Sumber Maklumat Terkini

13 Oktober 2022

PKR lancar ADIL 2.0

 


Aplikasi ADIL yang diperkenal PKR ketika pemilihan parti itu baru-baru ini, dinaik taraf dengan pelancaran ADIL 2.0.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ADIL 2.0 menampilkan lebih banyak fungsi yang berupaya membantu mengurangkan kesenjangan teknologi di antara masyarakat bandar dan luar bandar.

"Dua tahun lalu saya cuba menerangkan mengenai hal ini. Itu percubaan kita untuk menjelaskan kekuatan teknologi baharu yang harus dikuasai rakyat.

"Jika tidak dilakukan, akan ada kesenjangan di antara orang atasan bandar dan rakyat biasa. Digitalisasi ini kalau tidak berwaspada, akan menyebabkan kesenjangan melebar di antara golongan kaya dengan golongan miskin," katanya pada sidang media.

Anwar berkata, menerusi aplikasi yang dinaik taraf itu, pengguna boleh membangkitkan masalah dihadapi mereka.

Katanya, ini termasuk mengemuka aduan, memberi cadangan serta penambahbaikan bukan sahaja kepada parti, malah persekitaran.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata ADIL 2.0 memboleh orang ramai mengetahui aktiviti parti, termasuk pimpinannya.

"Beza ADIL 1.0 dan ADIL 2.0 dari segi penambahbaikan pengalaman pengguna serta sistem 'chatbot'.

"Aplikasi ini membolehkan mereka mendapatkan status keahlian parti dan selain memaparkan aktiviti parti, berita, ceramah mega, jelajah dan sebagainya.

"Dalam sistem chatbot pula, pengguna boleh memberi maklum balas sama ada pandangan, cadangan dan aduan," katanya.

Beliau berkata, aplikasi berkenaan turut menawarkan ciri pengumpulan dana pilihan raya PKR dan memiliki sistem e-wallet.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.