Sumber Maklumat Terkini

14 Oktober 2022

PH sedia bekerjasama dengan Tun M dan Muhyiddin

 


Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka untuk bekerjasama dengan seteru termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk mendepani cabaran dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar yang juga Presiden PKR, berkata pintu kerjasama itu sentiasa terbuka asalkan berlandas prinsip tertentu, bukan semata-mata untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"'Come together' itu memang kenyataan yang lunak seperti bersatu, bersatu itu apa, ada orang bersatu yang nak rompak, ada bersatu dengan macam cerita persatuan 40 penyamun. Jadi bersatu itu mesti bersandarkan kepada beberapa prinsip yang jelas.

"Ada kelola yang baik, menolak rasuah, tidak bersetuju dengan dasar perkauman atau fanatik agama, itu prinsip utama dan kalau bersetuju silakan, ini bukan mirip monopoli mana-mana parti.

"Kami (PH) komited dalam melaksanakan agenda reform (pembaharuan), melawan gejala rasuah dan penyalahgunaan rasuah. Sesiapa saja yang bersetuju dengan prinsip ini, boleh datang dan berbincang kami. Ruang adalah terbuka," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan kerjasama dengan pihak tertentu, termasuk Dr Mahathir dan Muhyiddin biarpun masing-masing memiliki sejarah hitam susulan Langkah Sheraton pada 2020.

Anwar berkata, sebarang kerjasama perlu terikat dengan prinsip, bagi mengelakkan persepsi bahawa tujuan perjuangan hanya untuk menumbangkan UMNO.

"Sebab itu saya agak apa-apa kerjasama mesti terikat dengan prinsip, kalau tidak kata...oh tujuan kita menumbangkan UMNO, itu saja.

"Tapi yang nak tumbangkan, siapa? Lihat umpamanya, ramai terpalit dengan rasuah besar, tengok UKSB (Ultra Kirana Sdn Bhd), kes...itu nama-nama itu kena jelaskan dulu.

"Kalau tidak, nak jelaskan rasuah, yang dikumpul wang dalam negara dan Pandora Papers, itu banyak.

"Jadi kita yang berteraskan kepada prinsip ini, harus jelaskan. Saya tidak mahu membuat tuduhan. Jelaskan hal ini," katanya.

Justeru, beliau berkata, PKR komited dengan agenda reformasi dan agenda PH iaitu menentang rasuah, salah guna kuasa dan semua bentuk pembaziran.

"Sesiapa sahaja yang bersetuju, mereka boleh berbincang dengan kami," katanya.

Mengulas mengenai penyertaan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Anwar berkata, perbincangan masih diteruskan.

"Kita sebut dahulu mengenai MUDA dan PSM, perbincangan masih diteruskan, dengan MUDA itu tertakluk kepada syarat yang disepakati bersama," katanya.

Sementara itu, ditanya persediaan manifesto PH, penyandang kerusi Parlimen Port Dickson itu berkata, gabungan terbabit tidak akan menjanjikan bulan dan bintang.

Sebaliknya, PH akan berjanji seperti mana yang disebut dalam al-Quran, iaitu cuba sedaya upaya dan sebaik mungkin.

"Kita tak mahu panjang-panjang, kita tak mahu janji melangit, kita tak nak sebut macam-macam.

"Tetapi ada terasnya, iaitu kos sara hidup, pendidikan, kemudahan kesihatan, peluang pekerjaan dan dari segi tadbir urus, hentikan rasuah," katanya.

Beliau berkata, manifesto akan dilancarkan pada 20 Oktober ini di Ipoh, Perak ketika Konvensyen PH berlangsung.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.