17 September 2022

Banda Hilir saksi upacara tandatangan Buku Watikah Pengisytiharan Malaysia

 


Buku Watikah Pengisytiharan Malaysia yang menjadi simbolik sambutan Hari Malaysia, buat julung kali ditandatangani di Semenanjung pada sambutan edisi tahun ini.

Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, di sini, malam ini, menjadi saksi upacara simbolik menandatangani watikah itu yang ditandatangani wakil kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Persekutuan diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Ketua Menteri Sabah II, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan.

Majlis itu disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, di hadapan ribuan ahli Keluarga Malaysia.

Terdahulu pada awal upacara itu, buku dibawa ke pentas utama oleh empat etnik yang mewakili masyarakat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak selain diiringi Keluarga Malaysia pelbagai kaum.

Upacara itu adalah acara tradisi setiap kali sambutan Hari Malaysia sebagai simbolik dan memperingati sejarah pembentukan Malaysia hasil gabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963.

Buku watikah itu diperkenalkan sejak 2010 dan mengandungi kompilasi watikah yang ditandatangani wakil kerajaan Persekutuan, Sabah serta Sarawak pada edisi sambutan Hari Malaysia terdahulu dan buku itu disimpan di Jabatan Arkib Negeri Sabah.

Kompilasi dokumentasi bertulis itu sebagai simbolik memperingati dan mengenang sejarah pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara.

Uniknya, kulit buku catatan rasmi perayaan Hari Malaysia itu dihiasi dan dibaluti tenunan bermotifkan corak etnik tempatan Sarawak, Sabah dan Semenanjung yang disaluti emas selain disimpan rapi dalam kotak khas seberat hampir 25 kilogram yang diperbuat daripada kayu jati.

Watikah Pemasyhuran Malaysia yang pertama ditandatangani Perdana Menteri pertama dan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pada 16 September 1963 dalam bahasa Malaysia dengan tulisan jawi serta bahasa Inggeris.

Watikah Pemasyhuran Malaysia adalah dokumentasi penting mengenai pembentukan Malaysia antaranya menyatakan Malaysia kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan selain sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan.

Watikah pertama itu yang diperbuat daripada kulit kambing bersaiz 70 sentimeter (sm) panjang dan 50 sm lebar yang kini disimpan di Arkib Negara.

Dianggarkan lebih 50,000 pengunjung hadir pada Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, di sini malam ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah itu melebihi daripada sasaran pihaknya iaitu seramai 20,000 pengunjung.

"Saya belum dapat laporan penuh lagi, tetapi melihat kepada kepadatan di sekitar lokasi sambutan, saya percaya ia mencapai antara 40,000 hingga 50,000 orang," katanya selepas acara perasmian sambutan itu tamat lewat malam ini.

Penganjuran Sambutan Hari Malaysia selepas ini dijangka kembali ke Sabah atau Sarawak dan tahun berikutnya diadakan semula di Semenanjung supaya semua rakyat dapat merasai kemeriahan sambutan itu.

Sumber : Harian Metro

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.