16 September 2022

ONEXOX lancar pelan mudah alih bersama Perak FC

 


ONEXOX Sdn Bhd, anak syarikat XOX Berhad memperkenalkan pelan edisi The Bos Gaurus (TBG) iaitu pelan eksklusif terbaharu, khas buat penyokong Perak FC.

Dalam kenyatannya, ONEXOX berkata, pelan baharu ini untuk menyampaikan pengisian eksklusif untuk meningkatkan penglibatan para peminat bola sepak tempatan dengan informasi dan berita terkini tentang kelab kegemaran mereka akan terus dihantar ke mudah alih.

Menurutnya, menerusi pelan itu, terdapat pakej yang berbeza untuk memenuhi keperluan penggunaan individu pada harga serendah RM54 sebulan, pelanggan akan mendapat 48GB data dan minit bual tanpa had.

“Kini, pengguna tegar tidak perlu bimbang tentang perbelanjaan berlebihan dan boleh menarik nafas lega dengan memilih langganan tetap bulanan sebanyak RM150 untuk menikmati data dan masa berbual tanpa had,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, ONEXOX turut memperkenalkan pelan RM39 (18GB data), RM59 (44GB) dan RM89 (100GB) untuk memberikan lebih pilihan buat para pengguna khususnya penyokong bola sepak Perak.

Katanya, kelebihan langganan pelan ONEXOX TBG adalah melalui faedah-faedahnya yang disertakan bersama pelan itu termasuk barangan rasmi Perak FC percuma bernilai sehingga RM150 dan tiket percuma untuk menonton perlawanan Perak FC di Stadium Perak.

“Pelan ini juga menawarkan diskaun-diskaun menarik untuk pas bermusim Perak FC, pakej hospitaliti pada hari perlawanan, diskaun eksklusif untuk barangan rasmi Perak FC dan pengisian ‘eksklusif hanya untuk penyokong’ berkaitan dengan kelab dan berita tersebut akan terus dihantar ke telefon mudah alih,” katanya.

Jelas kenyataan itu, sebagai bonus tambahan daripada kempen ‘Deme Menang,Kome Dapat’, pelanggan boleh menikmati ganjaran segera setiap kali Perak FC memenangi perlawanan.

Katanya, sebahagian daripada pungutan keuntungan kemudiannya akan diagihkan kepada kelab bola sepak yang akan mewujudkan aliran pendapatan tambahan dalam usaha pengkomersilan kelab.

“Kerjasama ini akan membantu capaian ONEXOX kepada sebahagian daripada 700,000 penyokong setia Perak FC di Malaysia, dalam usaha meningkatkan jumlah pelanggan.

“Ini memberikan ONEXOX peluang untuk menggunakan hak imej kelab, pemain-pemain, produk, lokaliti stadium dan pengisian untuk tujuan pemasaran,” katanya.

Jelas kenyataan itu, bersama Perak FC, ONEXOX juga akan menyokong inisiatif bola sepak menawarkan peluang kepada anak-anak muda untuk bermain, bersaing dan mempamerkan bakat mereka kepada agensi-agensi tempatan di daerah masing-masing.

“ONEXOX dan Perak FC juga akan membangunkan beberapa inisiatif pemasaran bersama, yang tertumpu kepada jenama eksklusif TBG pada setiap perlawanan di tempat sendiri iaitu di Stadium Perak,” katanya. 

Sumber : Utusan

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.