21 September 2022

63,000 kes tipu babit kerugian lebih RM1.3 bilion kurang tiga tahun

 


Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan lebih 63,000 kes bagi lima jenis penipuan yang paling kerap dilaporkan di negara ini dalam tempoh kurang tiga tahun.

Ia membabitkan kes Macau Scam, penipuan e-dagang, pinjaman tidak wujud (PTW), penipuan pelaburan dan love scam.

Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Komputer/ Internet/ Harta Intelek/ Cakera Optik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Superintendan Madhavan Nair Unnikrishnan, berkata sebanyak 63,267 kes penipuan berkenaan direkodkan antara 2020 hingga Ogos 2022.

Katanya, semua kes dalam tempoh berkenaan membabitkan jumlah kerugian melebihi RM1.39 bilion.

"Lima jenayah berkaitan siber paling banyak menyumbang pada jumlah kes dan kehilangan wang dalam tiga tahun ini dengan jumlah tertinggi adalah Macau Scam dengan 17,870 kes membabitkan kerugian RM740 juta.

"Ia disusuli penipuan e-dagang yang meningkat ketara ketika pandemik dengan 21,871 kes dilaporkan, dengan jumlah kerugian RM204 juta.

"Kes PTW pula banyak menjadikan mereka yang terdesak dan amat perlukan wang sebagai mangsa, dengan 12,696 kes dilaporkan membabitkan RM138 juta.

"Kes pelaburan pula antaranya membabitkan tawaran pulangan sehingga 200 peratus dalam 24 jam. Ia tidak masuk akal namun tetap ada yang percaya dengan 7,241 kes dan kerugian RM155 juta, selain love scam yang mencatat 3,589 kes dengan kerugian RM155 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Konvensyen Pegawai Keselamatan ICT Malaysia (ICTSO) 2022 di sini, hari ini.

Madhavan memaklumkan masih ramai individu terperangkap dengan taktik penipuan itu meskipun sudah menyedari mengenai kewujudan jenayah berkenaan, termasuk dalam kalangan golongan profesional yang berpendidikan tinggi.

"Ada satu kes love scam membabitkan seorang doktor dengan kerugian RM1.3 juta. Ketika disiasat, beliau akui tahu bawa ada kes penipuan seumpamanya, namun tidak terfikir mengenainya ketika menjadi mangsa," katanya, memaklumkan PDRM sedang meningkatkan program kesedaran mengenai penipuan.

Madhavan meminta orang ramai untuk tidak terpedaya jika menerima panggilan mendakwa daripada PDRM, bank, pejabat pos atau mana-mana agensi yang meminta maklumat peribadi atau sejumlah wang.

"Agensi seperti polis dan lain-lain hanya akan hubungi jika mahu tetapkan janji temu. Jika anda ragu dengan panggilan bank pula, tamatkan panggilan dan hubungi semula atau pergi terus ke bank berkenaan untuk pengesahan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai isu kehilangan wang dalam akaun, Madhavan menjelaskan kebanyakan kes yang disiasat PDRM mendapati ia berpunca daripada kecuaian pengguna yang mendedahkan maklumat peribadi, sama ada secara sedar atau tidak.

"Daripada pengalaman kami apabila menyiasat mangsa, kes kehilangan wang dalam akaun berlaku kerana kecuaian mangsa yang mendedahkan maklumat peribadi ketika dihubungi penipu atau kaedah lain-lain.

"Dulu ketika ada banyak kes sebegini, PDRM adakan pertemuan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan putuskan supaya bank perkenal fungsi keselamatan yang lebih terperinci dan jumlah kes sebegini menurun.

"Namun, masih ada yang berlaku. Bila disiasat, memang kita dapati mangsa ada dedahkan maklumat peribadi," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.