Sumber Maklumat Terkini

10 Oktober 2022

Rahmad Mega dinobat Terpaling Juara

 


Penyanyi otai, Rahmad Mega dinobatkan sebagai Terpaling Juara, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000 berserta trofi.

Tempat kedua dimenangi Aqmal, Hazami di tempat ketiga, manakala Shaz hanya berpuas hati menyandang tempat keempat.

Pada konsert akhir berlangsung di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam ini, Rahmad membawakan dua lagu, Ku Akui nyanyian asal Hafiz Suip dan duet bersama kapten, Hael Husaini menerusi lagu Di Penjara Janji.

Aqmal yang bergelar naib juara membawa pulang wang tunai RM50,000 berserta trofi dan Hazami menerima hadiah bernilai RM30,000 berserta trofi.

Sementara itu, Shaz anak didik kepada Hael yang mengisi tempat keempat membawa pulang wang hadiah berupa wang tunai RM10,000.

Rahmad berkata, dia terharu dan berterima kasih atas kejayaannya malam ini.

"Syukur kepada Allah atas malam yang cukup bahagia ini. Saya sudah mencipta titik baharu dalam kerjaya.

"Terima kasih kepada juri juga sering memberi teguran sepanjang saya berada program ini," katanya yang turut menyampaikan lagunya Takdir dan Waktu.

Dalam pada itu, Datuk Hattan dan Fauziah Latiff selaku juri tetap, manakala Datuk Seri Siti Nurhaliza pula sebagai juri jemputan.

Pada pentas akhir itu, penonton dihiburkan dengan persembahan Floor 88 dengan lagu medley Chikadun dan Hutang serta Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Wajah Kekasih, Ku Milikmu dan Balqis.

Program Terpaling Juara dihoskan oleh Haziq Hussni dan Shiha Zikir.

Terpaling Juara mempertaruhkan tiga kapten, Akim Ahmad, Hael Husaini dan Naim Daniel yang juga penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik berbakat besar serta pemilik trofi Juara Lagu menerusi anugerah paling berprestij, Anugerah Juara Lagu untuk membimbing penyanyi senior dan penyanyi junior mempertaruhkan lagu popular yang pernah dicalonkan di semua edisi Separuh Akhir Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu (AJL).

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.