16 September 2022

Kempen buka Akaun MBSB Bank tawar hadiah RM2.4 juta

 


MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) telah mengumumkan pemenang bagi hadiah utama kempen Simpan Berganda Menang Bergaya.

Kempen Simpan Berganda Menang Bergaya menawarkan hadiah bernilai RM2.4 juta termasuk kereta mewah, motosikal, telefon pintar dan wang tunai.

Kempen itu menerima penyertaan secara automatik di kalangan pemegang Akaun Semasa atau Simpanan PrimeWin (CASA-i) MBSB Bank dengan deposit minimum RM100.

Kempen yang bermula pada 21 Jun 2021 dan berakhir 31 Mei 2022 itu menyediakan lapan kategori cabutan iaitu Bulanan, Suku Tahunan, Digital, Penyimpan Baharu, Kesetiaan, Serantau, Khas serta Hadiah Utama.

Pemenang utama bagi kempen tersebut ialah Huang Wee Wan, 63, yang memenangi BMW X4 30i M Sport, manakala Maznah Harun, 81, membawa pulang SKUTER BMW C400X dan Tan Kim Tun, 68, mewakili syarikat Tunas Services Enterprise pula memenangi RM100,000 tunai bagi kategori Bukan-Individu.

Huang Wee yang berasal dari Negeri Sembilan berkata, dia sangat teruja dan terkejut apabila pihak MBSB Bank menghubunginya dan memberitahu memenangi sebuah kereta BMW.

“Saya merupakan pelanggan MBSB Bank sudah beberapa tahun kerana mereka menawarkan servis yang baik.

“Saya tidak sangka hanya dengan menjadi pelanggan MBSB Bank, boleh memenangi sebuah kereta mewah. Saya sangat gembira dan tidak sabar untuk memandu kereta tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Maznah Harun pula berkata, pada mulanya dia menyangka menerima panggilan palsu semasa dihubungi oleh pihak MBSB Bank.

“Mula-mula saya ingat ada orang cuba untuk menipu dan mempermainkan saya. Tetapi setelah bercakap dengan saudara yang bekerja di MBSB Bank, rupanya itu adalah panggilan yang betul.

“Saya dan keluarga sangat seronok kerana telah memenangi skuter itu,” katanya.

Mengulas mengenai kempen tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, tujuan kempen itu dilakukan adalah untuk meluaskan capaiannya kepada pelanggan.

Ujarnya, itu adalah cara untuk mendekatkan diri dengan pelanggan dan menarik orang ramai untuk mengenali MBSB Bank melalui pelaburan-pelaburan yang lain.

“Selain itu, kempen itu juga adalah cara kami memberi ganjaran kepada pelanggan yang sudah lama setia bersama kami. Kami merancang banyak lagi program seperti ini akan dilakukan di masa depan untuk mereka,” katanya.

Jelasnya, pihaknya turut berterima kasih kepada para pelanggan di atas sambutan menggalakkan yang diterima untuk kempen Simpan Berganda Menang Bergaya.

Nor Azam berkata, itu membuatkan pihaknya terus bersemangat dalam menambah baik produk dan perkhidmatannya.

MBSB Bank juga akan terus mempromosikan amalan pengurusan kewangan berhemah untuk menambah baik kesejahteraan kewangan para pelanggan.

“Berikutan kejayaan kempen pertama ini, kami berbesar hati untuk mengumumkan pra-pelancaran siri kedua kempen yang dinamakan sebagai Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0.

“Pelanggan-pelanggan kami adalah nadi kepada semua yang kami lakukan dan kempen ini membolehkan kami memberi ganjaran kepada para pelanggan setia sedia ada dan pada masa yang sama, untuk menarik pelanggan baharu,” katanya.

Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0 akan bermula 1 September 2022 sehingga 31 Mei 2023. Penyertaan terbuka kepada pelanggan individu dengan akaun Semasa atau Simpanan MBSB Bank dengan deposit minimum RM100.

Kempen itu menawarkan hadiah menarik bernilai RM2.4 juta seperti pakej pelancongan ke Eropah atau pakej Umrah, kereta mewah seperti Mercedes Benz A200, Mercedes Benz C200, Mercedes Benz GLC 300 AMG, ketulan emas, iPhone, konsol permainan, wang tunai dan banyak lagi.

Pelanggan baharu yang berminat untuk menyertai Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0 boleh membuka Akaun Semasa atau Simpanan PrimeWin (CASA-i) MBSB Bank melalui permohonan secara dalam talian M Fast atau mengunjungi mana-mana daripada 47 cawangan Bank MBSB di seluruh negara.

Sumber : Utusan

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.