6 September 2022

Skuter EV Blueshark peroleh kelulusan JPJ

 


EP Manufacturing Bhd (EPMB), pengeluar alat ganti automotif menerima kelulusan kerajaan untuk mendaftar dan melesenkan kenderaan elektrik dua roda atau skuter (EV) pertamanya, Blueshark SG3000DT.

Menurut EPMB, kebenaran itu diperoleh kira-kira sebulan selepas ia menerima Kelulusan Bersyarat daripada kerajaan untuk pembinaan kilang pembuatan sulungnya bagi pengeluaran kenderaan dua roda elektrik.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, EPMB berkata, Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) dan Homologasi, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah meluluskan VTA untuk model Blueshark SG3000DT pada 30 Ogos lalu, atau dirujuk sebagai "Blueshark R1" di bawah Akta Pengangkutan Jalan Malaysia 1987.

"Kelulusan VTA membenarkan motosikal elektrik EPMB 'Blueshark R1' didaftarkan dan dilesenkan oleh JPJ. Usaha ini akan membuka lembaran baharu kepada EPMB untuk mempelbagaikan pelengkap kepada perniagaannya sekarang," katanya.

Pengerusi Eksekutif EP Manufacturing, Hamidon Abdullah, berkata dengan Kelulusan VTA, syarikat itu selangkah lebih dekat untuk meraih unjuran lonjakan permintaan untuk EV dua roda di Malaysia.

"Pada masa yang sama, rakan kongsi kami di negara ASEAN lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam juga telah memohon VTA bersamaan untuk Blueshark R1 di negara masing-masing, dan ini akan melengkapkan aktiviti pembuatan EPMB.

"Penerokaan kami ke dalam perniagaan EV dua roda disokong dengan baik oleh pengetahuan teknikal Sharkgulf Technologies Group Limited yang berpangkalan di China. Ini bersempena dengan asas pendanaan yang kukuh daripada pelabur antarabangsa yang menumpukan kepada aspek amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Ini sepatutnya meletakkan kita pada laluan pertumbuhan yang mampan untuk bergerak ke hadapan," katanya.

Hamidon berkata, sebagai tambahan kepada kilang pembuatan dan pusat jualan serta pengedaran di Malaysia, EPMB juga akan menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), yang akan berkongsi pengetahuan teknikal dan sumber kepada Gigafactory Sharkgulf di Wilayah Baru Pantai Barat Qingdao.

"Pangkalan pembuatan dengan usaha R&D yang dikongsi di Malaysia akan menangani struktur kos untuk menjadikan EV dua roda EPMB lebih cekap dari segi kos," katanya.

Pada 25 Julai lalu, EP Blueshark menerima Kelulusan Bersyarat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas permohonannya untuk memasang motosikal elektrik di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 (Akta 156).

Ia tertakluk kepada syarat yang perlu dipenuhi oleh EP Blueshark dalam tempoh enam bulan dari Surat Kelulusan.

Dengan Kelulusan Bersyarat, EP Blueshark berada dalam landasan untuk membina Kilang Pembuatan dan Pusat Jualan serta Pengedaran bagi memasang, mengeluarkan dan mengedarkan EV 2 roda berjenama Blueshark di Malaysia.

"Akhirnya, syarikat ini akan mengeksport produk yang dipasang ke negara Asia Tenggara lain di mana permintaan untuk kenderaan dua roda sedang berkembang pesat," tambah Hamidon.

EV dua roda berjenama Blueshark dibangunkan oleh Sharkgulf Technologies, yang terkenal kerana mencipta sistem pengendalian pintar pertama di dunia untuk industri dua roda elektrik.

Kenderaan dua roda itu dikuasakan oleh generasi baharu bateri litium-ion mudah alih dan boleh tukar, menjadikannya motosikal yang lebih padat dan cekap.

Dalam beberapa saat, pengguna akan dapat menukar bateri yang sudah digunakan dengan bateri yang dicas penuh di 'stesen pertukaran' atau 'swap station'.

Stesen pertukaran ini boleh diletakkan di mana-mana sahaja yang boleh diakses seperti kedai serbaneka, stesen minyak dan tempat letak kereta. Bateri juga boleh dicas di rumah menggunakan dok pengecasan khusus.

Motosikal elektrik juga boleh dibuka kuncinya dengan mudah hanya dengan cap jari dan dilengkapi dengan 74 penderia, termasuk penderia tekanan, giroskop 6-paksi, penderia voltan & arus, penderia suhu.

Setiap minit, penderia memuat naik data sehingga 300 kali, memberikan sokongan data untuk mengoptimumkan pengalaman tunggangan pengguna.

Ia juga menjadi kenderaan dua roda EV pertama dengan sistem pengendalian.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.