan agromakanan dan tidak kurang juga ada syarikat yang memerlukan pakar teknikal seperti di lapangan teknologi maklumat dan kejuruteraan kerana penggunaan teknologi moden seperti dron dan Internet Kebendaan (IoT) mempelbagaikan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian.

"Contohnya, penggunaan closed house system (sistem ternakan ayam secara tertutup) dalam bidang penternakan, tidak memerlukan pekerja yang ramai, tetapi pada masa sama memerlukan pekerja yang pakar dalam teknologi moden untuk membolehkan teknologi itu dapat diguna pakai dalam pertanian," katanya.

Hussin berkata, Agro Job Fair yang diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menawarkan 15,000 jawatan, dengan majoritinya berkaitan industri ternakan dan perladangan.

Katanya, kekosongan jawatan itu membabitkan jawatan bermula peringkat pertengahan hingga pengurusan di seluruh negara seperti penyelia, pembantu pengurus dan pengurus cawangan pasar raya dan ladang, dengan tawaran gaji antara RM1,500 hingga RM10,000 berdasarkan pengalaman dan kelayakan.

Beliau berkata, setakat Ahad lalu, sebanyak 109 syarikat menyertai Agro Job Fair, antaranya Agro Bank, Padiberas Nasional Bhd (BERNAS), IOI Plantation Sdn Bhd dan CP Malaysia.

Hussin berkata, berdasarkan sambutan diterima, lebih 2,000 pencari pekerjaanmendaftar di Agro Job Fair dan kira-kira 400 daripadanya berjaya diterima terus bekerja oleh syarikat terbabit.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyifatkan penganjuran MAHA bertepatan dengan hasrat kerajaan memperkukuh sekuriti makanan negara, selain memacu pemulihan sektor agromakanan dan membantu usahawan tani menjana sumber pendapatan.

Sumber : BERNAMA


0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.