Sumber Maklumat Terkini

16 Oktober 2022

Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan bersidang 17 Oktober 2022 - Ketua Pengarah Pendidikan


 Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dijadualkan bersidang esok selepas menerima surat representasi yang dikemukakan guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh pada 14 Oktober.

Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini turut menjelaskan surat yang dihantar kepada Mohd Fadli bukan surat jatuh hukum seperti tular di media sosial.

Ketua Pengarah KPM, Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata surat terbabit adalah pemakluman kepada Mohd Fadli supaya memberi penjelasan bertulis mengenai dakwaan yang diterima Lembaga Tatatertib serta keperluan guru berkenaan mengemukakan representasi.

Katanya prosedur tatatertib dibuat di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tatatertib 1993 yang mana ia digunakan untuk semua penjawat awam dalam perkhidmatan termasuk dirinya sendiri.

"KPM mengambil maklum perkara yang dibangkitkan di media sosial berkait cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh. Untuk makluman, surat yang dihantar kepada cikgu tersebut bukanlah suatu surat yang membawa maksud bahawa hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib.

"Sebaliknya, surat tersebut bertujuan memaklumkan cikgu berkenaan mengenai dakwaan yang telah diterima oleh pihak berkuasa tatatertib serta keperluan untuk cikgu Fadli mengemukakan representasi ataupun penjelasan bertulis," katanya menerusi video penjelasan yang dimuatnaik di Facebook rasmi KPM hari ini.

Terdahulu, Mohd Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana alasan menyuarakan isu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) membabitkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Mohd Fadli menerusi Facebooknya berkata, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku kerana beliau tidak pernah terbabit dalam sebarang masalah disiplin atau menghadapi masalah dengan ibu bapa murid.

Beliau yang juga guru Matematik di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak turut berkongsi gambar surat bertarikh 22 September lalu yang menyatakan, beliau boleh dikenakan tindakan tatatertib buang kerja atau turun pangkat kerana berdepan tiga pertuduhan.

Pertuduhan itu ialah kerana memuat naik hantaran di platform media sosial Facebook mengenai jadual waktu serta mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah.

Beliau juga dituduh memuat naik hantaran di Facebook mengenai subjek yang diajar pada murid Tahun Satu dan menerusi pertuduhan ketiga, beliau didakwa mengadakan sesi Facebook Live untuk bercakap mengenai masalah pendidikan di Malaysia khususnya subjek yang terlalu banyak.

Sumber : Berita Harian


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.