17 Ogos 2022

Risiko telefon bimbit disambar kilat

 


Telefon bimbit berisiko disambar kilat jika peranti elektronik terbabit sedang dicas dengan wayar pengecas bersambung pada plag ketika berlaku ribut petir.

Pensyarah Fizik Pusat Asasi Sains Pertanian (PASP) di Universiti Putra Malaysia (UPM), Nor Azah Abdul Aziz, berkata kejadian itu boleh berlaku apabila petir menyambar kawasan berhampiran kabel pendawaian elektrik atau telefon.

Katanya, ia sekali gus boleh mengakibatkan kabel terbakar atau meletup seterusnya memberi kesan aliran cas yang berlebihan kepada rumah yang berhampiran.

"Jika terdapat plag yang masih aktif, pada ketika inilah alat-alat terbakar. Jika ada pula yang sedang menggunakan alat-alat berkenaan seperti menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas, menggunakan telefon kabel dan alatan elektrik lain, pada ketika ini renjatan elektrik boleh berlaku.

"Berkemungkinan keadaan ini boleh mengakibatkan kematian berpunca daripada kabel elektrik atau telefon yang terbakar.

"Justeru, apabila berada di dalam rumah, orang ramai diingatkan agar tidak menggunakan alatan elektrik dan telefon bimbit yang sedang dicas ketika petir. Cabutlah plag alat elektrik dengan segera jika ada tanda petir akan berlaku," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit di rumahnya di Kampung Baru Sungai Raya Luar, Lojing, Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, dilaporkan berkata ketika kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, kawasan berkenaan sedang berlaku ribut petir.

Nor Azah berkata, pada dasarnya telefon bimbit mempunyai kuasa yang rendah dan selamat digunakan, bahkan risiko untuk menjadi objek sasaran panahan petir adalah rendah.

Katanya, kebiasaannya, petir menyambar objek yang tinggi seperti pokok dan tidak menolak terdapat risiko seseorang dipanah petir ketika berada di kawasan terbuka.

"Kebanyakan kemalangan atau kematian yang berlaku disebabkan oleh petir itu sendiri. Contohnya, berada di bawah pokok yang disambar petir.

"Jika tiada objek yang lebih tinggi seperti di kawasan terbuka, petir akan menyambar objek yang lebih tinggi daripada tanah.

"Jadi, risiko dipanah petir amat besar jika seseorang melalui kawasan terbuka. Mungkin secara kebetulan berlaku panahan petir pada seseorang yang sedang menggunakan telefon bimbit yang melalui kawasan terbuka dan mengakibatkan kematian," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan segera mencari kawasan perlindungan yang tertutup seperti dalam bangunan dan kereta ketika berlaku petir.

"Elak berlindung di bawah pokok serta kawasan berhampiran aliran cas seperti tiang elektrik dan telefon," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.