Sumber Maklumat Terkini

5 Oktober 2022

Jalan raya Malaysia antara 59 terburuk di dunia


Kualiti jalan raya di Malaysia menurun lebih 5 peratus dalam tempoh lima tahun lalu, dengan jumlah kematian jalan raya direkod kedua tertinggi dunia, 22.76 bagi setiap 100,000 orang.

Selain Malaysia, Kuwait disenarai negara yang mempunyai jalan raya terburuk dunia diikuti Costa Rica, Georgia, Panama dan New Zealand.

Menurut laporan kajian bertajuk 'Worst and Best Roads - US and International Ranking' yang dijalankan firma pendidikan pemandu, Zutobi - Malaysia disenarai pada kedudukan ke-12 terbawah dalam kalangan 59 negara yang memiliki jalan raya terburuk.

Menurut kaji selidik itu, selain memiliki jalan terburuk Kuwait juga mempunyai jumlah kematian jalan raya ketiga tertinggi bagi setiap 100,000 orang iaitu hampir 19.

Kajian menganalisis keseluruhan 59 negara itu memberikan Malaysia skor keselamatan keseluruhan 3.32 daripada 10 berdasarkan empat faktor iaitu kualiti jalan raya, peningkatan kualiti jalan raya, kematian jalan raya, dan saiz relatif rangkaian jalan raya.

Data sama menyenaraikan Singapura sebagai negara yang merekodkan skor keseluruhan tertinggi kualiti jalan raya iaitu 9.44 daripada 10.

Singapura juga dilapor merekodkan kadar kematian jalan raya paling sedikit iaitu 1.69 bagi setiap 100,000.

Selain Singapura, empat lagi negara yang mencatatkan skor kualiti jalan raya paling tinggi ialah Belanda dengan 8.62 daripada 10, diikuti Switzerland (8.58 peratus), Japan (8.41) dan Denmark (7.59).

Laporan Zutobi berasingan yang diterbitkan pada Mei meletakkan Malaysia antara 10 negara paling berbahaya untuk memandu bersama Thailand, India, Argentina, AS dan Afrika Selatan.

Namun, Malaysia mempunyai bilangan kematian jalan raya paling rendah berkaitan alkohol iaitu hanya 0.1 peratus, walaupun antara yang menetapkan peratusan had kepekatan alkohol dalam darah yang dibenarkan paling longgar untuk pemandu iaitu 0.08 peratus.

Berdasarkan Seksyen 45G(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, had kandungan alkohol yang ditetapkan untuk pemandu adalah 35 mikrogram alkohol dalam 100 milimeter nafas: 80 miligram alkohol dalam 100 milimeter darah atau 107 miligram alkohol dalam 100 milimeter air kencing.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.