4 September 2022

Lima sektor paling untung April-Jun 2022

 


Lima sektor iaitu perbankan, automotif, institusi kewangan bukan bank (NBFI), hartanah dan pengguna mencatatkan prestasi kewangan melangkaui jangkaan bagi tempoh April hingga Jun 2022 berbanding empat sektor yang dicatatkan pada tiga bulan pertama tahun ini, demikian menurut RHB Research.

Penganalisisnya, Alexander Chia, berkata sektor pasaran besar lain merangkumi perladangan, minyak dan gas serta telekomunikasi berjaya menepati jangkaan pada musim pengumuman keputusan kewangan bagi tempoh suku kedua tahun ini tahun ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, lima sektor iaitu pembinaan, penjagaan kesihatan, utiliti, produk getah dan bahan asas bagaimanapun gagal mencapai jangkaan.

Katanya, sama seperti suku sebelumnya, tekanan kos yang meningkat dan kesan kekurangan buruh terus mengganggu gugat sektor itu.

"Nisbah keputusan tersasar berbanding melangkaui jangkaan pulih kepada 0.8 berbanding 1.4 pada suku lalu memandangkan 32.8 peratus keputusan yang melangkaui jangkaan diimbangi oleh 26.9 peratus keputusan tersasar.

"Keseluruhan anggaran untung bersih tahun kewangan 2022 kekal sama, manakala anggaran tahun kewangan 2023 dinaikkan sedikit 0.3 peratus berikutan kenaikan anggaran daripada perbankan dilemahkan oleh potongan dalam sektor perjudian dan bahan asas.

"Pihak pengurusan perbankan tetap mengekalkan bayangan berhati-hati walaupun kebanyakannya menegaskan semula kualiti aset sistem perbankan yang terus utuh," katanya dalam nota penyelidikannya.

Chia berkata, bagi suku berakhir Jun 2022, perolehan korporat menepati jangkaan.

Beliau berkata, sektor perbankan dan sektor bukan keperluan utama lain mencatat prestasi baik dengan memanfaatkan daripada prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) teguh bagi suku kedua 2022 yang dipacu oleh pembukaan semula ekonomi, permintaan terpendam dan pengeluaran dana daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam tempoh dikaji, saham komponen KLCI mencatatkan tujuh keputusan mengatasi jangkaan, manakala lapan keputusan tersasar dan perkembangan itu lebih baik sedikit berbanding suku sebelumnya.

Anggaran perolehan tahun kewangan 2022 dikurangkan 0.6 peratus, manakala tahun kewangan 2023 menyaksikan kenaikan 0.9 peratus apabila anggaran sektor perbankan diimbangi oleh penurunan daripada sektor perjudian.

Mengenai strategi, RHB Research berkata, risiko makroekonomi kekal berpaksikan trajektori dasar monetari, ditambah dengan persekitaran geopolitik yang kian berubah secara terus-menerus membuat pelabur meneliti prospek bagi aset berisiko.

Ia berkata, cubaan pasaran untuk mengambil kira prospek 2023 terus dihalang oleh kebolehlihatan yang terhad, sekali gus membuat para pelabur berkecuali dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Katanya, pembentangan Belanjawan 2023 bakal diikuti dengan rapat untuk sebarang bebanan cukai tambahan yang mungkin dikenakan terhadap sektor swasta.

Beliau menambah, pemberian bantuan sebelum pilihan raya dan inisiatif rangsangan ekonomi dijangka terbatas ekoran kurangnya ruang fiskal.

"Kami menyokong pendirian bertahan teras dengan melakukan pemilihan saham bertahan dan pada masa masa, membabitkan diri dalam perdagangan jangka pendek dengan menggunakan lebihan dana.

"Kami mengekalkan saranan 'wajaran tinggi' terhadap sektor perbankan, NBFI, minyak dan gas, penjagaan kesihatan, bahan asas, perjudian serta teknologi," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.