4 September 2022

Kerajaan salur RM7.15 bilion bantuan pulih PKS

 


Kerajaan menyalurkan RM7.15 bilion kepada sebanyak 26,119 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) setakat 6 Julai 2022.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sejumlah 41,978 permohonan diterima setakat tempoh itu dan kemudahan pinjaman bernilai RM6 bilion ini telah ditambah menjadi RM8 bilion bagi membantu kalangan PKS yang terjejas dalam sektor perkhidmatan.

Jelas beliau, di bawah TRRF yang dipertingkat, PKS boleh menggunakan sehingga 30 peratus daripada pembiayaan yang diluluskan untuk membayar balik pembiayaan perniagaan (pembiayaan semula) sedia ada.

"Saiz pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga RM500,000 bagi setiap PKS manakala RM75,000 bagi perusahaan mikro dengan kadar faedah sehingga 3.5 peratus setahun termasuk fi jaminan.

"Tempoh bayaran balik pembiayaan ini adalah sehingga tujuh tahun berserta moratorium sekurang-kurangnya selama enam bulan," katanya menerusi Laporan Kewangan Rakyat Ke-109 yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kemudahan yang ditawarkan pada kadar sehingga 3.5 peratus setahun ini tersedia melalui institusi kewangan peserta dengan perlindungan jaminan oleh pihak Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Kemudahan berkenaan tersedia hingga 30 Jun 2022 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya.

Selain itu, beliau berkata, bagi menyokong matlamat kerajaan dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050, PKS juga digalakkan untuk menerapkan amalan kelestarian bagi meningkatkan daya tahan perniagaan masing-masing.

"Kemudahan Peralihan Rendah Karbon adalah satu kemudahan pembiayaan yang diperuntukkan bermula dari 3 Februari 2022 dan boleh dipohon sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya iaitu sebanyak RM1 bilion di bawah strategi inisiatif 1, Amalan Rendah Karbon dalam Bajet 2022.

"Setakat 6 Julai, 2022, sebanyak 26 syarikat PKS telah memohon bagi kemudahan ini dengan sejumlah RM11.713 juta telah diluluskan bagi 12 PKS," katanya.

Menurut Tengku Zafrul, pemohonan PKS itu mewakili semua sektor yang komited untuk beralih ke arah operasi perniagaan rendah karbon dan lestari.

Beliau berkata, amalan kelestarian ini termasuk namun tidak terhad kepada aktiviti seperti mendapatkan pensijilan kelestarian, meningkatkan penggunaan bahan yang diakui lestari dalam aktiviti pengeluaran, menambah baik kecekapan tenaga bangunan dan peralatan selain memasang peralatan jana kuasa tenaga boleh baharu di premis masing-masing.

Maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh di laman sesawang https://www.bnm.gov.my/documents/20124/2294076/lctf2022_bm_faq.pdf.

Sumber : BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.