Sumber Maklumat Terkini

29 September 2022

CIMB dalam proses tingkat keselamatan pengguna

 


Kumpulan CIMB hari ini menegaskan bahawa aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaannya, malah CIMB Bank Bhd serta CIMB Islamic Bank Bhd sedang dalam proses untuk melaksanakan kaedah keselamatan yang dipertingkat bagi menangani penipuan dalam talian sebagaimana dibangkitkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata bank itu sememangnya mempunyai dan melaksanakan aspek kawalan keselamatan pelbagai peringkat sedia ada.

"Pada masa sama, CIMB juga komited dalam memastikan aspek keselamatan terus dipertingkat bagi melindungi pelanggan," katanya.

Selain itu, bank itu turut menyatakan sokongan terhadap lima langkah keselamatan tambahan yang diumumkan oleh BNM selain komited sepenuhnya bagi pelaksanaannya apabila tiba masa yang sesuai.

Mengulas usaha peralihan daripada penggunaan kata laluan sekali sahaja (OTP) melalui sistem pesanan ringkas (SMS)/ Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada kaedah pengesahan kesahihan pelbagai faktor yang lebih kukuh, CIMB telah melaksanakan kelulusan SecureTAC menerusi aplikasi CIMB Clicks bagi aktiviti dalam talian, pindahan dana dan pembayaran selain perubahan terhadap maklumat peribadi serta tetapan akaun.

Bank itu akan menamatkan sepenuhnya pilihan alternatif penggunaan SMS OTP/TAC serta menetapkan penggunaan pengesahan SecureTAC menjelang separuh pertama 2023.

CIMB juga akan turut mempercepat langkah bagi mengehadkan pelanggan kepada hanya satu peranti mudah alih yang selamat untuk tujuan pengesahan transaksi perbankan dalam talian yang disasarkan dapat diperkenalkan menjelang akhir Oktober 2022.

"Sejajar dengan sekatan peranti mudah alih selamat tunggal, bank akan memperkenalkan langkah kawalan tambahan dalam bentuk proses pengesahan panggilan balik bagi semua pendaftaran perbankan dalam talian baharu serta pengaktifan peranti selamat baharu demi melindungi pelanggan daripada sebarang penipuan kewangan," katanya.

CIMB akan turut memperkenalkan tempoh bertenang sebagai langkah perlindungan tambahan bagi pendaftaran kali pertama perbankan dalam talian atau peranti yang selamat.

Pelanggan yang mengesyaki butiran perbankan mereka telah dikompromi atau berlakunya sebarang transaksi yang meragukan, diminta menghubungi segera pusat CIMB bagi membolehkan akaun mereka disekat secara serta-merta, katanya.

"CIMB akan turut menyediakan ciri layan diri di platform perbankan digitalnya untuk membolehkan pelanggan bertindak menggantung sementara akaun mereka dan perkhidmatan ini dijangka beroperasi pada separuh pertama 2023," katanya.

Sumber : Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.