18 September 2022

Sukma MSN 2022 dibuka secara rasmi

 


Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 membuka tirai secara rasminya hari ini dengan majlis upacara perasmian diadakan secara sederhana namun tetap meriah dengan kehadiran atlet dan pegawai pasukan.

Upacara perasmian yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, diceriakan dengan perarakan masuk maskot setiap kontinjen termasuklah ‘ikon’ Sukma edisi 2020 yang dikenali sebagai ‘Oyen’.

Walaupun upacara berkenaan berlangsung di dalam dewan namun ‘tradisi’ perarakan masuk setiap kontinjen tetap berlangsung dengan Terengganu menjadi antara pertama diperkenalkan kepada umum.

Lebih 2,000 terdiri daripada atlet, pegawai sukan dan sukarelawan hadir bagi memeriahkan majlis yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bendera Sukma 2022 kemudian dibawa masuk oleh empat atlet kebangsaan iaitu Choong Javen (ping pong), Ng Joe Ee (gimrama), R Shamendran (karate) dan Muhammad Aznil Bidin (angkat berat).

Obor Sukma 2020 pula dinyalakan oleh bekas ratu boling negara, Shalin Zulkifli manakala ikrar temasya dibaca atlet angkat berat negara, Mohd Aniq Kasdan.

Antara tetamu kehormat yang hadir adalah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Wilayah Datuk Seri Dr Shahidan Kassim,

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Jana Santhiran Muniayan dan wakil kerajaan setiap negeri yang bertanding.

Sukma ke-20 dianjurkan semula dengan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah selepas temasya dwitahunan itu tidak dapat diadakan pada 2020 di Johor berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Pada temasya kali ini, 426 acara membabitkan 223 acara lelaki,184 wanita dan 19 campuran daripada 31 jenis sukan dipertandingkan dengan penyertaan 6,625 atlet dan 2,709 pegawai membabitkan 15 kontinjen negeri termasuk Brunei.

Sumber : Harian Metro

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.