Sumber Maklumat Terkini

1 Oktober 2022

Bulan Menabung SSPN (BMS 2022) perkasa budaya menabung

 


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang juga agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) komited dalam usaha menyebar luas keistimewaan dan manfaat Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dengan melancarkan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2022 buat kali kelima bermula semalam.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata penganjuran BMS 2022, bertujuan sebagai platform menggalakkan budaya penabungan dalam kalangan Keluarga Malaysia serta bersempena Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang diraikan pada 31 Oktober setiap tahun.

Beliau berkata, BMS 2022 dijalankan selama tiga hari di pelbagai lokasi di seluruh negara bagi meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan masyarakat dengan menabung melalui Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

"Antara keistimewaan yang ditawarkan termasuklah pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan dijamin kerajaan," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran BMS 2022.

Dalam pada itu, beliau berkata, BMS 2022 menawarkan hadiah wang tunai berjumlah hampir RM50,000 untuk 25 pemenang di peringkat nasional serta hadiah berupa pelbagai barangan yang menarik untuk 84 pemenang di peringkat negeri.

Noraini berkata, Simpan SSPN berjaya merekodkan jumlah deposit sebanyak RM12.81 bilion, dengan bilangan akaun berjumlah 5.5 juta setakat 31 Ogos 2022.

Justeru, katanya, dengan penganjuran program BMS 2022 itu, beliau menyasarkan jumlah deposit Simpan SSPN sebanyak RM150 juta.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan hadiah kepada dua pemenang Lee Yung Chok, 34, dan Nurul Huda Wahab, 39, yang juga pemenang Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN dengan masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,525.

Nurul Huda yang berasal dari Gombak melahirkan rasa terkejut selepas dipilih sebagai pemenang, kerana sekadar mencuba menyertai pertandingan itu, selepas membuat simpanan SSPN bagi dua anaknya.

"Saya macam tidak percaya yang saya boleh menang, selepas saya nampak iklan mengenai peraduan ini (Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN), saya rasa tertarik untuk mencuba dan saya sentiasa konsisten untuk membuat penambahan deposit ke dalam akaun lebih tiga hingga empat kali dalam sebulan," katanya. 

Sumber : BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.