12 September 2022

Bangkai helikopter ditemui di Bidor, Perak

 


Mayat juruterbang dan bangkai helikopter Eurocopter EC120B yang terhempas di Bidor, Perak, semalam, ditemui berhampiran Kampung Kenangan jam 8.18 pagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo, berkata pesawat pendaftaran N409HH itu ditemui oleh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), RESCUE01.

"Combat Air Rescue (CAR) TUDM berada di darat untuk membantu membawa mangsa dari lokasi kejadian.

RESCUE01 membawa mangsa dan mendarat di Padang Sekolah Anderson jam 10.30 pagi sebelum dibawa ambulans ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.

"Bagaimanapun, mangsa tidak sedarkan diri ketika misi menyelamat dijalankan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Voo berkata, penyelarasan mencari dan menyelamat (SAR) di Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) tamat sebaik semua unit SAR kembali ke pangkalan dengan selamat.

"Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

"CAAM ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota pasukan SAR daripada TUDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Terima kasih juga kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua organisasi yang terbabit dalam misi SAR ini," katanya.

Juruterbang helikopter yang terputus hubungan dengan KLATCC di Bidor, semalam ditemui maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, dipetik berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58, warga Hong Kong.

Semalam, sebuah helikopter jenis Eurocopter hilang selepas terputus hubungan dengan KLATCC jam 12.16 tengah hari.

Helikopter milik syarikat swasta itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang pada jam 11.37 pagi dengan seorang juruterbang.

Helikopter berkenaan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada jam 12.37 tengah hari tetapi dilaporkan hilang dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada jam 12.16 tengah hari.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.