5 September 2022

Bisul pecah, bakteria masuk ke salur darah

 


Bagi kebanyakan orang, bisul suatu penyakit biasa dan berupaya sembuh dengan sendirinya. Malah, ada mengatakan bisul terjadi disebabkan melanggar pantang larang, misalnya disebabkan mereka duduk di atas bantal.

Biar apapun mitos itu, bisul adalah benjolan pada bahagian kulit dan di dalamnya mengandungi nanah. Ini bermakna, ia boleh terjadi pada mana-mana bahagian badan, tetapi lebih kerap dikesan pada muka, punggung, paha atau tempat yang mempunyai bulu atau rambut.

Menurut Pakar Bedah Am Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Azem Fathi Mohammad Azmi, bisul adalah jangkitan kuman pada akar rambut dan bulu (folikel) disebabkan bakteria yang dipanggil Stafilokokus aureus atau ringkasnya S aureus.

"Ia adalah flora biasa dan sesiapa saja boleh dijangkiti bisul terutama mereka yang kurang menitikberatkan penjagaan kebersihan.

"Bagaimanapun, bisul agak lazim kepada seseorang yang mempunyai sistem imuniti badan lemah, menghidap kencing manis, HIV, hepatitis serta pesakit kurang zat makanan dan seumpamanya," katanya kepada BH.

Katanya, secara umumnya bisul tiada batas umur tertentu berikutan keupayaannya boleh tumbuh di celahan kerana bahagian itu mudah bergesel, sementara muka pula yang lebih dikenali jerawat kerana bahagian terbabit selalunya berminyak.

"Jadi ia jelas tiada umur spesifik, bisul itu boleh terjadi kerana apa yang menyebabkannya adalah berlaku iritasi dan lazimnya ia boleh sembuh dengan sendiri," katanya.

Boleh menyebabkan jangkitan kuman

Mengulas lanjut, Dr Mohd Azem Fathi, berkata kebiasaannya bisul bermula dengan saiz kecil, namun apabila satu-satunya folikel itu menjangkiti kepada yang lain, saiz bisul itu akan menjadi besar.

"Selepas jangkitan itu membesar, ia akan merebak kepada beberapa kelompok yang dipanggil 'carbuncles'.

"Apabila keadaan ini berlaku ia amat membimbangkan terutama apabila seseorang itu turut menyebabkan bisul itu akan merebak kepada sekeliling bahagian lain," katanya.

Katanya, kemudian bisul itu mungkin pecah, mula mengeluarkan nanah dan jika jangkitan merebak lebih besar, ia berisiko mengakibatkan jangkitan kuman kepada tisu yang lebih dalam, sekali gus menyebabkan kuman serta bakteria masuk ke dalam salur darah.

"Ini akan menyebabkan pesakit mengalami sepsis (keadaan diakibatkan oleh bakteria memudaratkan dalam darah dan tisu) yang lebih memberikan risiko tinggi," katanya.

Dilarang picit bisul

Disebabkan itu katanya, orang ramai tidak digalakkan memicit bisul kerana dikhuatiri kuman di dalamnya berisiko meresap ke bahagian yang lebih dalam lagi.

Ditanya kemungkinan bisul boleh dikaitkan dengan penyakit lain. Contohnya serangan demam atau penyakit lain hingga berkemungkinan kuman yang terdapat bisul sudah memasuki salur darah dan mengakibatkan jangkitan bakteria.

"Bagi pesakit kencing manis pula, mereka ini sangat cenderung kepada sepsis serta berlaku komplikasi teruk termasuk paras gula menjadi sangat tinggi, berasid, hingga menjadikan pesakit tidak stabil.

"Dengan komplikasi sebegini, pesakit perlu dirujuk ke hospital dengan kadar segera untuk rawatan seterusnya," katanya.

Langkah pencegahan

Sementara itu, langkah terbaik mencegah bisul, Dr Mohd Azem Fathi mengesyorkan, langkah pencegahan perlu diambil dahulu, kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

"Langkah asas jika kita berisiko mendapat bisul, kurang zat, kita disarankan supaya memastikan kulit sentiasa bersih, menjaga kebersihan pakaian, tidak berkongsi tuala, dan jika ada kencing manis, kawal paras gula dengan baik.

"Seandainya seseorang itu dijangkiti bisul kecil, jangan terlalu bimbang kerana ia boleh sembuh sendiri, selain boleh dituam serta mendapatkan rawatan di klinik atau mengambil ubat penahan sakit.

"Jika ingin membersihkan kawasan bisul, adalah digalakkan menggunakan cucian antiseptik bagi mencuci kawasan bisul yang pecah.

"Seterusnya doktor biasanya memberikan ubat antibiotik dan bisul itu tidak pecah, serta membabitkan kedalaman tisu yang dalam, ia mungkin memerlukan pembedahan kecil," katanya.

Beliau berkata, bisul juga boleh berulang dan pada individu biasa ia tidak membahayakan dan adalah digalakkan mengamalkan penjagaan kebersihan diri, tetapi mereka yang berisiko perlu berjumpa doktor untuk dipantau keadaannya.

Info

Mengenai bisul

* Bisul ada nanah terkumpul dalam satu rongga

* Ditumbuhi di bahagian tertentu tubuh seperti leher, punggung dan ketiak.

Punca bisul

* Disebabkan bakteria pada rambut folikal dan sekeliling kulit, mulanya muncul sebagai jerawat.

* Bakteria membentuk bisul dipanggil Staphylococcus aureus.

Siapakah berisiko dapat bisul

* Kurang jaga kebersihan diri

* Kawasan penempatan sesak

* Atopy (alahan)

* Sistem imuniti badan yang lemah

* Kurang zat makanan.

* Pesakit diabetes.

Apakah tanda dan gejala bisul

* Nanah di bahagian tengah bisul

* Keputihan, lelehan mengandungi darah daripada bisul

* Kemerahan di sekeliling kulit dijangkiti

* Sakit apabila disentuh

Cara cegah bisul

* Jaga kebersihan diri

* Pastikan kulit sentiasa bersih

* Basuh tangan sebelum menyentuh muka

* Jangan kongsi tuala mandi atau pakaian

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.