Sumber Maklumat Terkini

19 Oktober 2022

Ella Furniture jual perabot online


 Dilahirkan dalam keluarga yang mewarisi ‘darah’ bisnes, membuatkan Nur Laila Alway, 39, tidak serik mencuba pelbagai perniagaan termasuk menjalankan perniagaan perabot.

Wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu pernah mengusahakan kedai kain, tetapi setelah berkahwin dan berpindah ke Kuala Lumpur, dia memilih untuk membuat dropship produk kecantikan.

Setelah dua tahun melakukan kerja tersebut, Nur Laila mula berjinak-jinak mengusahakan perabot secara online pada tahun 2019 bermodalkan RM500.

“Sebenarnya perusahaan perabot ini berlaku secara kebetulan, yang mana pada ketika itu saya hendak berpindah ke rumah baharu dan mahu menggantikan sofa lama.

“Saya sangat menyukai sofa yang dihasilkan dan dipertemukan dengan tukang yang membuatnya. Sejak itu, kami bekerjasama mengusahakan perniagaan perabot,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

Ujar pemegang Ijazah Sarjana Perniagaan dari Universiti Malaysia Terengganu itu, apa yang membuatkan dia bertekad untuk mengusahakan perabot kerana tidak ramai orang menjual sofa chester­field secara online kerana kebanyakannya dibeli dari China.

Nur Laila menggunakan pengalaman sebagai dropship bagi mempromosi sofa di sosial media dan pergi ke rumah pelanggan untuk berbincang material serta rekaan dimahukan.

“Pada peringkat awal, memang sangat susah kerana orang masih belum kenal dan percaya, apatah lagi dijual menggunakan medium online.

“Namun, saya tidak berputus asa pergi ke rumah bakal pelanggan dan menerangkan mengenainya,” katanya.

Setelah perniagaan semakin baik, Nur Laila membeli mesin kayu berharga RM5,000 untuk menambah baik pembuatan sofa itu dan mempercepatkan penghasilannya.

Bengkelnya juga mula bertambah dari satu kepada tiga dan kini dia telah berjaya memiliki empat buah kilang pembuatan sofa dan menembusi pasaran luar negara seperti Singapura dan Brunei.

Nur Laila membuktikan wanita boleh melakukan apa jua perniagaan termasuk mengusahakan perabot, walaupun ia banyak dimonopoli kaum lelaki.

Dia yang turut memegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik itu banyak menggunakan pengetahuan tersebut untuk diaplikasikan dalam pembuatan sofa.

Kejayaannya itu tidak datang bergolek, tetapi memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan mengatur langkah untuk memajukan perniagaan tersebut.

Usahanya itu membolehkannya menerima anugerah Best Bumiputera Brand Award 2022 dan Best Agricommodity Startup Company daripada Malaysia International Agricommodity Expo & Summit.

“Pada peringkat awal, cabaran saya bukan hanya sukar untuk mendapatkan kepercayaan bakal pelanggan, tetapi juga daripada pihak pembekal kerana syarikat ini masih baharu,” tuturnya.

Ceritanya, dia terpaksa menunggu dua jam untuk membeli kain 10 meter kerana tidak ada sudi melayannya.

Masalah tersebut mengganggu operasi pembuatan sofa hingga terpaksa menangguhkan penghantaran kepada pelanggan.

Sumber : Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.