9 Ogos 2022

UPSR, PT3 tidak akan diadakan semula

 


Kementerian Pendidikan (KPM) kekal dengan pendiriannya memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) walaupun terdapat permintaan daripada ibu bapa yang mahu ia dilaksanakan semula.

Timbalan Menteri Pendidikan ll, Datuk Mohamad Alamin, berkata

UPSR dan PT3 dimansuhkan kerana KPM mahu melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang dan tidak terhad dalam bidang akademik sahaja.

Beliau berkata, perkara itu sudah diputuskan sebelum ini dan pihaknya berulang kali memberikan penerangan kepada masyarakat serta ibu bapa berkaitan dengan pemansuhan dua peperiksaan berkenaan.

Katanya, keputusan itu dilakukan kerana KPM mahu mengambil pendekatan yang lebih inklusif dan tidak mahu pelajar berkenaan hanya bergantung kepada peperiksaan semata-mata.

"Kita sudah putuskan untuk hapuskan kerana mahu jadikan dan lahirkan modal insan yang berkebolehan dalam banyak bidang lain, bukannya soal akademik semata-mata.

"Kita mahu Malaysia ini bergerak sebagai sebuah negara yang lebih maju, (maka) kita ingin bekalkan negara dengan modal insan yang mempunyai kepakaran pelbagai, bukan hanya dalam bidang akademik tetapi bidang lain juga.

"KPM tidak akan lahirkan modal insan yang hanya berorientasikan peperiksaan, itu tujuan utamanya. Percayalah kita akan bantu negara untuk lahirkan modal insan yang lebih berkebolehan, bukan hanya akademik sahaja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Pegawai Intergiriti Bertauliah (CEIO) Siri 31, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan semakin ramai ibu bapa yang menuntut supaya UPSR dan PT3 dikembalikan dalam sistem pendidikan negara kerana berpendapat KPM masih belum bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai pendekatan tunggal kepada sistem penilaian di sekolah.

Perkara itu disebabkan tiga prasyarat utama PBD masih belum dipenuhi hingga kini sekali gus menambah keresahan ibu bapa terhadap keberkesanan pendekatan baharu berkenaan.

Tiga prasyarat itu ialah bilangan murid yang ideal antara 20 hingga 25 orang dalam kelas bagi memudahkan guru memantau dan menilai; kedua ialah sukatan pelajaran yang tidak terlalu padat bagi memberi laluan kepada pelbagai aktiviti di dalam kelas dan syarat ketiga ialah guru perlu diberikan autonomi sepenuhnya untuk mentaksir murid.

Pada 28 April tahun lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan UPSR dimansuhkan sepenuhnya manakala pada tahun yang sama PT3 turut dibatalkan.

Selaras dengan pemansuhan berkenaan, Radzi berkata, pihaknya akan melaksanakan PBD untuk mengukur pencapaian murid dan pelajar terbabit.

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul manakala PT3 dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Sementara itu, dalam ucapannya sempena majlis berkenaan, Mohamad meminta guru KPM supaya menggunakan media sosial dengan sewajarnya kerana secara tidak langsung mereka membawa imej kementerian kepada umum.

Beliau berkata, KPM sudah mengeluarkan Garis Panduan dan Etika Penggunaan Media Sosial bagi Guru dan Murid pada Januari 2017, untuk menerangkan tatacara, peraturan serta kawalan kandungan media sosial yang perlu dipatuhi oleh guru dan murid supaya penyebaran dan perkongsian maklumat terkawal, selain tidak menjejaskan kepentingan perkhidmatan awam juga kedaulatan negara.

"Dokumen ini dengan jelas menyatakan perkara yang dilarang dilakukan oleh guru dan murid ketika menggunakan media sosial antaranya membuat sebarang penyataan menyentuh perkara yang boleh menjejaskan imej dan dasar kerajaan.

"Sebenarnya kementerian sudah selangkah ke hadapan untuk mengawal risiko penggunaan media sosial dengan mewujudkan dokumen ini. Oleh itu, perlu untuk setiap warga kementerian, ibu bapa dan murid sekolah cakna akan kewujudan dan garis panduan ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) Datuk Idris Zaharudin dalam ucapannya pula berkata KPM adalah kementerian pertama yang melaksanakan program CeIO secara 'in house' bersama MACA membabitkan 57 pegawai kanan.

"Ini menunjukkan KPM komited dalam memartabatkan nilai integriti khususnya pada warga KPM. Program CeIO ini dilihat selari dengan visi dan misi KPM untuk membangunkan potensi individu bagi melahirkan insan terdidik," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.