Sumber Maklumat Terkini

18 Oktober 2022

Cikgu Fadli tak bersalah dan bebas semua tuduhan

 


Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan memutuskan guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh tidak bersalah susulan pendedahan mengenai kepincangan silibus pendidikan negara.

Menerusi surat keputusan yang tular di laman sosial petang ini, Mohd Fadli juga dibebaskan daripada tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Berdasarkan surat berkenaan, guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu tidak akan dikenakan sebarang tindakan tatatertib oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Surat berkenaan ditandatangani Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Beberapa hari lalu, tular kisah Mohd Fadli yang dikatakan bakal dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana mengkritik sistem pendidikan negara.

Malah, isu berkenaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Sementara itu, Mohd Fadli ketika dihubungi BH, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan, tak kira bangsa dan agama kerana faham dan tahu beliau 'dizalimi'.

Katanya, maksud dizalimi itu ialah tidak sepatutnya tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat dikenakan ke atasnya walaupun mungkin ada salah silap daripada pihaknya sendiri.

Beliau bagaimanapun menegaskan, perjuangannya untuk merubah silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai, akan diteruskan.

"Itu perjuangan asal saya dan saya mahukan perubahan dalam pendidikan. 'Kerosakan' itu perlu dibaiki, tetapi bukan semuanya 'rosak' kerana masih ada yang baik lagi," katanya sambil berterima kasih kepada peguamnya, Nor Zabetha Muhamad Nor.

Tiga hari lalu, Mohd Fadli berkongsi di media sosial surat diterimanya mengenai tindakan boleh diambil ke atasnya, susulan kelantangan membantah silibus subjek Matematik bagi murid sekolah rendah, yang disifatkan terlalu tinggi dan tidak padan dengan keupayaan pelajar.

Beliau juga sebelum ini kerap menyuarakan kebimbangan mengenai berat beg sekolah yang terpaksa ditanggung murid, akibat kepadatan jadual pembelajaran.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.