20 September 2022

Letusan gunung berapi lumpur tiada kaitan gempa bumi

 


Letusan gunung berapi lumpur di Taman Hidupan Liar Tabin Lahad Datu, semalam tiada kaitan dengan gempa bumi kuat yang menggegarkan Taiwan, petang semalam.

Pakar Geologi Sabah, Prof Dr Felix Tongkul, berkata walaupun fenomena alam itu biasanya dikaitkan dengan gempa bumi, ia lazimnya membabitkan gegaran di kawasan berhampiran.

Kedudukan Sabah yang jauh dari Taiwan tidak memungkinkan gempa bumi kuat 6.8 magnitud di Taiwan pada jam 2.44 petang semalam memberi kesan kepada gunung berapi lumpur di Sabah.

"Gempa bumi di Taiwan agak jauh, biasanya gegaran gempa bumi berdekatan yang cenderung mencetuskan fenomena ini (letusan gunung berapi lumpur," katanya mengulas kaitan gempa bumi itu dengan letusan gunung berapi lumpur.

Felix sering menjadi rujukan berkaitan kejadian gempa bumi terutama sejak gegaran 5.9 magnitud berpusat di Gunung Kinabalu yang menggegarkan Sabah pada Jun 2015.

Ketika kejadian itu, selain ratusan gegaran susulan, beberapa fenomena lain turut dikesan ada kaitan dengan gempa bumi berkenaan termasuk air di kolam air panas Poring, Ranau bertukar menjadi hitam dipercayai akibat bercampur lumpur yang keluar dari perut bumi.

Fenomena letusan gunung berapi lumpur di Tabin itu tular di media sosial malam tadi, dipercayai selepas dimuat naik oleh individu yang kebetulan berada berhampiran lokasi gunung berapi lumpur terbabit.

Video fenomena itu yang berdurasi kira-kira 10 saat kemudian dikongsi netizen di laman Facebook masing-masing dengan kebanyakan komen menyuarakan ketakjuban mereka terhadap fenomena berkenaan.

Klip video itu memaparkan letusan besar yang memuntahkan lumpur berwarna kehitaman dalam jumlah yang banyak, selain kelihatan menggelegak dipercayai akibat gas atau wap yang keluar dari perut bumi.

Tidak kurang juga yang mengaitkan fenomena itu dengan kejadian gempa bumi termasuk yang berlaku di Taiwan petang semalam, namun kejadian letusan lumpur itu dilapor lebih awal iaitu pada kira-kira jam 10 pagi.

Felix bagaimanapun berkata fenomena letusan gunung berapi lumpur itu adalah perkara biasa yang berlaku apabila tekanan lumpur dalam bumi meningkat dan perlu dilepaskan selain boleh berulang.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.