Sumber Maklumat Terkini

7 Oktober 2022

TEKS UCAPAN BAJET 2023

 


BISMILLAHIRAHMANIRAHIM. Berpegang teguh pada janji Allah Yang Maha Esa, dan pada setiap usaha yang dibina, moga-moga ini adalah yang terbaik untuk Malaysia. Sesungguhnya hanya Allah, pemilik segala kurnia lagi sebaik-baik perancang.

Tan Sri Yang di-Pertua, ahli-ahli Dewan Yang Mulia, serta buat kerabat Keluarga Malaysia di seluruh negara yang sedang tekun mengikuti pembentangan ini, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera, salam kemakmuran untuk semua, salam Keluarga Malaysia!

Pada nyaman suasana petang, berdiri saya di sini adalah untuk melunaskan amanah besar yang digalas Kementerian Kewangan sekian lama. Betapalah besar amanah itu, besar juga usahanya.

Maka, dalam merencana belanjawan negara buat tahun yang mendatang, pasukan Kementerian Kewangan telah menjelajah serata pelosok negara... mengadakan lebih 200 sesi libat urus dengan industri dan pemegang taruh, mengkaji lebih 250 memorandum serta 12 ribu cadangan awam.

Syahadan, terhasilnya satu dokumen yang natijahnya lengkap lagi tuntas-tuntas mewadahi cetusan hati sanubari pelbagai lapisan rakyat; tuntas mencakupi keperluan pembangunan berterusan negara dan tuntas memastikan benteng-benteng ekonomi yang ampuh menghadapi kemungkinan persekitaran global, bilamana geloranya menghempas pesisiran pasaran negara kita...

Ini adalah natijah siap siaga kita... Ini adalah Bajet 2023.

PEMULIHAN 2022

Tan Sri Yang di-Pertua,

Sekalipun COVID-19 masih belum reda, dunia telahpun keluar dari lesu sementara. Malaysia sudahpun bergerak di fasa peralihan ke endemik. Walau betapa deras samudera yang telah ditempuh, Hakikatnya

Kerajaan ini meneliti dan merancang teliti...

Dari PKP, berhati-hati dibuka semula ekonomi,

Dari sepi, kita kembali beraktiviti.

Warga diberi berjenis bantuan,

Peniaga diberi segala kemudahan,

Industri diberi pelbagai sokongan,

Bahawa Kerajaan inilah, Kerajaan Keluarga Malaysia...

Di bawah nakhoda Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Kerajaan Keluarga Malaysia telah berjaya mengemudi negara ke landasan pemulihan ekonomi yang kukuh.

Namun, masih ada yang mencanang kegusaran dan menyebar khabar berniat mencetuskan kebimbangan. Sememangnya diakui, situasi ekonomi global masih perlukan kita sentiasa berwaspada. Kemungkinan pergolakan dalam geopolitik dunia dan penurunan pertumbuhan ekonomi dunia pastinya menuntut setiap negara, bukan sahaja Malaysia, untuk bersedia anjal menghadapi sebarang kemungkinan. Maka, marilah kita nilaikan beberapa petunjuk dan angka berkenaan situasi ekonomi negara:

Bermula dengan penguncupan 4.5 peratus pada suku ketiga 2021, ekonomi negara telah kembali berkembang 3.6 peratus bagi suku keempat 2021, terus mengukuh 5 peratus pada suku pertama 2022 dan kini melonjak 8.9 peratus bagi suku kedua 2022. Pertumbuhan suku kedua tahun ini merupakan pencapaian terbaik di Asia Tenggara.

Momentum pertumbuhan ekonomi dijangka berterusan, malah lebih mengukuh bagi suku ketiga 2022. Insya-Allah, ekonomi negara dijangka berkembang lebih baik daripada unjuran Mac lalu antara 5.3 hingga 6.3 peratus. Dengan indikator ekonomi yang terus menyokong trend pertumbuhan, Kerajaan menyemak semula unjuran KDNK 2022 kepada antara 6.5 hingga 7 peratus.

Pemulihan tahun 2022 bukanlah semata-mata tentang KDNK sahaja. Malah, kehidupan rakyat juga telah bertambah baik. Kadar pengangguran telah menurun untuk 12 bulan berturut-turut iaitu daripada 4.8 peratus pada Julai 2021 menurun kepada 3.7 peratus pada Julai 2022. Dengan hanya setahun, Kerajaan Keluarga Malaysia berjaya kembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh.

Keyakinan pengguna juga telah kembali pulih apabila nilai jualan dagangan borong dan runcit bagi Julai 2022 telah melonjak 41 peratus berbanding Julai 2021. Bagi tujuh bulan pertama, nilai keseluruhan perdagangan borong dan runcit mencecah 882 bilion ringgit iaitu20 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama 2021.

Pun begitu, pemulihan ekonomi negara yang terus mengukuh ini tetap tidak terkecuali daripada berdepan ketidaktentuan. Ekoran perkembangan global, kadar inflasi negara telah meningkat daripada

2.3 peratus pada Januari 2022 kepada 4.7 peratus pada Ogos 2022.

Jika tidak kerana bantuan dan subsidi Kerajaan sebanyak 77.7 bilion ringgit, kadar inflasi Malaysia sepatutnya akan lebih tinggi dan boleh mencecah sehingga 10 peratus.

Ekoran kadar inflasi yang tinggi dihadapi negara-negara lain terutamanya Amerika Syarikat yang mencecah 8 peratus, dasar monetari mereka telah diketatkan secara agresif, dengan kadar faedah dinaikkan sebanyak 300 mata asas tahun ini. Ini bermakna, dengan trend negara- negara asing mengetatkan dasar monetari mereka, dijangkakan dunia bakal menghadapi kelembapan ekonomi menjelang tahun 2023.

CABARAN 2023

Tan Sri Yang di-Pertua,

Tinjauan ekonomi dunia bagi tahun 2023 akan semakin tidak menentu dan mencabar susulan konflik geopolitik, tekanan inflasi global, dasar monetari yang mengetat dan prospek pertumbuhan ekonomi yang lemah.

Pada Januari 2022, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi dunia 2023 pada kadar 3.8 peratus. Namun, pada Julai lalu, IMF telah menyemak semula unjuran 2023 kepada 2.9 peratus.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak boleh lari daripada tempias perkembangan global yang kian mencabar ini. Maka, kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2023 dijangka menyederhana iaitu antara 4 hingga 5 peratus.

Sebagai Keluarga Malaysia, kita perlu segera bertindak untuk mendepani setiap cabaran global yang mendatang, dan pada masa yang sama bertanggungjawab membina masa depan yang cerah buat anak- anak generasi legasi. Maka, bagi ke arah Malaysia yang lebih baik, Bajet 2023 akan dipandu oleh 3R – Responsive, Responsible, Reformist atau responsif, bertanggungjawab, reformis.

Bajet 2023 akan segera responsif kepada sebarang cabaran dan melalui bantuan yang komprehensif kepada Keluarga Malaysia, bukan sekadar kumpulan B40 tetapi juga M40, wanita, belia, OKU dan semua segmen masyarakat.

Bajet 2023 bertanggungjawab untuk mengimbangi dasar fiskalyang mengembang dengan melaksanakan pembaharuan fiskal ke arah kemampanan kewangan Kerajaan dalam jangka panjang. Bajet ini bertanggungjawab membina daya tahan negara bagi mendepani sebarang krisis yang mendatang.

Bajet 2023 ialah reformis yang mengambil peluang merubah landskap pembangunan negara agar lebih inklusif dan mampan di samping menyokong industri negara yang kukuh melalui pelaburan strategik.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Dalam mendapatkan input Bajet 2023, Kerajaan telah mengeluarkan Kenyataan Pra-Bajet 2023 dan menerbitkan enam kertas konsultasi awam serta pelbagai sesi libat urus. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang turut bersama-sama sejak awal perancangan dan memuktamadkan hala tuju Bajet 2023.

Bajet ini tidaklah dirangka untuk golongan tertentu sahaja, tetapi kesemua buah fikir yang dikumpul, telah diteliti dan diadun menjadi satu – iaitu sebuah Bajet 2023 hasil ilham Keluarga Malaysia. Lebih 100 inisiatif rakyat akan direalisasi sebagai sebahagian usaha holistik yang terkandung di dalam Naskhah Besar ini. Terima kasih diucapkan kepada semua yang menzahirkan segala idea dan pandangan.

Dengan tekad: "Keluarga Malaysia: Makmur Bersama", dan seiring agenda Bajet 2023 yang responsif, bertanggungjawab dan reformis, Bajet ini akan pastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan Kerajaan.

AGENDA PERTAMA: BAJET RESPONSIF

Tan Sri Yang di-Pertua,

Dalam memastikan agenda Bajet 2023 yang responsif, Kerajaan akan terus melaksanakan dasar fiskal yang mengembang. Pendekatan ini penting bagi menyediakan bantuan sewajarnya kepada rakyat dan menyokong perniagaan.

STRATEGI 1: DASAR FISKAL YANG MENGEMBANG

Bajet 2023 yang tiada seumpamanya, akan memperuntukkan sejumlah 372.3 bilion ringgit. Ini merupakan peningkatan yang ketara berbanding peruntukan Bajet 2022 sebanyak 332 bilion ringgit dan Bajet 2021 berjumlah 322 bilion ringgit.

Dicadangkan, Bajet ini menyediakan 272.3 bilion ringgit bagi Belanja Mengurus, 95 bilion ringgit untuk Belanja Pembangunan dan5 bilion ringgit di bawah Kumpulan Wang COVID-19. Sejumlah 2 bilion ringgit disediakan sebagai Simpanan Luar Jangka.

STRATEGI 2: KEUTAMAAN KEPADA RAKYAT

Berbekalkan ruang fiskal yang ada ini, keutamaan Bajet 2023 akan tertumpu kepada usaha melindungi kebajikan rakyat.

Fokus 1: Kumpulan B40

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan bulanan kepada golongan miskin seperti Bantuan Warga Emas, Bantuan Kanak-kanak serta Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit Kronik Terlantar.

Semasa pembentangan Bajet 2022, saya telah mengumumkan komitmen untuk meluaskan syarat kelayakan penerima bantuan kebajikan selaras dengan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2019 iaitu 1,169 ringgit.

Dengan keputusan ini, lebih 450 ribu isi rumah layak menerima bantuan bulanan JKM. Nasib golongan susah telah diberi keutamaan khusus dengan peruntukan 2.5 bilion ringgit bagi tahun 2023, iaitu peningkatan signifikan berbanding 1.5 bilion ringgit pada tahun 2020.

Sebelum ini, Kerajaan telah memberi subsidi bil elekrik sehingga 40 ringgit kepada isi rumah miskin tegar di bawah senarai e-Kasih. Bermula 2023, pemberian subsidi bil elektrik sehingga 40 ringgit akan diperluas mengikut PGK Makanan iaitu isi rumah berpendapatan 1,169 ringgit ke bawah berbanding syarat semasa 980 ringgit ke bawah.

Saya berharap peluasan syarat penerima bantuan mengikut PGK Makanan ini, memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat – Insya-Allah.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Menyedari manfaat yang diraih daripada pemberian bantuan tunai langsung, pelaksanaan Bantuan Keluarga Malaysia atau BKM akan terus ditambah baik. Dengan itu, untuk tahun hadapan:

Isi rumah berpendapatan bulanan kurang 2,500 ringgit dan menanggung lima orang anak atau lebih, layak menerima BKM sebanyak 2,500 ringgit. Ini ialah kategori baharu sebagai usaha Kerajaan meringankan beban keluarga yang menyara ramai anak. Bagi isi rumah sehingga empat orang anak pula, akan layak menerima BKM antara 1,000 hingga 2,000 ringgit.

Kepada isi rumah berpendapatan 2,500 hingga 5,000 ringgit, BKM yang disediakan adalah antara 500 hingga 1,250 ringgit bergantung kepada bilangan anak.

Kepada warga emas tiada pasangan serta golongan bujang pula, mereka akan terus menerima BKM masing-masing sebanyak 600 dan 350 ringgit bergantung kepada had pendapatan tertentu.

Tahun 2023, bantuan tambahan 500 ringgit kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan akan diteruskan. Ini bermakna, ibu atau bapa tunggal layak menerima bantuan maksimum sehingga 3,000 ringgit. Kadar BKM maksimum ini meningkat berbanding 2,500 ringgit tahun ini.

Misalnya, pasangan Firdaus dan Nor Aliza dari Pasir Gudang yang mempunyai lima orang cahaya mata telah menerima BKM sebanyak 2,000 ringgit tahun ini. Tahun hadapan mereka layak menerima BKM 2,500 ringgit. Ling Mee Hoon pula seorang ibu tunggal dari Sitiawan yang membesarkan tiga orang anak mendapat BKM 1,300 ringgit tahun ini dan layak menerima BKM 1,500 ringgit pada tahun 2023.

Bantuan Keluarga Malaysia 2023 akan memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima dengan peruntukan 7.8 bilion ringgit. BKM 2023 ialah bantuan komprehensif yang ditambah baik dengan ketara jika dibandingkan Bantuan Sara Hidup 2020 dengan 5 juta penerima dan peruntukan 5 bilion ringgit.

Atas keprihatinan Kerajaan kepada golongan susah dan B40, bantuan tunai di bawah JKM dan BKM untuk tahun 2023 akan melebihi 10 bilion ringgit! Diharap bantuan ini dapat menghela nafas lega para penerima dan digunakan sebaiknya mengikut keperluan masing-masing.

Mengambil ibrah firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam surah ar- Ra'd ayat 11 – "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka". Sungguhpun bantuan tunai adalah amat penting untuk kegunaan masa sekarang, tetapi hanya dengan pendapatan tetap sahaja yang boleh mengubah isi rumah ke arah kehidupan yang lebih selesa.

Kerajaan berhasrat untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025. Isu ini akan ditangani secara holistik melalui pendekatan whole-of- nation. Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia telah dimulakan pada tahun ini dengan peruntukan hanya 150 juta ringgit.

Untuk tahun 2023, bagi menyegerakan agenda membasmi kemiskinan tegar, 1 bilion ringgit disediakan iaitu 750 juta ringgit peruntukan Kerajaan di samping program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh GLC bernilai 250 juta ringgit.

Program ini akan menyediakan peluang ekonomi kepada lebih 50 ribu isi rumah miskin tegar bagi meningkatkan pendapatan antaranya menerusi projek pertanian serta keusahawanan produk dan perkhidmatan. Bantuan yang diberikan termasuklah latihan, modal permulaan, insentif pertanian, pemasaran dan pendigitalan. Diharapkan, usaha ini dapat meningkatkan pendapatan isi rumah miskin tegar sehingga melepasi pendapatan garis kemiskinan makanan.

Fokus 2: Kumpulan M40

Tan Sri Yang di-Pertua,

Kerajaan ini tidak pernah melupakan isi rumah kumpulan pertengahan. Kerajaan sentiasa berusaha untuk menambah pendapatan boleh guna yang boleh dimanfaatkan oleh golongan M40.

Kepada hampir 1 juta pembayar cukai, Kerajaan ingin maklumkan satu khabar gembira. Sukacita diumumkan, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara lebih 50 ribu hingga 100 ribu ringgit, iaitu:

Pertama : Banjaran pendapatan bercukai lebih 50 ribu hingga 70 ribu ringgit, kadarnya diturunkan daripada 13 peratus kepada 11 peratus; dan

Kedua: Banjaran pendapatan bercukai lebih 70 ribu hingga 100 ribu ringgit, kadarnya diturunkan daripada 21 peratus kepada 19 peratus.

Pada masa yang sama, banjaran pendapatan bercukai lebih 250 ribu hingga 400 ribu ringgit akan digabungkan dengan banjaran lebih 400 ribu hingga 600 ribu ringgit dan dikenakan kadar cukai 25 peratus.

Dengan layanan khas cukai pendapatan ini, penjimatan cukai kumpulan pertengahan adalah sehingga 1,000 ringgit dan untuk kumpulan teratas adalah sehingga 250 ringgit. Ini bermakna, dianggarkan 800 juta ringgit tersedia sebagai lebihan pendapatan yang boleh dibelanjakan oleh rakyat.

Bagi membudayakan pembayaran tanpa tunai atau cashless, inisiatif e-Pemula M40 akan dilaksanakan iaitu tawaran kredit e-dompet sebanyak 100 ringgit kepada kumpulan M40 berpendapatan tahunan di bawah 100 ribu ringgit. Dianggarkan, seramai 8 juta individu layak menuntut kredit ini dengan peruntukan disediakan 800 juta ringgit.

Fokus 3: Wanita dan Kanak-kanak

Tan Sri Yang di-Pertua,

WANITA ialah anugerah. Mereka bukan sahaja membina keluarga sakinah, malah turut segandingan memakmurkan negara. Bagi memastikan dasar yang direncana mengambil kira kepentingan gender, Gender Focal Team akan diwujudkan di setiap kementerian dan agensi.

Kita semua di dalam Dewan Yang Mulia ini telah menjadi saksi kepada lulusnya Rang Undang-undang Antigangguan Seksual 2021. Komitmen tegas ini adalah untuk menoktahkan segala bentuk gangguan seksual di samping meningkatkan kesedaran semua agar tindakan ini tidak lagi dinormalisasi. Bagi menzahirkan usaha ini, Tribunal Antigangguan Seksual akan ditubuhkan pada 2023.

Bagi menangani isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga, Pusat Sokongan Sosial Setempat akan diperkukuh. Sejumlah 8 juta ringgit disediakan untuk Pusat ini berperanan sebagai lokasi intervensi awal serta sesi advokasi psikososial dan kaunseling. Kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan NGO dan pusat perlindungan seperti P.S. The Children untuk memberi sokongan kepada mangsa.

Berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2012-2016, kanser payudara merupakan bentuk kanser utama dalam kalangan wanita yang menyumbang kepada satu pertiga daripada jumlah kes. Tahun hadapan, Kerajaan akan memperbanyak ujian saringan melalui subsidi ujian mamogram dan program saringan kanser serviks kepada kaum wanita dengan peruntukan 11 juta ringgit.

Pelaksanaan saringan kanser serviks juga akan diperintiskan menggunakan kaedah baharu ujian saringan PCR yang telah dipelopori oleh Yayasan ROSE dengan kerjasama Universiti Malaya dan Universiti Malaysia Sarawak.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Saya sempat berjumpa dengan Puan Padzilah Sulaiman, pengasas telekung Siti Khadijah dan tertarik dengan kejayaannya. Beliau pada 2009 mula menjual telekung rekaannya secara kecil-kecilan di Sungai Merab, Bangi. Atas tekad meningkatkan kapasiti perniagaan, beliau memanfaatkan pelbagai kemudahan Kerajaan yang tersedia. Kini, beliau memiliki lebih 40 butik di Malaysia dan Indonesia.

Maka, bagi mendorong lebih ramai wanita meningkatkan kapasiti perniagaan dan menambah baik strategi pemasaran, sejumlah 235 juta ringgit dana pembiayaan tersedia khas untuk wanita di bawah Skim Semarak-Nita BSN, Tekunita TEKUN, DanaNITA MARA, dan Biz Lady Bank Rakyat.

Setakat Oktober 2022, wanita memegang 29 peratus daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat senaraian awam utama dan kesemua 100 syarikat ini mempunyai sekurang-kurangnya seorang wanita sebagai ahli lembaga pengarah mereka.

Bagi terus memperkasa peranan wanita di peringkat kepimpinan korporat, Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan program latihan khas untuk meningkatkan kemahiran wanita, mengenal pasti dan seterusnya menambah bilangan wanita yang layak untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah. Saya percaya parti-parti politik pun sedang giat mengenal pasti serta berazam untuk mencalonkan lebih ramai wakil rakyat wanita untuk PRU akan datang.

Akhir sekali, bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja setelah mengambil tempoh career break, Kerajaan bercadang untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang diterima mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2028.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Aspek kebajikan kanak-kanak akan terus dititikberatkan. Kerajaan menyediakan 188 juta ringgit bagi program pendidikan awal kanak-kanak di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat atau KEMAS. Ini termasuk pembinaan 10 buah taska KEMAS termasuk tiga projek baharu di Port Dickson, Negeri Sembilan, Limbang, Sarawak dan Pasir Putih, Kelantan.

Bagi meringankan beban kewangan ibu bapa yang memberikan pendidikan awal anak-anak, Kerajaan bersetuju melanjutkan sehingga tahun taksiran 2024 pelepasan cukai sehingga 3,000 ringgit ke atas bayaran yuran TASKA dan TADIKA berdaftar.

Menurut Jabatan Perangkaan, kadar fertiliti negara pada 1970 ialah 4.9 orang bayi untuk setiap wanita, namun kini telah jatuh ke tahap terendah iaitu 1.7 orang bayi. Sementara itu, kanak-kanak daripada keluarga susah khususnya, berdepan dengan masalah malpemakanan sehingga mengganggu tumbesaran mereka lebih-lebih lagi sejak COVID-19 melanda.

Bagi meningkatkan kadar kelahiran dan dalam masa yang sama mengurangkan masalah kanak-kanak bantut, di bawah inisiatif CahayaMata Keluarga Malaysia, ibu daripada isi rumah penerima BKM yang melahirkan anak pada tahun 2023 akan diberikan bantuan tunai one-off sebanyak 500 ringgit dengan peruntukan 150 juta ringgit. Jadi saya rasa, masih sempatlah lagi untuk ambil peluang mendapatkan zuriat pada tahun hadapan. Tapi kenalah ingat bahawa bantuan ini hanya kepada ibu dan bukan kepada bapa.

Fokus 4: Golongan Belia

Tan Sri Yang di-Pertua,

Golongan belia mewakili lebih seperempat populasi negara. Sememangnya, pada tangan-tangan merekalah yang menentukan lakaran wajah masa depan negara. Elok acuan kita, moleklah peribadi mereka.

Sungguhpun negara berjaya mencapai tahap guna tenaga penuh, tetapi kadar pengangguran bagi mereka di bawah 25 tahun, termasuk lepasan sekolah dan institut pengajian tinggi masih berada pada tahap 11 peratus setakat suku kedua 2022. Hal ini akan terus diberi perhatian.

Bagi memastikan anak muda diberi akses pekerjaan sewajarnya, Kerajaan akan menyediakan insentif penggajian di bawah PERKESO kepada majikan yang menggaji belia berumur 18 hingga 30 tahun yang menganggur lebih daripada tiga bulan. Selain itu, insentif ini turut dipanjangkan kepada majikan yang mengambil graduan TVET.

Malaysia sememangnya telah melahirkan ramai anak muda yang berjaya dalam perniagaan. Ini termasuklah Arun Prasanth, usahawan muda yang mengusahakan khidmat pembersihan rumah dan pejabat sejak 2018. Melalui pinjaman di bawah BSN Mikro Belia sebanyak 20 ribu ringgit,kini purata jualan tahunan beliau telah mencecah 200 ribu ringgit.

Bagi menggalakkan lebih ramai anak muda berniaga, sejumlah 305 juta ringgit tersedia sebagai kemudahan pinjaman khusus untuk belia melalui SME Bank, TEKUN, MARA, BSN dan Agrobank.

Antaranya, Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia di bawah BSN dengan dana 50 juta ringgit akan menawarkan pinjaman sehingga 50 ribu ringgit untuk 10 ribu anak muda menjana pendapatan sendiri seperti mengusahakan food truck.

Bagi membantu kumpulan B40 khususnya belia menjana pendapatan melalui perkhidmatan membawa penumpang seperti teksi, bas dan e-hailing, Kerajaan bersetuju untuk menanggung bayaran bagi mendapatkan lesen teksi, bas dan e-hailing di bawah program MyPSV. Selain itu, Kerajaan turut bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2.

Tidak cukup dengan itu, bagi menggalakkan lagi belia bekerja, Skim TEKUN Belia Mobilepreneur diteruskan dengan 10 juta ringgit bagi membiayai modal anak muda terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

Pakej Remaja Keluarga Malaysia telah membantu belia untuk mendapatkan pakej prabayar dengan tawaran langganan pelan data internet dengan hanya 30 ringgit untuk tempoh tiga bulan. Bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan belia di samping melancarkan sesi pembelajaran pelajar, inisiatif ini dilanjutkan sehingga April 2023.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Inisiatif e-Pemula tahun ini telah menawarkan kredit e-dompet berjumlah 150 ringgit kepada belia. Atas komitmen Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menambah baik program ini, e-Pemula akan diteruskan dengan menaikkan jumlah kredit kepada 200 ringgit untuk manfaat 2 juta belia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa 21 tahun ke atas dengan peruntukan 400 juta ringgit.

Fokus 5: Perlindungan Sosial

Tan Sri Yang di-Pertua,

Dalam memastikan kesejahteraan rakyat yang holistik, agenda perlindungan sosial akan terus diberi perhatian serius. Sewaktu tahun 2020, hanya segelintir gig riders dilindungi dan setelah Kerajaan menyumbang kepada caruman, kini lebih 260 ribu dilindungi melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO.

Bagi mengurangkan bebanan golongan bekerja sendiri membayar caruman PERKESO, Kerajaan akan menanggung 80 peratus daripada nilai caruman tersebut. Ini bermakna, orang bekerja sendiri seperti penghantar makanan, petani, nelayan, penggiat seni FINAS dan penjaja hanya membayar 20 peratus sahaja. Tahun hadapan, inisiatif ini akan disediakan 150 juta ringgit dan diperluas kepada mereka yang bekerja sendiri seperti pemandu teksi dan pekerja gig sektor teknologi maklumat.

Tahun hadapan, Kerajaan akan mula mewajibkan caruman SKSPS kepada semua sektor pekerjaan sendiri terutamanya sektor berisiko tinggi secara berperingkat. Inisiatif ini akan bermula dengan sektor pengangkutan awam dan penghantaran barangan ataupun makanan.

Melihatkan kepada kepentingan membina simpanan hari tua yang mencukupi, had caruman sukarela KWSP akan dinaikkan daripada 60 ribu kepada 100 ribu ringgit setahun. Bagi menggalakkan lagi caruman sukarela, Kerajaan juga akan meluaskan skop pelepasan cukai bagi premium insurans nyawa atau caruman takaful hayat untuk meliputi caruman sukarela kepada KWSP sehingga 3,000 ringgit.

Sukacita juga program i-Saraan akan dilanjutkan untuk tahun 2023 serta ditambah baik dengan meningkatkan caruman padanan daripada 250 kepada 300 ringgit. Dengan peruntukan 30 juta ringgit, inisiatif ini dijangka memanfaatkan lebih 100 ribu pencarum.

Bagi menghargai sumbangan suri rumah, Kerajaan berhasrat untuk melanjutkan program Kasih Suri Keluarga Malaysia untuk tahun 2023 dan memperkasa program ini melalui perlindungan tambahan di bawah Skim PERKESO. Suri rumah yang membuat caruman KWSP minimum 60 ringgit setahun akan mendapat insentif padanan tambahan Kerajaan bernilai sehingga 600 ringgit setahun merangkumi 480 ringgit simpanan KWSP serta 120 ringgit caruman Skim PERKESO. Program ini bakal memanfaat 200 ribu suri rumah dengan sumbangan Kerajaan lebih 120 juta ringgit.

Untuk meningkatkan pegangan ekuiti dalam kalangan Bumiputera, sukacita diumumkan jumlah had pegangan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan ASB2 dinaikkan kepada 300 ribu ringgit berbanding 200 ribu ringgit.

BSN juga akan menyediakan dana pinjaman mudah untuk membantu B40 Bumiputera melabur dalam ASB dengan tawaran pinjaman pada kadar 1.5 peratus melibatkan dana 100 juta ringgit.

Fokus 6: Kos Sara Hidup

Tan Sri Yang di-Pertua,

Secara keseluruhan, Kerajaan memperuntukkan lebih 55 bilion ringgit khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif di bawah Bajet 2023. Jumlah dana yang besar ini adalah bagi meminimumkan kos sara hidup antaranya melalui kawalan harga barangan dan perkhidmatan.

Kerajaan komited untuk memastikan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gas LPG, petrol dan diesel sampai ke tangan penduduk luar bandar pada harga yang berpatutan. Tahun hadapan, 200 juta ringgit disediakan bagi menampung kos pengangkutan dan pengedaran barang perlu. Kerajaan juga akan memperluas manfaat program ke 23 kawasan baharu termasuklah Kampung Passin di Mukah, Sarawak dan Kampung Tawayari di Lahad Datu Sabah.

Program Jualan Murah Keluarga Malaysia telah dilaksanakan sejak Ogos lalu dan memanfaatkan pengguna melalui tawaran harga barangan keperluan asas sehingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran. Sejak dilancarkan, Program ini telah diadakan di lebih 500 lokasi dan minggu ini telah dianjurkan di Kanowit, Sarawak.

Melihatkan impak positif Program ini khususnya buat isi rumah B40, Kerajaan komited untuk meneruskan pelaksanaan Program ini di seluruh negara meliputi 600 DUN, 13 Parlimen Wilayah Persekutuan dan di universiti awam dengan peruntukan 100 juta ringgit.

Fokus 7: Kerjaya dan Latihan Kemahiran

Tan Sri Yang di-Pertua,

Sejak COVID-19 melanda, soal pekerjaan terus menjadi tumpuan utama Kerajaan. Tahun 2022, pelbagai inisiatif di bawah Jamin Kerja Keluarga Malaysia telah berjaya menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran kepada lebih 310 ribu orang setakat ini. Sungguhpun kita telah mencapai tahap guna tenaga penuh, namun, tumpuan akan tetap diberikan bagi memastikan peluang kerjaya kepada kumpulan tertentu dalam masyarakat.

Tahun hadapan, Kerajaan akan meneruskan Insentif Penggajian di bawah PERKESO bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia yang menganggur daripada golongan seperti OKU, orang asli, bekas banduan dan wanita yang kembali bekerja. Untuk ini, insentif penggajian antara 600 hingga 750 ringgit sebulan akan dibayar untuk tempoh tiga bulan kepada majikan. Insentif juga akan disediakan kepada golongan veteran serta majikan dan Agensi Pekerjaan Swasta yang menggantikan pekerja asing kepada pekerja tempatan.

Di bawah Insentif Penggajian PERKESO ini, sebanyak 150 juta ringgit disediakan dan dijangka dapat membuka peluang kerjaya kepada lebih 70 ribu pencari kerja.

Bagi meringankan beban pencari kerja, Sukacita, Kerajaan melalui PERKESO akan menyediakan bantuan mobiliti sebanyak 500 ringgit kepada pencari kerja yang mendapat pekerjaan di luar negeri bermastautin. Manakala, bantuan mobiliti 1,000 ringgit melibatkan penghijrahan jarak jauh iaitu dari Sabah atau Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya.

Sejak inisiatif MySTEP dilaksanakan, ia telah berjaya menawarkan lebih 118 ribu peluang pekerjaan. Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan MySTEP dengan menawarkan 50 ribu peluang kerjaya secara kontrak merangkumi 15 ribu dalam sektor awam dan 35 ribu melalui GLC. Tempoh perkhidmatan MySTEP sektor awam juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023.

Sukacita juga diumumkan bermula tahun 2023, gaji MySTEP akan dinaikkan sebanyak 100 ringgit iaitu antara 1,500 hingga 2,100 ringgit berbanding 1,400 hingga 2,000 ringgit.

Keluarga Malaysia akan terus disediakan dengan peluang mengikuti pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi mempersiap diri memenuhi kehendak pasaran kerja.

HRD Corp akan menyediakan sejumlah 750 juta ringgit untuk memberi latihan kemahiran kepada lebih 800 ribu pekerja bagi meningkatkan produktiviti dan peluang pendapatan.

Sebagai usaha melahirkan bakat baharu, Suruhanjaya Sekuriti dengan kerjasama Dana Pembangunan Pasaran Modal akan menubuhkan Dana Inovasi Digital (DIGID) melibatkan 30 juta ringgit bagi meningkatkan kebolehpasaran 9,000 graduan dalam pasaran modal.

Selain itu, 20 juta ringgit turut disediakan bagi melaksanakan Program Usahawan Siswazah (PUSh) untuk memanfaat 1,000 graduan menceburi bidang keusahawanan.

Fokus 8: Pendidikan dan TVET

Tan Sri Yang di-Pertua,

Pendidikan ialah pelaburan terbaik bagi membina masa depan negara yang cerah. Kementerian Pendidikan akan terus menerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak 55.6 bilion berbanding 52.6 bilionringgit tahun ini.

Bantuan Awal Persekolahan (BAP) selama ini telah meringankan beban ibu bapa berpendapatan 3,000 ringgit ke bawah untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak. Bermula tahun ini, kadar BAP telah dinaikkan kepada 150 ringgit berbanding 100 ringgit.

Bagi tahun hadapan 2023, sukacita diumumkan, Bantuan Awal Persekolahan akan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya.

Sebagai contoh, jika sebuah keluarga mempunyai tiga orang anak bersekolah, maka mereka layak menerima BAP sebanyak 450 ringgit! Insya-allah, Bantuan ini akan disalurkan pada Januari 2023 dan diharap dapat meringankan beban ibu bapa yang menyara anak-anak bersekolah. Peruntukan disediakan untuk BAP adalah sebanyak 825 juta ringgit iaitu jauh melebihi peruntukan tahun ini 450 juta ringgit.

Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah dilaksanakan sejak 1979 bagi memastikan murid daripada keluarga susah mendapat khasiat makanan yang diperlukan. Seperti saya umumkan semasa Bajet 2022,

Kerajaan telah menambah baik RMT dengan menyediakan bekalan susu pada setiap hari persekolahan anak-anak.

Bagi terus menambah baik Program ini, Kerajaan akan menaikkan kadar makanan bermasak RMT daripada 2 ringgit 50 sen kepada 3 ringgit 50 sen untuk Semenanjung dan 3 ringgit kepada 4 ringgit bagi Sabah, Sarawak dan Labuan. Kenaikan kadar ini akan berkuat kuasa pada bulan ini juga.

Sejumlah 777 juta ringgit disediakan iaitu peningkatan signifikan berbanding 280 juta ringgit pada tahun 2020 atas peluasan penerima, kenaikan kadar dan penyediaan bekalan susu setiap hari. Dengan itu, lebih 800 ribu murid serta 7,300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambahbaikan ini.

Bagi tahun hadapan, sejumlah 2.3 bilion ringgit diperuntukkan untuk menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat buat murid-murid sekolah. Ini merupakan peningkatan ketara berbanding peruntukan 1.7 bilion ringgit bagi tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, 1.1 bilion ringgit disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaaan Cina dan Tamil serta sekolah agama.

Sejumlah 1.2 bilion ringgit pula disediakan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif terutamanya bagi menggantikan bangunan kayu lama untuk keselesaan khususnya anak-anak di Sabah dan Sarawak dengan melibatkan 123 projek di Sabah dan 182 projek di Sarawak.

Bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, Kerajaan pada tahun 2023 akan mula membina lima buah sekolah baharu dengan kos430 juta ringgit melibatkan SMK Nabalu Sabah, SMK Dudong Sarawak, SK Paya Dusun Terengganu, SK Cyberjaya 2 dan SMK Denai Alam Selangor.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Pencapaian pendidikan tinggi negara terus membanggakan pada mata global. Bagi tahun hadapan, Kementerian Pengajian Tinggi akan diperuntukkan sejumlah 15.1 bilion ringgit.

Kerajaan komited untuk memastikan anak-anak Keluarga Malaysia meneruskan pengajian hingga ke menara gading. Secara keseluruhan, 3.8 bilion ringgit disediakan sebagai biasiswa dan pinjaman pendidikan bagi manfaat anak bangsa.

Atas keprihatinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Elaun Sara Hidup bagi pelajar MARA dan PETRONAS telah dinaikkan. Sebagai tambahan, sukacita diumumkan kadar Elaun Sara Hidup tajaan JPA bagi pelajar dan pegawai dalam negara akan diseragamkan dan dinaikkan sebanyak 100 ringgit sebulan bagi semua peringkat pengajian menjadikan Elaun Sara Hidup tajaan JPA antara 730 hingga lebih 980 ringgit sebulan.

Kemudahan pendidikan buat anak-anak Bumiputera khususnya dari keluarga susah akan terus diberi perhatian. Tahun hadapan, sebahagian besar daripada peruntukan 6.6 bilion ringgit kepada MARA, Yayasan Peneraju dan UiTM adalah untuk menyediakan Bumiputera dengan akses pinjaman pendidikan serta peluang mengikuti bidang profesional seperti kejuruteraan.

Semasa Jelajah Bajet 2023, saya berpeluang melawat USM untuk melihat sendiri usaha mereka memasang sistem solar fotovolta di 90 lokasi bagi membekalkan tenaga bersih di kampus USM. Maka, Kerajaan menyediakan 10 juta ringgit bagi menggalakkan universiti awam membudayakan inisiatif kampus hijau. Lebih 300 juta ringgit juga disediakan bagi kerja-kerja menaik taraf dan menyelenggara kemudahan universiti awam.

Seperkara lagi, jaringan digital di gedung-gedung ilmu juga akan terus ditambah baik. Projek Malaysia Research and Education Network (MYREN) di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti diteruskan bagi menaik taraf kapasiti bandwidth dengan peruntukan 35 juta ringgit.

Tanggal 2 Jun telah dipilih sebagai Hari TVET Negara. Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan SPM akan melanjutkan pengajian dalam bidang TVET menjelang 2025. Selaras dengan agenda memperkasa TVET yang diterajui oleh Majlis TVET

Negara, sejumlah 6.7 bilion ringgit disediakan di bawah tujuh kementerian utama yang melaksanakan pelbagai inisiatif TVET.

Antaranya, 180 juta ringgit disediakan sebagai Dana Latihan TVET kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi menyediakan pinjaman untuk manfaat 12 ribu pelatih yang mengikuti Program Persijilan Kemahiran Malaysia. Kerajaan juga akan meneruskan program Sistem Latihan Dual Nasional dengan peruntukan 20 juta ringgit untuk manfaat 3,000 pelatih.

Kerajaan bercadang untuk melanjutkan sehingga 2024 pelepasan cukai pendapatan individu sehingga 8,000 ringgit untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebelum ini telah bersetuju untuk menaikkan kadar pinjaman PTPTN serta menyediakan pinjaman komputer untuk kumpulan M40 selain mengecualikan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua pelajar yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama.

Kepada peminjam PTPTN yang perlu membayar hutang mereka, tanggungjawab itu hendaklah dilunaskan. Ini sudah jelas malah menjadi tuntutan dalam agama. Jika tidak dibayar, kita menafikan hak anak-anak Keluarga Malaysia untuk meraih peluang yang sama.

Bagi memudahkan pembayaran dan memupuk sikap bertanggungjawab, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November 2022 hingga 30 April 2023 dengan kadar yang berikut:

Pertama: Diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;

Kedua: Diskaun 15 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan

Ketiga: Diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.

Fokus 9: Pemilikan Rumah

Tan Sri Yang di-Pertua,

Majlis Perumahan Mampu Milik Negara telah menyasarkan pembinaan 500 ribu unit rumah mampu milik di seluruh negara menjelang 2025. Untuk menggalakkan pemilikan rumah pertama, sebelum ini, duti setem bagi rumah bernilai 500 ribu ringgit ke bawah telah dikecualikan sepenuhnya hingga akhir tahun 2025. Sukacita saya umumkan, berhubung urusan surat cara pindah milik harta tanah dan perjanjian pinjaman bagi rumah bernilai lebih 500 ribu hingga 1 juta ringgit, pengecualian bayaran duti setem akan dinaikkan daripada 50 kepada 75 peratus sehingga 31 Disember 2023.

Sebagai contoh, pengecualian 100 peratus atas pembelian rumah bernilai 300 ribu ringgit bakal menjimatkan 6,500 ringgit sementara pengecualian 75 peratus atas pembelian rumah 750 ribu ringgit bakal menjimatkan wang rakyat sebanyak 15 ribu ringgit.

Pada masa ini, pengecualian duti setem sepenuhnya diberikan ke atas surat cara pindah milik harta tanah antara suami isteri tetapi hanya 50 peratus antara ibu bapa dan anak. Memandangkan kasih sayang antara ibu bapa dan anak tidak mungkin lah separuh, Kerajaan bercadang mulai tahun 2023, semua pindah milik harta tanah atas dasar kasih sayang antara keluarga seperti daripada suami kepada isteri, bapa kepada anak atau datuk kepada cucu hanya dikenakan duti setem sebanyak sepuluh ringgit.

Tahun hadapan, peruntukan bagi bina baharu dan baik pulih rumah di luar bandar akan ditingkatkan daripada 361 juta kepada 460 juta ringgit. Di samping itu, kadar siling bantuan bina baharu rumah turut dinaikkan, contohnya daripada 68 ribu ringgit kepada 79 ribu ringgit seunit di Sabah dan Sarawak. Sehubungan itu, 3,000 rumah baharu akan dibina dengan lebih separuh daripadanya di Sabah dan Sarawak.

Untuk kawasan bandar pula, Program Perumahan Rakyat (PPR) disediakan peruntukan 367 juta ringgit termasuk projek baharu di Marang, Terengganu dan Arau, Perlis untuk manfaat 12,400 bakal penghuni baharu. Program Rumah Mesra Rakyat pula melibatkan pembinaan 4,250 unit rumah dengan peruntukan 358 juta ringgit.

Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyediakan jaminan Kerajaan atas pinjaman perumahan terutamanya untuk membantu peminjam tanpa pendapatan tetap seperti pekerja e-hailing yang telah membantu lebih 14 ribu peminjam. Bagi membantu sehingga12 ribu peminjam pada tahun 2023, kemudahan jaminan Kerajaan melalui SJKP akan ditingkatkan sebanyak 3 bilion ringgit.

#TeamMOF telah bertemu Kak Noraishah semasa mengadakan lawatan ke PPR Lembah Subang 1. Sebagai ketua komuniti yang disegani, beliau amat aktif dan sering bekerjasama dengan pihak PBT dan Yayasan Hasanah dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti menerusi program keusahawanan dan pemerkasaan wanita demi membolehkan mereka berdikari. Sapu tangan batik saya hari ini juga ialah hasil tangan usahawan wanita di PPR.

Dalam membina persekitaran komuniti yang harmoni, Kerajaan komited untuk:

Pertama: memastikan kondisi rumah strata kos rendah dan sederhana yang selamat dengan menyelenggara termasuk menggantikan lif-lif usang dengan peruntukan 290 juta ringgit;

Kedua: meningkatkan khidmat kesihatan bergerak antaranya di kawasan rumah kos rendah dengan peruntukan 22 juta ringgit;

Ketiga: menyediakan kelas pemulihan untuk anak-anak penghuni rumah kos rendah yang tercicir pembelajaran semasa pandemik COVID-19; dan

Keempat: mempergiat aktiviti peningkatan pendapatan oleh Yayasan Hasanah antaranya membantu pengusaha makanan memanfaatkan platform Cloud Kitchen.

Fokus 10: Pengangkutan Awam

Tan Sri Yang di-Pertua,

Bagi menggalakkan Keluarga Malaysia menggunakan pengangkutan awam, Kerajaan akan terus mensubsidi kos perkhidmatan dan meningkatkan capaian pengangkutan awam di seluruh negara.

Perkhidmatan bas henti-henti penting kepada penduduk bandar yang menggunakan kenderaan awam untuk ke tempat kerja. Bagi tahun hadapan, 180 juta ringgit disediakan antaranya bagi menambah baik capaian bas awam kepada warga di Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching. Kerajaan juga akan menggantikan 18 buah bas henti-henti kendalian MARA untuk manfaat penduduk Kedah.

Selanjut perkhidmatan udara pula merupakan mod pengangkutan utama bagi penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak. Kerajaan komited untuk terus mensubsidi perkhidmatan pengangkutan udara dengan peruntukan 209 juta ringgit untuk manfaat penduduk luar bandar.

Kerajaan juga akan menambah baik kemudahan di tujuh lapangan terbang Sabah dan Sarawak, dengan membina wheelchair ramp untuk manfaat 2,300 komuniti berkerusi roda yang menggunakan MASWings.

Secara purata warga Lembah Klang yang menggunakan kemudahan rel dan bas untuk ke tempat kerja perlu berbelanja sekitar 200 ringgit sebulan. Bagi mengurangkan kos perjalanan, Kerajaan akan meneruskan inisiatif pas bulanan My50 untuk manfaat hampir 180 ribu pengguna. Ini bermakna, My50 sebenarnya mensubsidi pengguna sehingga 150 ringgit sebulan atau 1,800 ringgit setahun.

Semasa Jelajah Bajet Yang Berhormat Sipitang ke Kelantan, JKR telah memberi taklimat tentang feri mereka yang menyediakan khidmat pengangkutan antara Pengkalan Kubor ke Takbai, Narathiwat, Thailand kepada 30 ribu penduduk Tumpat. Sejumlah 9 juta ringgit disediakan untuk JKR menggantikan feri sedia ada yang berusia lebih 34 tahun.

Khas untuk pemilik teksi individu pula, sukacita Kerajaan bersetuju memberi pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi penjualan, pindah milik atau pelupusan teksi diperluas kepada teksi eksekutif dan teksi lapangan terbang.

Fokus 11: Komuniti Tumpuan

Tan Sri Yang di-Pertua,

Agenda memperkasa komuniti tumpuan akan memfokuskan kepada pemberian bantuan, kemudahan infrastruktur dan program-program sosioekonomi.

Secara keseluruhan, masyarakat orang asli disediakan 305 juta ringgit iaitu meningkat berbanding 274 juta ringgit tahun ini. Peruntukan ini antaranya merangkumi program bantuan sosial, peningkatan taraf hidup serta Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli.

Bagi tahun hadapan, Kerajaan akan melaksanakan Projek Tanam Semula Ladang Orang Asli merangkumi kerja-kerja penanaman semula getah dan kelapa sawit yang akan memanfaatkan lebih 2,100 orang asli antaranya di Kemaman Terengganu, Bera Pahang, dan Gua Musang Kelantan. Kerajaan juga akan mempergiat Program Pembangunan Usahawan Orang Asli bagi menyediakan bantuan peralatan perniagaan dan bimbingan keusahawanan kepada 550 orang asli.

Saudari Zainab Along, anak orang asli dari suku Jakun telah melanjutkan pelajaran melalui kemudahan MARA, beliau berjaya merangkul Ijazah Sarjana Sains Gunaan di University of Plymouth dan seterusnya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang seni bina dari University of Newcastle.

MARA kini menyediakan peluang tajaan kepada 10 orang anak orang asli menyambung pengajian tinggi di luar negara. Tahun hadapan, bagi memberi inspirasi kepada lebih ramai anak orang asli menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, Yayasan di bawah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan juga menaja sekurang-kurangnya 10 orang anak orang asli untuk menyambung pelajaran di luar negara.

Tahun hadapan, hampir 1 bilion ringgit disediakan khusus untuk kebajikan warga emas iaitu peningkatan ketara berbanding 580 juta ringgit pada tahun 2020 berikutan kenaikan kadar bantuan kebajikan warga emas dan peluasan kelayakan yang meningkatkan bilangan penerima.

Kerajaan juga terus menyediakan geran berjumlah 21 juta ringgit untuk menyokong operasi institusi penjagaan warga emas, kanak- kanak dan OKU swasta yang dikendalikan oleh NGO.

Kebajikan Orang Kurang Upaya akan terus diberi perhatian di samping melaksanakan inisiatif yang berupaya menggilap potensi OKU untuk menyumbang kepada ekonomi diri. Tahun 2023, sejumlah 1.2 bilion ringgit disedia khusus untuk OKU antaranya melalui bantuan penjagaan pesakit kronik, elaun OKU tidak berupaya kerja dan elaun pekerja cacat.

Dalam menggalakkan lebih ramai OKU berniaga, Kerajaan akan terus memperkasa Skim 1 OKU 1 Perniagaan dengan mengecualikan bayaran fi pendaftaran dan pembaharuan lesen perniagaan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Semasa #TeamMOF bersama-sama komuniti OKU, terdapat cadangan untuk memperbanyak perkhidmatan pintu ke pintu bagi memudahkan pergerakan komuniti OKU. Maka, sebagai usaha merealisasikan hasrat ini, 10 juta ringgit disediakan bagi pemberian baucar perjalanan kepada OKU melalui perkhidmatan e-hailing.

Pendidikan untuk anak-anak OKU akan terus diperkasa. Bagi melindungi kebajikan murid dan guru pendidikan khas, Kerajaan menyediakan 20 juta ringgit untuk membekalkan peralatan mengajar serta menambaik baik fasiliti di sekolah berkeperluan khas.

Seperkara lagi, bagi memberi peluang kepada ibu bapa menghantar anak-anak OKU ke tempat asuhan yang selamat semasa mereka bekerja, Kerajaan menyediakan insentif khas bagi menubuhkan 50 buah TASKA OKU baharu berbanding 13 buah sedia ada.

Kini terdapat 260 ribu OKU yang layak menerima BKM. Bagi memastikan capaian maklumat yang tuntas dan tepat, Kementerian Kewangan akan memperintiskan Pusat Panggilan Mesra OKU dengan menggunakan mod panggilan video bersama khidmat jurubahasa isyarat bagi menyampaikan maklumat kepada OKU.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Golongan banduan turut punyai peluang bekerja dalam pelbagai bidang yang dikendali Jabatan Penjara. Tahun 2023, 10 juta ringgit disediakan di bawah inisiatif Agropenjara bagi memperluas aktiviti pertanian dan perladangan melibatkan 70 hektar tanah penjara.

Peruntukan ini antaranya untuk meluaskan penternakan lebah kelulut di Penjara Prabebas Dusun Dato' Murad Melaka dan meningkatkan bekalan ikan air tawar segar di Pusat Koreksional Kamunting Perak.

Bermula 2023, potongan cukai tambahan kepada majikan yang menggaji antaranya bekas banduan turut dipanjangkan kepada bekas penghuni Sekolah Henry Gurney, institusi perlindungan dan pemulihan Kerajaan serta pusat jagaan bukan Kerajaan yang berdaftar di bawah JKM.

Berhubung kebajikan anak-anak di bawah jagaan institusi JKM, Kerajaan akan menubuhkan Pusat Transit – Anjung Sinar sebagai pusat sementara untuk mereka berteduh sebelum mendapat pekerjaan dan memulakan hidup baharu. GLC juga akan membantu mereka dengan peluang pekerjaan bersesuaian.

Fokus 12: Pesawah, Nelayan dan Pekebun Kecil

Tan Sri Yang di-Pertua,

Kerajaan tetap akan memastikan kebajikan dan sokongan yang berterusan kepada para pesawah, nelayan dan pekebun kecil. Bagi tahun hadapan Kerajaan akan menyediakan:

Pertama: pelbagai subsidi dan insentif merangkumi subsidi harga padi, baja padi, benih padi sah, baja padi huma dan insentif pengeluaran padi serta insentif tangkapan hasil nelayan dengan peruntukan 1.8 bilion ringgit iaitu meningkat 100 juta ringgit berbanding tahun ini;

Kedua: bantuan kepada pesawah padi diperkenalkan semula untuk tahun 2023 dengan memberi bantuan sebanyak 200 ringgit sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim kepada 240 ribu pesawah dengan peruntukan 228 juta ringgit;

Ketiga: Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah sebanyak 200 ringgit sebulan untuk tempoh empat bulan kepada 320 ribu pekebun kecil dengan peruntukan 256 juta ringgit. Ini bermakna pekebun kecil akan mendapat BMT sebanyak 800 ringgit berbanding 600 ringgit sebelum ini;

Keempat: Bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah, Insentif Pengeluaran Lateks diperkenalkan bersama dengan program TARGET untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah getah melalui koperasi; dan

Kelima: Skim Perlindungan Pertanian akan diperkenalkan untuk melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak, bermula dengan pesawah padi.

STRATEGI 3: SOKONGAN KEPADA PERNIAGAAN

Tan Sri Yang di-Pertua,

Bajet 2023 turut responsif dalam menyokong aktiviti perniagaan khususnya melibatkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Kerajaan akan giat membantu syarikat PMKS melalui pemberian insentif dan kemudahan pembiayaan yang pelbagai.

Fokus 1: Potongan Cukai & Geran Tunai

Berdasarkan sasaran RMK-12, PMKS dijangka menyumbang 45 peratus kepada KDNK dan 25 peratus kepada jumlah eksport negara menjelang tahun 2025.

Sebagai komitmen Kerajaan untuk menyokong dan memperkasa PMKS, sukacita diumumkan, mulai tahun taksiran 2023, kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi 100 ribu pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus. Pengurangan ini dijangka memberi penjimatan sehingga 2,000 ringgit kepada 150 ribu pembayar cukai PMKS.

Selain itu, sebagai usaha membantu khususnya penjaja kecil berniaga, sukacita juga diumumkan, Kerajaan akan memberikan geran one-off sebanyak 1,000 ringgit kepada semua syarikat PMKSberdaftar dan pemandu teksi berdaftar. Dijangkakan sebanyak 1 juta perniagaan akan menerima manfaat daripada pemberian ini dengan peruntukan keseluruhan 1 bilion ringgit.

Fokus 2: Kemudahan Pinjaman

Dengan iltizam merancakkan lagi aktiviti perniagaan, Semarak Niaga 2023 ditambah baik dengan nilai keseluruhan berjumlah 45 bilion ringgit berbanding 40 bilion ringgit yang diumumkan bagi tahun 2022. Nilai ini merangkumi pinjaman langsung, pembiayaan alternatif dan jaminan pembiayaan.

Bagi tahun hadapan, sejumlah 1.7 bilion ringgit daripadanya tersedia sebagai dana pinjaman mikro dan kemudahan perniagaan untuk manfaat peniaga kecil. Antaranya termasuklah:

Pertama: pinjaman mikro BSN dengan ketersediaan dana 950 juta ringgit. Ini termasuk 350 juta ringgit untuk Skim Penjaja Kecil Keluarga Malaysia dengan 150 juta ringgit dikhususkan untuk peniaga Bumiputera;

Kedua: skim pinjaman kepada pengusaha kecil di bawah TEKUN khusus untuk Bumiputera, wanita, belia dan sektor tidak formal dengan peruntukan 300 juta ringgit;

Ketiga: kemudahan pinjaman perniagaan khusus kepada kaum cina dengan ketersediaan dana 200 juta ringgit dan kadar faedah serendah 4 peratus;

Keempat: kemudahan pinjaman mikro di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) disediakan dana 25 juta ringgit. Selain itu, 100 juta ringgit juga disediakan di bawah MITRA antaranya bagi pembangunan usahawan kaum india; dan

Kelima: program kewangan sosial iTEKAD disediakan 10 juta ringgit dan turut dipadankan bersama dana institusi kewangan melalui sumbangan zakat dan wakaf tunai.

Sumbangan koperasi dalam sejarah 100 tahun di Malaysia telah membantu ahlinya menyumbang kepada pembangunan negara. Tahun hadapan, 100 juta ringgit diperuntukkan untuk Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi menyediakan pembiayaan untuk membantu koperasi mengembangkan industri agromakanan. Usaha ini turut disokong Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi ke arah bekalan barangan makanan dan keperluan pengguna yang konsisten dan pada harga yang lebih murah.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Selain pembiayaan mikro, Kerajaan juga menyediakan pinjaman yang menyokong syarikat kecil dan sederhana. Melalui Bank Negara Malaysia, 10 bilion ringgit dana pinjaman disediakan antaranya untuk menggalakkan aktiviti automasi dan pendigitalan PKS serta menyokong agenda sekuriti makanan dan pemulihan sektor pelancongan.

Kepada usahawan Bumiputera, Kerajaan melalui TERAJU dengan dana 135 juta ringgit akan menyediakan kemudahan pembiayaan sokongan antaranya di bawah Dana Kemakmuran Bumiputera.

Sejumlah 200 juta ringgit juga disediakan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi menyediakan pembiayaan dan program pembangunan keusahawanan untuk Bumiputera yang terlibat dalam sektor peruncitan dan pengedaran perdagangan.

Akhir sekali, sebagai pelengkap kepada inisiatif pembiayaan, Kerajaan bercadang untuk melanjutkan pengecualian duti setem sebanyak 100 peratus ke atas perjanjian penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman atau pembiayaan sehingga tahun 2024.

Fokus 3: Pinjaman Strategik, Alternatif dan Jaminan Pembiayaan

Tan Sri Yang di-Pertua,

Kerajaan turut menumpukan kepada pembiayaan bagi projek-projek strategik melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB). Pelbagai dana pembiayaan akan disediakan dengan tawaran subsidi faedah 1.5 peratus setahun. Antaranya termasuklah:

Pertama: Dana Pembiayaan Pembangunan Mampan bernilai 1.5 bilion ringgit untuk menyokong usaha merealisasi 17 matlamat pembangunan mampan;

Kedua: Dana Pembiayaan Infrastruktur Pelancongan berjumlah 1 bilion ringgit bagi memperkukuh momentum pemulihan sektor pelancongan termasuk pembiayaan untuk pemulihan hotel, pembaharuan bandar serta pemuliharaan warisan; dan

Ketiga: Dana Pembiayaan Maritim dan Logistik sebanyak 1 bilion ringgit yang diperluas kepada industri sokongan bagi sektor minyak dan gas serta sektor pembinaan dan pembaikan kapal.

Kerajaan juga akan meneruskan Skim Pemulihan dan Sokongan Melalui Ekuiti atau RESET dan Skim Modal Kerja di bawah BPMB dengan dana keseluruhan berjumlah 1 bilion ringgit, bagi memberi sokongan berbentuk suntikan ekuiti dan modal kerja pusingan kepada syarikat berpotensi tinggi yang masih terjejas ekoran krisis COVID-19.

Sejak tahun 2009, Kerajaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) telah memudahkan PKS mendapatkan pinjaman bank dengan menjamin hampir 50 ribu syarikat bernilai keseluruhan jaminan 48 bilion ringgit.

Untuk tahun 2023, SJPP akan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 9 bilion ringgit bagi PKS khususnya untuk sektor strategik iaitu agromakanan, teknologi mampan, pelancongan serta vendor minyak dan gas. Inisiatif jaminan ini pastinya akan terus membantu syarikat-syarikat PKS mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi.

Inovasi kewangan bentuk baharu seperti kaedah pendanaan awam ekuiti atau equity crowdfunding (ECF) akan terus disokong. Instrumen ini berjaya menyediakan pembiayaan modal kepada syarikat pemula seperti Green Lagoon Technology, pengendali loji biogas melalui ekonomi kitaran bagi menjana tenaga hijau daripada sisa kelapa sawit. Begitu juga, perusahaan sosial seperti Athena Holdings yang menerajui usaha inovatif menyediakan produk mesra alam untuk wanita.

Bagi menyokong syarikat pemula dalam agenda kelestarian dan perusahaan sosial, Kerajaan akan menyediakan dana Malaysia Coinvestment Fund (MyCIF) sebanyak 30 juta ringgit sebagai tambahan kepada dana ECF.

Selain itu, Kerajaan juga bercadang memperluas skop galakan cukai sedia ada bagi pelabur individu dalam syarikat pemula melalui equity crowdfunding meliputi pelaburan yang dibuat melalui syarikat nomini Perkongsian Liabiliti Terhad.

Fokus 4: Pemulihan Sektor Pelancongan

Tan Sri Yang di-Pertua,

Alhamdulillah, sejak pintu sempadan dibuka, sektor pelancongan sudah mulai pulih. Setakat Julai, Malaysia menerima ketibaan 3.2 juta pelancong dengan pendapatan 9.4 bilion ringgit. Pun begitu, ini masih belum menggambarkan pencapaian sebelum COVID-19, antaranya ekoran dasar China yang masih tidak menggalakkan rakyatnya ke luar negara.

Tahun 2023, Kerajaan menyasarkan ketibaan pelancong asing lebih daripada 15 juta pelancong dengan nilai pendapatan 47.6 bilion ringgit. Bagi memperkukuh pemulihan sektor pelancongan, 200 juta ringgit disediakan untuk galakan, promosi dan pemasaran.

Antaranya, Kerajaan akan menumpukan kepada pelancong bernilai tinggi daripada segmen pasaran khusus atau niche market segment seperti ekopelancongan, sukan golf dan skuba serta konvensyen antarabangsa.

Sebanyak 90 juta ringgit disediakan dalam bentuk geran sepadan untuk program seperti Geran Padanan Galakan Melancong (GAMELAN) yang melibatkan kempen promosi dan pemasaran bersama industri. Geran sepadan juga disediakan untuk insentif penganjuran program pelancongan termasuk acara sukan antarabangsa.

Selain itu, ia turut disediakan bagi menggalakkan perkhidmatan penerbangan charter terutamanya dari Timur Tengah dan Asia Timur. Kerajaan bersama Malaysia Airport Holdings Berhad dan syarikat penerbangan antarabangsa akan mengusahakan laluan penerbangan terus baharu destinasi antarabangsa seperti dari Asia Barat dan Timur Tengah ke Malaysia termasuk ke lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.

Segmen ekopelancongan telah menjadi antara tarikan pelancong asing ke Malaysia. Ini termasuklah THE HABITAT Bukit Bendera yang berjaya menjadi destinasi tumpuan pelancong. Tahun hadapan, sebanyak 10 juta ringgit disediakan melalui usahasama dengan jaringan pengusaha ekopelancongan bagi:

Pertama: menaik taraf tarikan ekopelancongan di Gua Kelam, Perlis;

Kedua: merintis usaha pengurusan sisa pepejal mampan di Pulau Perhentian, Terengganu; dan

Ketiga: mempergiat aktiviti-aktiviti di Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang.

Bagi menggalakkan Keluarga Malaysia melancong di destinasi pilihan dalam negara, Kerajaan memperuntukkan 25 juta ringgit bagi menyediakan insentif kepada rakyat dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat bagi penginapan, pakej pelancongan, kraf tangan dan karya seni sehingga 100 ringgit.

Hotel di Malaysia wajar memainkan peranan untuk memaparkan kraf tangan hasil pengusaha tempatan kepada pelancong. Hotel One and Only Desaru Coast Resort milik Khazanah Nasional Berhad merupakan hotel yang memaparkan 100 peratus hiasan daripada kraf tangan Malaysia. Bagi menggalakkan lagi sektor pelancongan mengutamakan kraf tangan tempatan, Kerajaan mencadangkan potongan cukai khas kepada hotel yang membeli produk kraf tangan tempatan dengan kos pembelian sehingga 500 ribu ringgit.

Sokongan berterusan kepada pengusaha industri pelancongan adalah amat penting. Wan Muhamad Ihsan yang membuka hotel kontena di Pulau Pangkor misalnya telah mendapat manfaat daripada pembiayaan pelancongan Kerajaan untuk mengekalkan pekerja beliau semasa tempoh pandemik. Bagi membantu pengusaha pelancongan, Kerajaan bercadang untuk melaksanakan inisiatif berikut:

Pertama: Pembiayaan Pelancongan BNM dengan dana 500 juta ringgit termasuk meningkatkan had pembiayaan maksimum daripada 300 ribu kepada 500 ribu ringgit;

Kedua: Pengecualian cukai 100 peratus diberikan ke atas pendapatan berkanun bagi pengendali pelancongan yang membawa sekurang-kurangnya 200 pelancong asing setahun atau mengendalikan sekurang-kurangnya 400 pelancong tempatan;

Ketiga: Pengecualian duti eksais 50 peratus ke atas pembelian kenderaan pelancongan CKD bagi kegunaan kereta sewa dan pandu serta bas persiaran; dan

Keempat: Elaun Pelaburan Semula bagi projek perhotelan dan pelancongan terpilih diperkenalkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Saya berpeluang melawat Petaling Street yang telah diberi nafas baharu hasil kerjasama ThinkCity dengan DBKL. Bagi terus mentransformasi bandar Kuala Lumpur menjadi hab kreatif dan budaya, 10 juta ringgit diperuntukkan kepada ThinkCity untuk inisiatif penjanaan semula pusat bandar Kuala Lumpur.

Bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan kesihatan, galakan cukai sedia ada untuk eksport perkhidmatan jagaan kesihatan swasta akan dilanjutkan sehingga tahun 2025. Dalam masa yang sama, Malaysia Healthcare Travel Council turut disediakan 20 juta ringgit bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong kesihatan.

AGENDA KEDUA: BAJET BERTANGGUNGJAWAB

Tan Sri Yang di-Pertua,

Bagi memastikan kemampanan kewangan Kerajaan, Bajet 2023 bertanggungjawab merealisasikan langkah pembaharuan fiskal. Bajet ini juga komited untuk membina ketahanan negara sebagai persediaan mendepani apa jua cabaran masa hadapan.

STRATEGI 1: TANGGUNGJAWAB FISKAL

Bajet tahun 2022 asalnya diperuntukkan 332 bilion ringgit dengan sasaran defisit 6 peratus. Ekoran tekanan inflasi global dan peningkatan harga komoditi, Kerajaan mengambil langkah responsif dengan mengawal harga barang serta menambah baik subsidi barangan pengguna. Demi melindungi Keluarga Malaysia, peruntukan bagi tanggungan, bantuan dan subsidi melonjak naik daripada 31 bilion kepada 77.7 bilion ringgit.

Namun, Kerajaan kekal bertanggungjawab menguruskan kewangan negara supaya perbelanjaan tambahan dipadankan dengan hasil tambahan atau penjimatan perbelanjaan lain. Dengan itu, Kerajaan dapat mengawal dan mengurangkan paras defisit kepada 5.8 peratus daripada KDNK untuk tahun 2022.

Walaupun Bajet 2023 ditingkatkan perbelanjaan sehingga 372 bilion ringgit iaitu bajet terbesar dengan dasar fiskal yang mengembang, sebagai Kerajaan bertanggungjawab ia akan diimbangi dengan komitmen untuk melaksanakan konsolidasi fiskal bagi memastikan kemampanan kewangan negara.

Dengan jangkaan kutipan hasil 272.6 bilion ringgit, defisit fiskal 2023 diunjur berkurang kepada 5.5 peratus KDNK berbanding 5.8 peratus pada 2022. Berteraskan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana, paras defisit bagi 2023 hingga 2025 dijangka terus berkurang kepada purata 4.4 peratus berbanding KDNK. Kerajaan akan terus mempergiat usaha menambah baik kedudukan kewangan dalam tempoh jangka sederhana bagi mencapai sasaran defisit 3.5 peratus daripada KDNK seperti yang disasarkan dalam RMK-12.

Fokus 1: Konsolidasi Fiskal

Seperti yang diumumkan pada Bajet 2022, Kerajaan bercadang memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan fiskal negara.

Pelbagai sesi libat urus diadakan untuk memastikan penggubalan FRA yang komprehensif dan memenuhi matlamat membina semula daya tahan fiskal negara dalam menghadapi sebarang cabaran yang mendatang. Insya-Allah, sukacita saya maklumkan bahawa, sekiranya tiada aral, Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal 2022 akan dibentangkan pada Mesyuarat ini juga.

Fokus 2: Kemampanan Hasil

Tan Sri Yang di-Pertua,

Sungguhpun dalam ketidaktentuan ekonomi, Kerajaan tetap perlu memastikan sumber hasil yang mampan bagi membiayai perbelanjaan negara. Bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai, Kerajaan sedang melaksanakan dua inisiatif seperti berikut:

Pertama: e-Invois akan dilaksanakan oleh LHDNM secara berperingkat mulai tahun 2023 dengan pembangunan sistem dan projek rintis bersama pembayar cukai terpilih; dan

Kedua: Tax Identification Number (TIN) telah dilaksanakan bagi memperluas asas cukai. Mulai 2023, individu warganegara dan pemastautin tetap yang mencapai umur 18 tahun akan diberikan TIN secara automatik dan penggunaan TIN diwajibkan bagi semua penyeteman dokumen dan surat cara.

Bagi membolehkan Malaysia meluaskan asas cukai di samping terus kompetitif dalam usaha menarik pelaburan langsung asing, Kerajaan akan memperkenalkan kadar cukai efektif minimum di peringkat global seperti yang disarankan di bawah Pillar 2 Pelan Tindakan BEPS 1 dan bercadang melaksanakan Qualified Domestic Minimum Top-up Tax setelah kajian lanjut dibuat dan disasarkan pada tahun 2024.

Fokus 3: Tangani Ketirisan Hasil

Tan Sri Yang di-Pertua,

Kerajaan akan terus menangani ketirisan hasil. Strategi membasmi aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras yang sedang dijalankan melalui Multi-Agency Task Force akan terus digiatkan dengan langkah berikut:

Pertama: memperketat kawalan import rokok dan produk minuman keras melalui tempat pendaratan sah termasuk jeti persendirian;

Kedua: mengehadkan aktiviti transhipment produk minuman keras kepada pelabuhan tertentu sahaja;

Ketiga: menjadikan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam sebagai single exit point bagi wilayah utara; dan

Keempat: menyediakan ganjaran khas bagi memperkasa usaha membanteras penyeludupan rokok dan minuman keras.

Selain ketirisan hasil, Kerajaan akan melaksanakan pembaharuan komprehensif bagi menangani ketirisan subsidi barangan keperluan. Antara tumpuan utama adalah untuk memastikan petrol bersubsidi dimanfaatkan rakyat dan tidak kepada bukan warganegara, memastikan diesel bersubsidi dinikmati pemandu kenderaan dan tidak terseludup ke premis perniagaan ataupun ke luar negara serta memastikan minyak masak dan LPG bersubsidi sampai ke isi rumah miskin dan kuotanya tidak dihabiskan oleh peniaga.

STRATEGI 2: PEMBINAAN DAYA TAHAN NEGARA

Tan Sri Yang di-Pertua,

Demi kesejahteraan Keluarga Malaysia, Bajet 2023 mengutamakan usaha membina daya tahan negara daripada sebarang kejutan masa hadapan.

Fokus 1: Perkhidmatan Kesihatan

Menurut data Bank Dunia, jumlah perbelanjaan perkhidmatan kesihatan di Malaysia adalah setara dengan negara jiran yang lain iaitu sekitar 4 peratus kepada KDNK. Tahun hadapan, Kementerian Kesihatan diperuntukkan 36.1 bilion ringgit berbanding 32.4 bilion ringgit tahun ini, iaitu antara peningkatan terbesar di kalangan Kementerian.

Sungguhpun kita dalam fasa peralihan ke endemik, COVID-19 masih bersama kita. Dalam mengharungi kehidupan mendatang, Kerajaan akan terus memantapkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam. Sejumlah 4.9 bilion ringgit disediakan bagi menampung perolehan seperti ubat, reagen, vaksin dan bahan guna habis iaitu meningkat 12 peratus berbanding 2022.

Keutamaan tahun hadapan adalah untuk membaik pulih fasiliti termasuk klinik yang usang. Kerajaan menyediakan 420 juta ringgit untuk pembaikan hospital dan klinik daif serta penggantian peralatan usang dengan keutamaan diberikan kepada fasiliti kesihatan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Tahun hadapan, beberapa projek pembinaan hospital, klinik dan fasiliti baharu akan dilaksanakan termasuk perolehan peralatan dengan kos hampir 1.8 bilion ringgit. Antaranya Hospital Maran di Pahang dengan kos 350 juta ringgit, bangunan blok wanita dan kanak-kanak di Hospital Melaka serta lima Klinik Kesihatan baharu seperti di Linggi Negeri Sembilan, Penampang Sabah dan Sepupok Sarawak. Kerajaan juga akan memperoleh peralatan mobile CT Scan bagi meningkatkan perkhidmatan CT Scan khususnya untuk manfaat pedalaman Sabah dan Sarawak.

Bagi menerajui agenda kesihatan mental, Kerajaan bercadang untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan. Pusat ini bertindak sebagai penggerak bersepadu antara semua pihak bagi kesejahteraan kesihatan mental rakyat di bawah payung MyMYNDA dengan peruntukan 34 juta ringgit.

Bagi menyokong Dasar Kesihatan Pergigian Kebangsaan, skop pelepasan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak akan diperluas meliputi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian terhad sehingga 1,000 ringgit mulai tahun taksiran 2023.

Selain itu, 10 juta ringgit juga disediakan untuk perolehan 10 unit mesin cetak 3D bagi penghasilan dentur yang dapat mengurangkan waktu lawatan pesakit ke klinik pergigian Kerajaan daripada lima kali kepada hanya dua kali.

Dalam menggalakkan rakyat menghentikan tabiat merokok, Kerajaan bercadang untuk mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas produk Terapi Gantian Nikotin.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Yang Berhormat Paya Besar sebelum ini telah berkesempatan menziarahi adik Athif Fahri yang menghidap penyakit Spinal Muscular Atrophy Type 1. Ini merupakan salah satu daripada 8,000 jenis penyakit Jarang Jumpa yang tersenarai dalam Malaysia Rare Disease List.

Kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan menjadikan Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tunku Azizah sebagai pusat rujukan bagi penyakit jarang jumpa. Bagi menampung kos rawatan penyakit jarang jumpa yang kian meningkat, Kerajaan akan meningkatkan peruntukan penyakit jarang jumpa kepada 25 juta ringgit.

Kerajaan juga pada Julai 2022 telah menubuhkan satu Akaun Amanah bagi Rawatan Penyakit Jarang Jumpa untuk membolehkan semua pihak menyalurkan sumbangan. Sukacita dimaklumkan, sumbangan kepada tabung ini akan diberi potongan cukai bersamaan jumlah sumbangan sebenar. Diharapkan banyak pihak tampil ke hadapan untuk menyumbang bagi meringankan beban kos pesakit.

Pencegahan lebih baik daripada mengubati. Kerajaan akan mempergiatkan agenda saringan rakyat melalui skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PEKA B40) yang disediakan 80 juta ringgit termasuk untuk saringan penyakit kencing manis.

Kerajaan juga akan menambahbaik Program Saringan Kesihatan PERKESO sebagai langkah awal mengesan dan mencegah penyakit kritikal seperti kanser dan sakit jantung. Program ini dibuka kepada 2.3 juta pekerja berdaftar di bawah Skim Keilatan PERKESO dengan peruntukan 80 juta ringgit.

Sejak 2019, MySalam telah meluluskan tuntutan berkaitan penyakit kritikal dan hospitaliti berjumlah 734 juta ringgit kepada 1.5 juta individu B40. Ini termasuk 500 ribu individu yang menerima pampasan disebabkan COVID-19 dengan nilai keseluruhan 330 juta ringgit.

Kerajaan berhasrat untuk meneruskan pelaksanaan MySalam kepada penerima BKM sepanjang tahun 2023. Skim ini akan diteruskan dengan membuka kepada syarikat insurans dan takaful untuk bersama- sama memastikan kesinambungan MySalam.

Baucar Perlindungan Tenang telah memanfaat lebih 3 juta penerima BKM dan akan diteruskan melalui kaedah perkongsian kos. Ia turut diperluas kepada pembelian produk perlindungan bencana banjir untuk rumah kediaman.

Kumpulan Wang Amanah Negara berdasarkan Akta KWAN 1988 diwujudkan dengan mandat untuk menjana sumber pendapatan berterusan demi faedah negara dan generasi akan datang. Selaras dengan tujuan tersebut, Kerajaan telah memperuntukkan sehingga 6 bilion ringgit untuk vaksin COVID-19. Setakat 30 September 2022, sebanyak 5 bilion ringgit telahpun dibelanjakan untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Kerajaan ingin memberi jaminan bahawa peruntukan stok vaksin masih mencukupi bagi mereka yang ingin mendapatkan vaksin dos tambahan pada tahun 2023.

Kerajaan komited untuk menambah semula dana KWAN apabila krisis berakhir dan tertakluk kepada kedudukan kewangan mengizinkan. Selaras dengan itu, PETRONAS bercadang menyumbangkan sebanyak 2 bilion ringgit ke dalam KWAN pada tahun 2023. Kerajaan menyeru lebih banyak entiti menyumbang ke dalam KWAN bagi manfaat negara di hari muka.

Fokus 2: Keselamatan dan Pertahanan

Tan Sri Yang di-Pertua,

Kerajaan terus memperkukuh ketenteraman awam dan keselamatan negara dengan KDN dan MINDEF diperuntukkan masing-masing sebanyak 18.3 bilion dan 17.4 bilion ringgit.

Tahun 2023, usaha utama Kerajaan adalah untuk melaksanakan:

Pertama: pembelian dan penyelenggaraan aset ATM bagi meningkatkan kesiagaan pertahanan dengan peruntukan hampir 4 bilion ringgit;

Kedua: pembelian dan penyelenggaraan aset PDRM bagi meningkatkan keselamatan dalam negeri dengan peruntukan 431 juta ringgit;

Ketiga: penyelenggaraan semua kapal dan bot APMM bagi memastikan keselamatan kawasan maritim negara dengan peruntukan 485 juta ringgit;

Keempat: perolehan alat pengimbas badan dan menaik taraf fasiliti di lima penjara antaranya Penjara Seremban, Negeri Sembilan dengan peruntukan 18 juta ringgit; dan

Kelima: penambahan 25 pos kawalan sempadan PGA, Imigresen, ESSCOM, APMM antaranya di Serikin Sarawak dan Lahad Datu Sabah.

Kebajikan pasukan beruniform tanah air dan para pesara akan terus dipelihara. Tahun hadapan inisiatif yang dilaksanakan merangkumi:

Pertama: 118 juta ringgit untuk menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT). Kerajaan bercadang untuk membina RKAT baharu pelbagai kelas di Pangkalan Udara Butterworth Pulau Pinang selain 12 projek pembinaan RKAT yang sedang berjalan;

Kedua: 42 juta ringgit bagi membaik pulih dan menaik taraf kuarters kediaman PDRM;

Ketiga: 28 juta ringgit sebagai peruntukan 2023 bagi meneruskan tiga projek pembinaan kuarters di bawah Jabatan Penjara antaranya di Pusat Koreksional Labuan dan Akademi Koreksional Malaysia; dan

Keempat: pemberian 50 peratus diskaun ke atas pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana kepada 21 ribu pemegang kad veteran ATM dan kad pesara Polis di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang.

Fokus 3: Sekuriti Makanan

Tan Sri Yang di-Pertua,

Tahun ini, perkembangan global menyumbang kepada peningkatan kos makanan sedunia. Kerajaan sedaya upaya memastikan impak kenaikan kos yang minimum antaranya melalui penetapan harga siling bahan makanan, penghapusan permit import dan melaksanakan inisiatif Jualan Murah Keluarga Malaysia.

Selaras dengan Dasar Agromakanan Negara, Kerajaan akan terus memperkasa sekuriti makanan supaya tidak lagi bergantung kepada bekalan import agar mampu berdaya tahan daripada sebarang kejutan masa hadapan.

Setakat tahun 2020, penggunaan tanah bagi tanaman makanan telah merosot kepada hanya 1.2 juta hektar berbanding 7 juta hektar untuk penanaman kelapa sawit dan getah. Bagi meningkatkan penghasilan makanan, Kerajaan berhasrat untuk memanfaatkan tanah-tanah terbiar milik FELDA, FELCRA dan RISDA dan agensi di bawah MAFI dengan keluasan sehingga 800 ekar untuk tanaman makanan.

Bagi meningkatkan tahap kemandirian pengeluaran (SSL) di samping menggalakkan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian, inisiatif berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Skim Pembiayaan Agrofood BNM pada kadar 3.5 peratus untuk pengusaha agromakanan meningkatkan produktiviti pengeluaran disediakan dana 1 bilion ringgit;

Kedua: program pelaburan Agrovest oleh Agrobank antaranya bagi menyediakan dana permulaan kepada syarikat pemula pertanian berteknologi moden dengan dana 250 juta ringgit;

Ketiga: pelaburan 200 juta ringgit oleh Khazanah di bawah Dana Impak dengan fokus untuk meningkatkan pendapatan dan produktiviti pekebun kecil;

Keempat: program Digital AgTech di bawah MDEC akan diperluas ke 264 Pertubuhan Peladang Kawasan di seluruh negara dengan peruntukan 20 juta ringgit bagi melatih lebihramai pekebun kecil beradaptasi dengan teknologi digital;dan

Kelima: Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia yang dirancang turut memberi fokus kepada galakan tanaman makanan rendah SSL seperti cili, halia dan kobis dalam kalangan isi rumah terpilih.

Saya semasa Jelajah Bajet di Johor sempat melawat ladang FOLO, sebuah ladang organik yang menukar sisa makanan dari hotel menjadi kompos organik yang kemudiannya digunakan sebagai baja untuk tanaman pelbagai jenis sayur-sayuran. Di samping itu, terdapat pengusaha memproses sisa pertanian untuk hasilkan makanan ternakan dengan menggunakan black soldier fly. Bagi menyokong usaha pertanian lestari, 56 juta ringgit diperuntukkan kepada MAFI untuk pelbagai inisiatif seperti pembangunan kelestarian agromakanan.

Selain itu, tempoh galakan cukai bagi projek pengeluaran bahan makanan akan dilanjutkan sehingga akhir tahun 2025 dengan skop galakan juga diperluas untuk turut merangkumi projek pertanian moden berasaskan Controlled Environment Agriculture.

Sebagai contoh, konsep indoor vertical farming diusahakan Dr. Jayanthi dari syarikat Boomgrow dengan menanam sayur dalam kontena kargo yang diubah suai dan menggunakan lampu dengan sensorInternet of Things serta mengaplikasi algoritma kecerdasan buatan (AI).

Bioteknologi mampu meningkatkan produktiviti pertanian serta membangunkan pendekatan pertanian yang lebih mesra alam. Dengan itu, Kerajaan bercadang melanjutkan insentif cukai bagi syarikat berstatus BioNexus untuk permohonan yang diterima sehingga hujung 2024.Di samping itu, insentif ini akan ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan berkanun dinaikkan daripada 70 peratus kepada 100 peratus.

Bagi memacu produktiviti dan meningkatkan kecekapan melalui automasi khususnya dalam sektor pertanian, Kerajaan bercadang untuk memberi Elaun Modal Dipercepatkan dan mengecualikan cukai pendapatan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal. Insentif ini terpakai bagi sektor perkilangan, pertanian dan perkhidmatan termasuk berkaitan perubatan yang mengadaptasi elemen Industri 4.0 serta pengusaha yang melaksanakan sistem reban tertutup.

Fokus 4: Kesiagaan Menghadapi Bencana

Tan Sri Yang di-Pertua,

Kita sebagai Keluarga Malaysia amat berdukacita atas bencana yang melanda negara. Sejak dua tahun kebelakangan, bencana banjir dan tanah runtuh telah berlaku hampir di setiap negeri. Kepada mangsa-mangsa yang terkesan, Kerajaan menzahirkan ucapan takziah atas kehilangan harta benda dan nyawa insan tersayang.

Sebermulanya Kerajaan ini memegang mandat negara, beberapa keputusan kritikal telah dibuat sebagai langkah mitigasi mendepani sebarang bencana alam. Kerajaan ini juga, dengan segera telah menambah baik pemberian bantuan wang ihsan di samping pelbagai lagi bantuan lain kepada mangsa yang terkesan.

Ke arah membina daya tahan negara, Kerajaan Keluarga Malaysia komited untuk melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir sehingga 2030 sebagai strategi jangka panjang bagi beradaptasi dengan perubahan iklim di seluruh negara dengan nilai keseluruhan 15 bilion ringgit. Bagi tahun 2023, sebahagian besar projek akan dianugerahkan dengan anggaran perbelanjaan 700 juta ringgit. Antara projek utama yang digerakkan termasuklah:

Pertama: pelaksanaan projek Empangan Sabo bernilai 562 juta ringgit di 46 lokasi seluruh negara bagi mengurangkan risiko banjir puing dan banjir lumpur seperti tragedi banjir di Baling, Kedah;

Kedua: pembinaan kolam takungan dwifungsi bernilai hampir dua bilion ringgit melibatkan jajaran di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Rasau, Selangor sebagai strategi serampang dua mata mengatasi masalah banjir dan sebagai sumber penyimpanan bekalan air mentah;

Ketiga: projek fasa tambahan Lembangan Sungai Bersepadu di Sungai Golok, Kelantan hampir 500 juta ringgit; dan

Keempat: penaiktarafan sistem ramalan cuaca bagi memperkasa ramalan dan amaran banjir di peringkat nasional.

Bagi tahun hadapan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan diperuntukkan sejumlah 174 juta ringgit. Sebagai langkah persediaan proaktif, Kementerian Kewangan akan terus menyalurkan tambahan 400 juta ringgit kepada NADMA supaya bersiap siaga membantu dengan segera jika berlaku banjir pada hujung tahun ini.

Bagi tahun 2023, Kerajaan telah menyediakan peruntukan awal berjumlah 100 juta ringgit di bawah Tabung Bantuan Bencana Negara dan Kementerian Kewangan bersedia untuk menambahkan peruntukannya mengikut keperluan.

Sebagai langkah persediaan Angkatan Tentera Malaysia menghadapi sebarang bencana, dua buah hospital medan tambahan melibatkan kos 47 juta ringgit akan siap pada hujung tahun ini di Kluang, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah. Sebagai tambahan, sebanyak 50 unit ambulans juga akan ditempatkan di kem tentera, sedia untuk dikerahkan untuk membantu jika berlaku bencana.

Kerajaan menyediakan 20 juta ringgit di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti bagi manfaat 2,000 persatuan penduduk melaksanakan aktiviti kesukarelawanan. Antaranya termasuklah menyertai kursus kebombaan bagi mempersiap diri sekiranya berdepan sebarang bencana seperti banjir dan kebakaran di peringkat komuniti.

Fokus 5: Isu Penipuan Kewangan

Tan Sri Yang di-Pertua,

Setiap hari, jenayah penipuan dalam talian atau online scam menjadi isu global yang semakin serius dan Malaysia turut tidak terkecuali. Langkah untuk membendung jenayah scam dengan segera penting termasuklah:

Pertama: menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang melibatkan usahasama PDRM, BNM, MCMC serta NFCC dan akan bekerjasama dengan institusi kewangan. Pusat ini akan mula beroperasi bulan ini dan bertindak berdasarkan laporan diterima untuk menyekat akaun serta mengambil tindakan ke atas penjenayah;

Kedua: memperketat langkah-langkah keselamatan untuk perbankan internet oleh institusi perbankan untuk menghentikan penggunaan one-time-password (OTP) yang berasaskan SMS bagi transaksi berisiko tinggi;

Ketiga: menyediakan sebuah platform untuk orang ramai melaporkan mana-mana akaun atau nombor yang disyaki digunakan oleh penjenayah online scam; dan

Keempat: memperhebat tahap kesedaran literasi kewangan dan digital pengguna demi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.

Dalam masa yang sama, Kerajaan akan terus memperkasa CyberSecurity Malaysia dengan peruntukan 73 juta ringgit antaranya bagi mengukuhkan pemantauan, pengesanan dan pelaporan ancaman siber termasuk membina keupayaan sistem forensik siber.

Bagi melindungi pengguna kredit di samping memupuk pasarankredit pengguna yang adil dan teratur, Kerajaan komited untuk membentangkan Rang Undang-undang Kredit Pengguna pada suku kedua 2023. Melalui usaha ini, sebuah pihak berkuasa amalan bebas yang baharu iaitu Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan bagi mengawal selia semua aktiviti berkaitan kredit pengguna.

STRATEGI 3: KECEKAPAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM

Tan Sri Yang di-Pertua,

Kerajaan akan terus menambah baik dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia dan negara seluruhnya.

Fokus 1: Kerjasama Awam Swasta

Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta 2023-2032 akan dilancarkan bagi memperkenalkan model PPP baharu yang mampu memacu projek infrastruktur berdasarkan user pay seperti lebuh raya dan in-kind payment seperti landswap. Sehubungan dengan itu, sebanyak 250 juta ringgit Dana Mudah Cara Infrastruktur disediakan untuk menyokong pelaksanaan projek PPP berimpak tinggi dalam sektor infrastruktur, sosial dan keselamatan.

Fokus 2: Syarikat Berkaitan Kerajaan

Tan Sri Yang di-Pertua,

GLC dan GLIC akan terus memainkan peranan sebagai nadi penggerak ekonomi negara dan komited untuk membuat pelaburan sehingga 50 bilion ringgit bagi tahun 2023. Antaranya:

Pertama: melabur dalam modal teroka bagi menyokong syarikat pemula dan usahawan sehingga 1.3 bilion ringgit;

Kedua: menumpukan kepada projek-projek sekuriti makanan sebanyak 1.35 bilion ringgit;

Ketiga: mendorong agenda kelestarian dengan pelancaran sustainability framework serta menetapkan sasaran untuk mencapai portfolio fully ESG-compliant dan operasi karbon neutral;

Keempat: membuat perolehan hijau sehingga 330 juta ringgit di samping menyediakan infrastruktur EV; dan

Kelima: membuat pelaburan langsung domestik sehingga 45 bilion ringgit.

Pelaburan langsung domestik daripada GLC sememangnya penting dalam pemulihan ekonomi. Antaranya, KWSP akan meneruskan pembangunan Kwasa Damansara dengan mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan melebihi 3 bilion ringgit sehingga 2025. Selain itu, PNB juga melalui projek Menara Merdeka 118 akan membawa nilai pembangunan kasar melebihi 10 bilion ringgit dan mewujudkan sehingga 4,000 peluang pekerjaan baharu.

Bagi tahun 2023, Khazanah Nasional Berhad akan melabur 1 bilion ringgit di bawah Dana Impak antaranya 230 juta ringgit dikhaskan untuk pelaburan dalam syarikat berteknologi tinggi milik tempatan. Dana ini akan menyokong lebih banyak anak tempatan untuk menuai pengalaman bekerja dengan syarikat multinasional dengan menubuhkan syarikat berteknologi milik sendiri, seperti SkyeChip. Bagi menggalakkan syarikat seumpama ini untuk menjana paten sendiri, Kerajaan juga bercadang melanjutkan galakan cukai bagi pembangunan harta intelek sehingga 31 Disember 2025.

Bagi menggalakkan lebih ramai pelabur mangkin menyumbang kepada aktiviti ekonomi melalui pendanaan modal dalam syarikat penerima pelaburan, galakan cukai akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026.

Hospital Pakar KPJ Damansara 2 dengan kapasiti 300 katil telah siap dibangunkan di atas tanah rizab Melayu oleh Pelaburan Hartanah Berhad. PHB akan terus melaksanakan pembangunan komersial untuk menambah nilai pemilikan hartanah Bumiputera termasuk di tanah- tanah rizab Melayu. Tahun hadapan, 50 juta ringgit disediakan kepada PHB.

Bagi mengembangkan lagi perniagaan Bumiputera yang berkebolehan, Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS) menyediakan pelaburan Dana Asas berjumlah 100 juta ringgit, sebagai dana pelaburan langsung khusus untuk syarikat Bumiputera dengan nilai pelaburan minimum 10 juta bagi setiap pelaburan.

Kementerian Kewangan telah melancarkan garis panduan Prinsip Tadbir Urus Baik untuk diterima pakai oleh semua GLIC dan akan diperluas kepada semua GLC. Selanjutnya, satu piawaian pelaburan bakal dilancarkan bagi memastikan agenda kemampanan dipertimbangkan dalam proses pelaburan GLIC.

Fokus 3: Tadbir Urus Kerajaan

Tan Sri Yang di-Pertua,

Pusat Transformasi Bandar (UTC) telah memudahkan rakyat dalam mendapatkan pelbagai perkhidmatan Kerajaan di satu tempat. Bagi memastikan manfaat terus dirasai oleh Keluarga Malaysia, UTC akan diberi nafas baharu dan ditransformasi dengan perkhidmatan digital dan pekerjaan. Dicadangkan penubuhan dua UTC baharu di samping menyelenggara UTC sedia ada dengan peruntukan 20 juta ringgit.

Sementara itu, Kerajaan melalui MDEC akan mempelopori usaha mentransformasi UTC sebagai hab digital. Antaranya, urus niaga di UTC akan dijalankan secara tanpa tunai di samping menggalakkan pelbagai aktiviti digital seperti e-sukan dan pengekodan untuk manfaat belia setempat.

Bagi membantu golongan penganggur menerusi padanan pekerjaan, Kerajaan akan membangunkan 13 Pusat Satelit MYFutureJobs di UTC seluruh negara dengan peruntukan 8 juta ringgit. Selain itu, HRD Corp dan PERKESO juga akan menubuhkan National Placement Centre di Lembah Klang sebagai pusat sehenti yang membantu rakyat mendapatkan pekerjaan. PERKESO juga akan meningkatkan bilangan Pengurus Kes Perkhidmatan Pekerjaan untuk menyokong golongan penganggur tegar mencari kerja.

Kerajaan akan terus memperkasa advokasi kepenggunaan khususnya berhubung hak-hak pengguna. Kerajaan juga akan menyediakan bantuan khas pembiayaan pelantikan peguam swasta bagi membantu pengguna dalam pengendalian kes permohonan semakan kehakiman di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

Akhir sekali, ke arah memodenkan urusan dengan Kerajaan, proses penyeteman surat cara dan pembayaran duti setem kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri akan dibuat sepenuhnya secara dalam talian menjelang 2024 melalui Stamp Assessment and Payment System.

Fokus 4: Kebajikan Penjawat Awam

Tan Sri Yang di-Pertua,

Keluarga Malaysia amat berterima kasih atas dedikasi dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi barisan hadapan negara dalam melunaskan amanah sepanjang membangunkan tanah air ini.

Di bawah teraju kepimpinan Ketua Setiausaha Negara, anggota perkhidmatan awam telah bertungkus-lumus dan setia bersama Kerajaan Keluarga Malaysia bagi mempertahankan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Pada tahun ini, Kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk manfaat penjawat awam. Antaranya termasuklah penurunan kadar pembiayaan bagi skim pinjaman komputer dan telefon pintar daripada 4 peratus kepada 2 peratus. Bagi memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam, sukacita Kerajaan akan memperluas tafsiran peranti digital di bawah Skim Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar untuk turut merangkumi jam tangan pintar.

Di bawah Bajet 2022, Kerajaan telah meneruskan Perlindungan Kemalangan Diri sehingga 100 juta ringgit untuk manfaat 40 ribu peminjam baharu LPPSA. Untuk tahun hadapan, Kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi 100 ringgit bagi perlindungan insurans atau takaful isi rumah atau home content yang bernilai 20 ribu ringgit sebagai usaha meringankan beban peminjam yang terkesan dengan bencana.

Dengan segala khidmat bakti yang dizahirkan selama ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa imbuhan kepada penjawat awam semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 pada 30 Ogos lalu.

Antara yang utama termasuklah kadar maksimum gantian cuti rehat (GCR) yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai dinaikkan daripada 160 kepada 180 hari dengan anggaran implikasi kewangan 100 juta ringgit setahun. Dengan kenaikan tersebut, sukacita diumumkan bahawa, kebenaran penebusan awal GCR sehingga 50 peratus juga akan dinaikkan sehingga maksimum 90 hari. Diharapkan kenaikan penebusan awal ini, dapat membantu penjawat awam yang memerlukan.

Kerajaan juga telah menambah cuti rehat khas pegawai perkhidmatan pendidikan yang berkhidmat melebihi 10 tahun sebanyak 5 hari menjadi 15 hari bagi memberi manfaat kepada 500 ribu guru untuk menguruskan hal-hal peribadi dan berpeluang mengumpulkan GCR yang lebih tinggi.

Kerajaan juga telah bersetuju untuk memberikan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak 100 ringgit kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56 dengan implikasi kewangan 1.5 bilion ringgit. Ini bermakna, jika seorang kakitangan Gred 11 yang bergaji 1,600 ringgit mendapat Kenaikan Gaji Tahunannya sebanyak 80 ringgit pada setiap bulan April, bagi tahun hadapan, beliau turut mendapat kenaikan gaji tambahan khas 2023 sebanyak 100 ringgit bermula pada bulan Januari 2023. Ini menjadikan gaji akhir beliau pada tahun 2023 adalah sebanyak 1,780 ringgit dan gaji ini kekal dibawa ke tahun seterusnya.

Bagi tahun hadapan, Kerajaan turut bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak 700 ringgit dan 1 juta pesara Kerajaan sebanyak 350 ringgit dengan implikasi kewangan berjumlah 1.3 bilion ringgit.

Sukacita juga diumumkan, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah memutuskan supaya Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 dinaikkan kepada 600 ringgit dan dibayar pada bulan Mac 2023. Bersama dengan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak 100 ringgit yang berkuat kuasa Januari 2023 dan Bantuan Khas Kewangan sebanyak 700 ringgit menjadikan jumlah tambahan keseluruhan untuk penjawat awam yang layak pada tahun 2023 adalah sebanyak 2,500 ringgit.

AGENDA KETIGA: BAJET REFORMIS

Tan Sri Yang di-Pertua,

Pandemik COVID-19 telah memberi peluang untuk Kerajaan melaksanakan pembaharuan, meneladani pengalaman lalu serta menggubal dasar yang beradaptasi dengan norma baharu.

Aspirasi Pelaburan Kebangsaan (NIA) yang dilancarkan semalam telah dirangka bagi memacu pelaburan berkualiti tinggi dan mampan di peringkat nasional dan sektor strategik. Kerajaan akan terus mengemas kini kerangka insentif supaya selaras dengan perkembangan semasa dan hala tuju pelaburan kebangsaan.

Dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi, Kerajaan komited untuk mencapai tangga 10 teratas dunia sebagai negara berdaya saing menjelang tahun 2025. Komitmen ini memerlukan usahasama awam- swasta yang akan diterajui melalui Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (PEMUDAH).

Sebagai permulaan, Kementerian Kewangan akan menangani isu dibangkitkan sektor swasta di dalam platform PEMUDAH dengan melaksanakan pembaharuan berikut:

Pertama: membenarkan untuk menyerap kerugian terkumpul yang tidak dapat diserap oleh syarikat dalam sektor yang mempunyai tempoh long gestation sehingga maksimum 20 tahun seperti bidang perladangan hutan dan projek hidroelektrik;

Kedua: membenarkan aset tak ketara seperti perisian atau software sebagai sebahagian takrifan loji di bawah Jadual3, Akta Cukai Pendapatan 1967;

Ketiga: bersetuju supaya hospital kebajikan yang berdaftar sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan amaun perbelanjaan kebajikan yang dilakukan. Para penderma juga akan mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus;

Keempat: pembayar cukai perlu membuat penghantaran elektronik bagi pembayaran cukai mulai tahun taksiran 2024; dan

Kelima: melanjutkan kelonggaran tatacara dan peraturan perolehan Kerajaan antaranya membenarkan agensi Kerajaan menaikkan had nilai sebut harga daripada 500 ribu ringgit kepada 800 ringgit sehingga akhir 2023.

STRATEGI 1: PEMBAHARUAN INDUSTRI

Tan Sri Yang di-Pertua, Fokus 1: Tarikan Pelaburan Kerajaan akan terus menyokong pelaburan dalam sektor-sektor berimpak tinggi dan strategik yang berupaya memacu pembangunan negara.

Kerajaan telah berjaya menarik komitmen pelaburan sehingga 40 bilion ringgit daripada syarikat Intel, Infineon dan Osram iaitu tiga gergasi E&E global. Bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tambah tinggi serta menjana peluang pekerjaan profesional, pendekatan strategik akan diambil melalui pewujudan dana pelaburan lebih 1 bilion ringgit.

Sebagai menyokong ekosistem E&E, 10 juta ringgit disediakan kepada the Collaborative Research in Engineering, Science and Technology Centre (CREST) untuk membangunkan aplikasi berasaskan teknologi frekuensi radio dan bluetooth bagi industri automotif.

Ekoran ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian global, Kerajaan menyediakan insentif penempatan semula bagi menarik pelabur sektor E&E yang terjejas untuk memindahkan operasi ke Malaysia melalui pelanjutan galakan cukai sedia ada dan kadar cukai 15 peratus kepada C-Suite sehingga tahun 2024.

Industri peranti perubatan terus berkembang sebagai sektor bernilai tinggi. Syarikat multinasional global seperti B. Braun telah mengeksport ke seluruh dunia produk mereka yang dikilangkan di Malaysia hasil reka bentuk jurutera kita. Syarikat tempatan seperti Ideal Healthcare di Sungai Petani juga telah menghasilkan pelbagai peranti perubatan untuk pasaran tempatan.

Untuk 2023, 20 juta ringgit disediakan secara geran padanan untuk menyokong pembangunan produk dan melahirkan bakat tempatan industri peranti perubatan. Kerajaan turut akan mengutamakan perolehan produk farmaseutikal dan peranti perubatan daripada pengeluar tempatan. Bagi menggalakkan pembangunan farmaseutikal, insentif cukai pendapatan bagi pengeluar produk farmaseutikal tempatan dilanjutkan sehingga akhir 2025.

Bagi menarik syarikat aeroangkasa baharu dan menggalakkan perkembangan syarikat sedia ada, insentif cukai pendapatan serta elaun cukai pelaburan akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025.

Geran padanan 50 juta ringgit turut disediakan bagi menyokong pembangunan komponen aeroangkasa. Kawasan di sekitar KLIA Sepang pula akan terus dimajukan sebagai kluster industri aeroangkasa terutamanya untuk operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

PETRONAS telah melabur lebih 27 bilion dolar Amerika bagi membangunkan Kompleks Petroleum Pengerang sebagai fasiliti petrokimia terbesar di rantau ini. Bagi mengembangkan Pengerang sebagai hab petrokimia, Kerajaan mencadangkan status khas bagi Pengerang untuk insentif pelaburan industri kimia dan petrokimia.

Untuk menyokong hasrat ini, kemudahan jaringan lebuh raya ke Pengerang akan ditambah baik melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway. Sebagai langkah tambahan, Kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan projek menaik taraf Lebuh Raya Utara Selatan di Senai Utara-Pandan, Johor Bahru daripada empat kepada enam lorong dengan kos 510 juta ringgit.

Bagi menyokong pembangunan syarikat tempatan berasaskan teknologi yang berjaya seperti Aemulus Holdings Berhad, Kerajaan menyediakan 100 juta ringgit di bawah Dana Pelaburan Strategik Tempatan. Kerajaan juga akan melanjutkan potongan cukai sehingga 1.5 juta ringgit ke atas perbelanjaan penyenaraian di Pasaran ACE dan LEAP sehingga tahun taksiran 2025 di samping turut memperluas potongan cukai meliputi kos penyenaraian syarikat berasaskan teknologi di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Fokus 2: Sains, Teknologi dan Inovasi

Tan Sri Yang di-Pertua,

Aktiviti R&D diperuntukkan 364 juta ringgit dan diterajui dua kementerian utama iaitu Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi, Inovasi.

Selain itu, Kerajaan menyediakan 50 juta ringgit antaranya untuk:

Pertama: melaksanakan pembangunan dan pengkomersialan nanoteknologi di bawah NanoMalaysia Berhad dengan peruntukan 16 juta ringgit;

Kedua: memacu inovasi perniagaan melalui Skim insentif penyelidikan bagi perusahaan dengan peruntukan 5 juta ringgit;

Ketiga: menyediakan Dana Modal Teroka bagi membiayai melalui suntikan ekuiti dalam syarikat berteknologi tinggisektor E&E dan tenaga boleh diperbaharui dengan ketersediaan dana 10 juta ringgit; dan

Keempat: menjayakan Malaysia Techlympics 2023 bagi menyokong idea inovasi dengan peruntukan 7 juta ringgit.

Syarikat Cult Creative yang dimiliki oleh tiga usahawan wanita telah berjaya menyediakan platform rangkaian yang memadankan bakat kreatif dengan bakal majikan industri kreatif. Bagi membantu lebih banyak syarikat pemula berinovasi berjaya di peringkat antarabangsa, Cradle Fund sebagai agensi penyelaras ekosistem startup Malaysia akan disediakan peruntukan 50 juta ringgit.

Ekosistem startup sewajarnya bukan sahaja untuk produk komersil semata-matanya tetapi juga dapat dimanfaatkan untuk menyelesaikan isu sosial dan berkepentingan awam. Sehubungan itu, MyDigital akan menyelaras usaha di antara ekosistem startup dengan agensi Kerajaan bagi mencari penyelesaian berasaskan tekonologi kepada isu utama yang dihadapi agensi Kerajaan.

Malaysia telah melancarkan DE Rantau bagi mempromosi mobiliti profesional digital yang menyokong gaya hidup nomad. Bagi tahun 2023, DE Rantau akan menyediakan enam lokasi baharu melibatkan 2,000 Penginapan Sewa Pendek yang diperakui sebagai Hab Nomad Digital. Tahun hadapan, DE Rantau dijangka memanfaatkan 120 syarikat pemula dan akan menyumbang lebih 180 juta ringgit kepada ekonomi.

Taman Teknologi MRANTI kini dalam proses transformasi untuk menjadi hab inovasi bertaraf dunia dengan kluster seperti teknologi kesihatan dan pembuatan pintar. Bagi memulakan transformasi ini, Kerajaan menyediakan peruntukan awal 18 juta ringgit. Di samping itu, MRANTI juga akan menerajui usaha selaku badan pengiktirafan barangan, perkhidmatan dan teknologi hasil R&D tempatan yang kemudiannya akan diberi keutamaan dalam Perolehan Kerajaan.

Fokus 3: Sektor Komoditi

Tan Sri Yang di-Pertua,

Secara keseluruhan sektor agrikomoditi menyumbang 20.4 bilion ringgit kepada KDNK suku kedua 2022. Bagi tahun 2023, Kerajaan memperuntukkan 2.6 bilion ringgit kepada FELDA, FELCRA dan RISDA sebagai antara agensi utama yang mengawal selia aktiviti komoditi.

Dasar Agrikomoditi Negara 2030 menyasarkan kawasan bertanam getah sekurang-kurangnya 1.1 juta hektar menjelang 2030. Bagi mencapai sasaran ini, sejumlah 315 juta ringgit disediakan untuk melaksanakan Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil bagi menggantikan pokok getah tua yang tidak lagi berhasil untuk manfaat 387 ribu pekebun kecil.

Selain itu, Program Pembangunan Semula Hasil Baharu turut dilaksanakan bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu selain getah seperti tanaman makanan jangka pendek dengan peruntukan 40 juta ringgit.

Program Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah berjaya meliputi 98 peratus kawasan penanaman sawit. Kerajaan menyediakan 70 juta ringgit bagi terus menambah baik tahap kelestarian industri sawit, termasuk menggalakkan kitaran semula bahan sisa sawit. Kerajaan juga akan mempergiat usaha mempromosi dan Kempen Menangani Antiminyak Sawit di peringkat global.

Levi pekerja asing pelbagai peringkat atau multi-tiered levy disasarkan untuk dilaksanakan menjelang 2023. Melalui pendekatan tersebut, syarikat dengan bilangan pekerja asing tinggi seperti sektor perladangan dan pembinaan akan dikenakan kadar levi lebih tinggi. Kerajaan bercadang menyalur semula hasil levi tambahan untuk menyokong majikan membiayai inisiatif automasi. Dengan itu, dasar ini memberi insentif dan membantu majikan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Fokus 4: Barangan Tempatan

Dalam menggalakkan penghasilan dan pembelian barangan dan perkhidmatan tempatan, Kerajaan akan:

Pertama: mempergiat usaha pendigitalan dan automasi antaranya melalui galakan aktiviti e-dagang di bawahMATRADE, MARA dan MDEC dengan peruntukan 59 juta ringgit;

Kedua: memperkasa usahawan francais di bawah program pembangunan kapasiti vendor 2.0 dan geran penyelidikan dan pengkomersialan vendor 2.0 dengan peruntukan 15 juta ringgit; dan

Ketiga: menggalakkan pembelian produk buatan tempatan melalui Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dengan peruntukan 10 juta ringgit.

Fokus 5: Sektor Kreatif

Tan Sri Yang di-Pertua,

Penerbitan filem berunsur patriotik sentiasa menambat hati rakyat. Bermula dengan karya seni Sarjan Hassan dan Leftenan Adnan yang digarap hebat, hinggalah ke filem Ola Bola dan Mat Kilau, semuanya memberi impak dalam mencambahkan benih cinta rakyat kepada negara.

Kejayaan Mat Kilau dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pastinya mendorong lebih ramai pengkarya menerbitkan filem seperti ini. Maka, Kerajaan akan menyediakan 50 juta ringgit sebagai Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) bagi memacu industri kreatif tempatan.

Kerajaan juga menyediakan Dana Kandungan Digital berjumlah 102 juta ringgit bagi memasarkan produk penggiat seni dan menggalakkan penghasilan lebih banyak karya kreatif dan malar segar.

Bagi menyokong penggiat industri mencipta kandungan kreatif berkualiti tinggi, sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah FINAS akan diberi potongan cukai. Kerajaan juga bersetuju mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran.

Malaysia amat kaya dengan seni dan budaya. Bagi mengelakkan khazanah seni menjadi lapok dan ditelan zaman apabila tiada lagi anak bangsa mewarisinya, Kerajaan akan mempergiat Program Merakyatkan Seni, Budaya dan Warisan di peringkat akar umbi dengan peruntukan25 juta ringgit.

Fokus 6: Industri Sukan

Tan Sri Yang di-Pertua,

Tahun ini telah memahat sejarah sukan yang amat membanggakan. Jalur Gemilang berkibar megah di seluruh dunia. Kejayaan paling besar pastinya pengakhiran 45 tahun untuk bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia melalui pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia – Soh Wooi Yik. Tahniah kami ucapkan dan terima kasih kepada semua wira negara yang telah mengharumkan nama Malaysia.

Melihatkan kepada pentingnya program latihan dan fasiliti sukan yang terbaik, sejumlah 332 juta ringgit disediakan antaranya:

Pertama: 145 juta ringgit untuk menyelenggara, menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh negara;

Kedua: 154 juta ringgit bagi menjayakan pembangunan ekosistem sukan yang menyeluruh melalui pencarian bakat baharu, program latihan, kelengkapan fasiliti sukan, hinggalah membawa negara ke podium sukan antarabangsa;

Ketiga: 20 juta ringgit bagi membuka peluang belia terlibat dalam sukan permotoran di platform yang betul melalui pembangunan litar drag;

Keempat: 13 juta ringgit untuk pembangunan e-sukan; dan

Kelima: potongan cukai bagi mereka yang menyumbang kepada NGO yang terlibat dalam pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

Kepada atlet para negara – kalian sentiasa memberi inspirasi. Kami turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet para negara yang berjaya menggenggam 36 emas di Sukan Para ASEAN. Bagi melahirkan lebih ramai atlet para bertaraf antarabangsa, 12 juta ringgit disediakan khusus untuk pembangunan sukan OKU.

Kebajikan atlet akan terus terpelihara. Kerajaan akan menyediakan peruntukan 5 juta ringgit kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) untuk tahun 2023 dan selanjutnya.

Hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi menunjukkan, satu daripada dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan. Kita juga kekal juara sebagai negara paling obes di Asia Tenggara. Ini adalah satu isu kesihatan awam yang perlu diambil berat. Kerajaan akan terus memupuk gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat dengan peruntukan 15 juta ringgit.

Esok ialah Hari Sukan Negara. Jadi Kerajaan menyerulah seluruh Keluarga Malaysia untuk luangkan sedikit masa beriadah demi memupuk gaya hidup lebih sihat. Pada tahun hadapan, Kerajaan menyediakan 10 juta ringgit untuk meneruskan Hari Sukan Negara dan Jelajah Fit Malaysia.

STRATEGI 2: PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR NEGARA

Tan Sri Yang di-Pertua,

Sungguhpun kita berhadapan dengan kekangan fiskal, Kerajaan percaya melalui pembangunan infrastruktur, ia akan menyokong pembangunan negara dengan lebih terangkum dan mengurangkan jurang di antara wilayah.

Fokus 1: Peruntukan Pembangunan Terbesar

Bajet 2023 menyediakan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan sebanyak 95 bilion ringgit iaitu yang terbesar pernah disediakan dan meningkat dengan ketara berbanding peruntukan 2022 sebanyak

75.6 bilion ringgit dan 2021 sebanyak 64 bilion ringgit.

Fokus 2: Projek Pembangunan Utama

Daripada jumlah tersebut, 16.5 bilion ringgit disediakan bagi sektor pengangkutan melalui projek infrastruktur utama terutamanya

Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Kereta Api Berkembar Gemas-Johor Bahru, ECRL, RTS Link dan Central Spine Road.

Insya-Allah, jajaran Pan Borneo Negeri Sarawak dijangka siap sepenuhnya untuk manfaat rakyat Sarawak dan Pan Borneo Negeri Sabah pula akan siap menjelang 2024.

Bagi meningkatkan kualiti penyampaian serta menyediakan persekitaran yang kondusif, Kerajaan turut mengutamakan keperluan pembaikan dan penyelenggaraan aset termasuk jalan raya Persekutuan serta bangunan Kerajaan dengan peruntukan 11.4 bilion ringgit.

Fokus 3: Projek Strategik

Kini, projek Mass Rapid Transit (MRT) 2 Fasa 2 melibatkan stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral telah hampir siap dan dijangka mula beroperasi pada Januari 2023 untuk manfaat penduduk Lembah Klang.

Berhubung projek MRT3 pula, ia merupakan komitmen Kerajaan melengkapkan rangkaian rel Kuala Lumpur dengan jajaran sepanjang

50.8 kilometer. MRT3 Fasa 1 dijangka siap pada tahun 2028 manakala Fasa 2 pada tahun 2030. Projek ini melibatkan kos 50.2 bilion ringgit dengan unjuran perbelanjaan tahun 2023 sebanyak 3.3 bilion ringgit.

STRATEGI 3: PEMBANGUNAN INKLUSIF

Tan Sri Yang di-Pertua,

Demi sejahtera Keluarga Malaysia, Bajet 2023 menyokong pembangunan yang inklusif.

Fokus 1: Syiar Islam

Semestinya, agenda memartabatkan syiar Islam akan terus diutamakan. Di bawah Jabatan Perdana Menteri, sejumlah 1.5 bilion ringgit disediakan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.

Bagi tahun 2023, Kerajaan menyediakan 150 juta ringgit untuk menyelenggara fasiliti pendidikan di bawah seliaan JAKIM antaranya sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz dan institusi pondok berdaftar.

Setiap tahun, Kerajaan menyediakan hampir 700 juta ringgit sebagai bayaran elaun bulanan kepada imam, guru KAFA dan guru Takmir. Mereka berperanan besar dalam mendidik anak-anak kita dan mengimarah islam di peringkat komuniti. Maka, Kerajaan bersetuju untuk memberikan bayaran khas one-off 500 ringgit kepada guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut. Seramai 72 ribu orang akan menerima manfaat dengan peruntukan 36 juta ringgit.

Industri halal Malaysia diunjur dalam RMK-12 akan menyumbang 8.1 peratus kepada KDNK dan menjana 56 bilion ringgit pendapatan eksport menjelang tahun 2025. Untuk menyemarakkan pembangunan industri halal, 92 juta ringgit disediakan antaranya untuk:

Pertama: meneruskan Projek Pembangunan Pusat Hab Halal Tanjung Manis, Sarawak yang dijangka siap pada tahun depan dengan peruntukan 59 juta ringgit;

Kedua: melaksanakan program Malaysia Services and Halal Global bagi mempromosi produk halal di pasaran global dengan peruntukan 8 juta ringgit;

Ketiga: melaksanakan inisiatif pembangunan industri halal bagi meningkatkan pematuhan pensijilan halal dan mengadaptasi inovasi halal dengan peruntukan 6.5 juta ringgit; dan

Keempat: memperkenalkan Wakaf Halal PKS OKU bagi melaksanakan program onboarding kepada OKU yang ingin menceburi bidang perniagaan halal dengan peruntukan 2.5 juta ringgit.

Fokus 2: Infrastruktur Luar Bandar

Tan Sri Yang di-Pertua,

Bagi memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar, kemudahan infrastruktur akan terus ditambah baik. Bagi tahun 2023, sejumlah 2.55 bilion ringgit disediakan dengan tumpuan kepada Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan projek berikut:

Pertama: Projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa hampir 500 kilometer berjumlah 1.5 bilion ringgit untuk manfaat lebih 110 ribu penduduk antaranya dari Kampung Orang Asli Bawong Kuala Kangsar ke Rancangan Penempatan Semula Kemar, Perak;

Kedua: Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar dengan peruntukan sebanyak 472 juta ringgit untuk memanfaatkan penghuni 2,100 buah rumah;

Ketiga: Projek Bekalan Air Luar Bandar dan Bekalan Air Alternatif berjumlah 381 juta ringgit bagi manfaat penghuni 4,800 buah rumah antaranya di Ladang RISDA Palong di Jempol, Negeri Sembilan;

Keempat: Projek Lampu Jalan Kampung melalui pemasangan baharu 6,800 unit lampu dan penyelenggaraan dengan peruntukan sebanyak 123 juta ringgit; dan

Kelima: Kerja-kerja awalan bagi membina 85 jambatan baharu untuk menggantikan jambatan yang uzur serta tidak selamat dengan peruntukan berjumlah 54 juta ringgit.

Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) akan ditingkatkan kepada 5.2 bilion ringgit. Dalam usaha mengoptimum peruntukan ini, skop MARRIS akan diperluas untuk merangkumi kerja penyelenggaraan jalan pertanian negeri di bawah seliaan lembaga kemajuan pertanian. Kerajaan negeri juga dibenar untuk menggunakan peruntukan MARRIS bagi membaiki dan mengganti jalan, jambatan dan longkang yang rosak akibat bencana banjir selain terus membenarkan penggunaan sehingga 20 peratus dana MARRIS untuk penyelenggaraan luar skop.

Setakat Julai 2022, inisiatif Bank Bergerak yang melibatkan enam buah bank dengan 15 buah kenderaan diubah suai telah melakukan lebih 36 ribu transaksi antaranya di Mukah Sarawak, Kota Setar Kedah dan Batu Sapi Sabah. Kerajaan akan terus mengembangkan inisiatif ini untuk manfaat penduduk pedalaman dengan peruntukan 11 juta ringgit.

Fokus 3: Pembangunan Antara Wilayah

Tan Sri Yang di-Pertua,

Sabah dan Sarawak akan terus meraih manfaat besar daripada peruntukan pembangunan negara iaitu masing-masing sebanyak 6.3 bilion ringgit dan 5.4 bilion ringgit. Peruntukan ini antaranya untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan.

Lima Wilayah Koridor utama negara akan menerima peruntukan keseluruhan 1.4 bilion ringgit iaitu meningkat dua kali ganda berbanding 690 juta pada tahun ini. Tahun hadapan, program utama yang dilaksanakan termasuklah:

Pertama: Projek Ladang Tenusu di Chuping, Perlis dengan kos 80 juta ringgit;

Kedua: Program Pembangunan Modal Insan di bawah ECERDC antaranya bagi meningkatkan prestasi akademik anak- anak B40 dengan peruntukan 63 jutaringgit;

Ketiga: Sistem Pengangkutan Bas Rapid Transit di Johor dengan peruntukan 80 juta ringgit;

Keempat: Pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay di Sabah dengan peruntukan 250 juta ringgit; dan

Kelima: Projek Infrastruktur Bekalan Air Samalaju Fasa 3 di Sarawak dengan peruntukan 100 juta ringgit.

Bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi koridor, pakej galakan cukai sedia ada yang akan tamat pada tahun ini akan ditambah baik dan dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi.

Pertumbuhan ekonomi di utara akan terus dipacu melalui projek Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Delapan di Bukit Kayu Hitam, Kedah. Kerajaan berhasrat untuk membangunkan hab lalu lintas digital dan pusat data alternatif bagi rantau Asia Tenggara di kawasan seluas 200 ekar di SBEZ Delapan. Tahun hadapan, 25 juta ringgit disediakan untuk menyediakan infrastruktur utama di samping sektor swasta pula akan melabur aset perniagaan dengan potensi pelaburan domestik sehingga 4 bilion ringgit dan menyediakan lebih 600 peluang pekerjaan.

Kerajaan merancang untuk membangunkan bandar-bandar yang bersempadan dengan Thailand dan Kalimantan, Indonesia antaranya di Bukit Kayu Hitam Kedah, Kalabakan Sabah serta Tebedu dan Bakelalan, Sarawak dengan kos 150 juta ringgit. Kerajaan bercadang untuk memulakan kerja awalan bagi pembinaan jalan baharu dari Kalabakan Sabah ke Simanggaris Indonesia dan menaik taraf Jalan Serian-Tebedu Sarawak ke sempadan Indonesia.

Fokus 4: Projek Kecil & Sederhana

Tan Sri Yang di-Pertua,

Perolehan Kerajaan memainkan peranan penting sebagai pengganda tinggi kepada ekonomi. Untuk tahun 2023, Kerajaan akan menyediakan 3.7 bilion ringgit bagi melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana di seluruh Malaysia.

Ini termasuklah 500 juta ringgit yang dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 antaranya bagi melaksanakan penyelenggaraan bagi jalan persekutuan, titi dan jambatan kecil, rumah ibadat serta infrastruktur yang rosak akibat banjir.

Bagi menyokong kontraktor Bumiputera, Kerajaan akan menyediakan pembiayaan jangka pendek kepada kontraktor Bumiputera yang terlibat dalam bidang seperti elektrikal dan pembinaan melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPIKE) dengan dana 20 juta ringgit.

Kerajaan juga akan melaksanakan inisiatif Kontraktornita bagi menyokong penyertaan lebih ramai kontraktor wanita Bumiputera dalam perolehan Kerajaan. Sebanyak 50 juta ringgit nilai projek-projek kecil akan dikhususkan kepada kontraktor wanita kelas G1 hingga G4.

Fokus 5: Jaringan Digital

Tan Sri Yang di-Pertua,

Di bawah projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2, Kerajaan akan menyediakan 100 peratus liputan internet di kawasan berpenduduk dan menyediakan liputan gentian optik kepada 9 juta premis di seluruh negara menjelang 2025.

Inisiatif ini melibatkan jumlah pelaburan sebanyak 8 bilion ringgit termasuk sumbangan pihak industri. Bagi tahun 2023, inisiaitif JENDELA akan disediakan 700 juta ringgit untuk melaksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 buah sekolah.

Tenaga Nasional Berhad juga akan merintis pelaksanaan Projek Internet Luar Bandar dengan mengoptimumkan jaringan kabel elektrik untuk menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi. Projek ini akan memanfaatkan lebih 60 ribu penduduk luar bandar dan disokong melalui geran sepadan sebanyak 25 juta ringgit.

Bagi tahun 2023, Digital Nasional Berhad (DNB) akan memperluas rangkaian 5G di seluruh negara merangkumi 70 peratus kawasan berpendudukan tinggi. DNB merancang untuk melaksanakan perbelanjaan infrastruktur bernilai 1.3 bilion ringgit dalam tahun 2023. Keluarga Malaysia juga bakal menikmati kelajuan internet lebih pantas dan capaian internet 5G yang lebih murah.

STRATEGI 4: PEMBANGUNAN MAMPAN

Tan Sri Yang di-Pertua,

Seperti yang diutarakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York baru-baru ini, kita perlu segera mempergiat usaha pembangunan mampan dalam menangani krisis pemanasan global.

Fokus 1: Komitmen Karbon Neutral 2050

Kerajaan komited untuk mencapai pelepasan gas rumah kaca bersih sifar seawal-awalnya pada tahun 2050. Bagi menyokong aspirasi ini, kita tidak boleh lagi meneruskan sikap business as usual.

Kesihatan planet atau planetary health perlu diambil kira dalam agenda pembangunan negara. Sehubungan dengan itu, Kerajaan telah membentangkan Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022 Fasa 1 yang antara lain meningkatkan hukuman, denda dan penalti kepada pesalah alam sekitar.

Bagi menggalakkan pelaburan hijau, Kerajaan mencadangkan melanjutkan tempoh permohonan insentif Green Investment Tax Allowance (GITA) dan Green Income Tax Exemption (GITE) hingga 31 Disember 2025 dengan menambah baik tempoh galakan dari 3 kepada 5 tahun bagi aktiviti hijau yang layak sebagai contoh aktiviti solar beserta Battery Energy Storage System.

Selain itu, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) turut akan ditambah baik dengan:

Pertama: nilai jaminan dinaikkan kepada 3 bilion ringgit sehingga tahun 2025;

Kedua: skop pembiayaan diperluas khususnya kepada sektor EV dengan had jaminan sehingga 60 peratus; dan

Ketiga: pembiayaan sektor sisa akan ditingkatkan tahap jaminannya kepada 80 peratus.

Sebagai pinjaman mudah, BNM akan menyediakan 1 bilion ringgit di bawah Dana Pembiayaan Teknologi Tinggi dan Hijau bagi menyokong syarikat pemula teknologi lestari yang inovatif dan 1 bilion ringgit di bawah Dana Pembiayaan Peralihan Karbon Rendah untuk membantu syarikat PKS menerap amalan rendah karbon.

Melalui Dana Impak, Khazanah akan menyediakan 150 juta ringgit bagi merancakkan pembangunan projek mesra alam termasuk menyokong pasaran karbon dan restorasi hutan terosot.

Selari dengan iltizam ini, GENTARI sebuah anak syarikat PETRONAS telah ditubuhkan sebagai peneraju tenaga bersih. Sebagai permulaan, GENTARI komited untuk memasang panel solar di kemudahan Kerajaan dan komersial menjelang 2024 dengan kapasiti PV kumulatif 3 megawatt dan menyediakan 500 unit kemudahan pengecasan EV di seluruh negara.

Menyambut usaha yang sama, Tenaga Nasional Berhad turut komited untuk memasang rooftop solar serta menyediakan kemudahan pengecasan EV dengan pelaburan 165 juta ringgit sehingga tahun 2025.

Selanjutnya, sebagai langkah berterusan menyokong penggunaan EV, Kerajaan bercadang untuk memberi:

Pertama: pengecualian duti import dan eksais ke atas EV jenis CBU import dilanjutkan sehingga 31 Disember 2024;

Kedua: pengecualian fi Approved Permit (AP) bagi pengimportanEV sehingga 31 Disember 2023; dan

Ketiga: pengilang peralatan pengecasan EV diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2032 dan Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus.

Bagi menyokong usaha Pulau Tuba di Langkawi, Kedah sebagai pulau rendah karbon pertama di Malaysia, Kerajaan akan memberikan rebat jualan sehingga 4,000 ringgit kepada pengusaha motosikalsewa yang menggantikan motosikal sedia ada kepada motosikal elektrik.

Kerajaan menyasarkan pelaksanaan perolehan hijau Kerajaan sebanyak 25 peratus menjelang tahun 2025. Bagi menyokong hasrat ini, pelaksanaan perolehan hijau Kerajaan yang akan diperluas kepada Kerajaan Negeri dan PBT.

Program kitar semula produk plastik amat penting dalam memastikan kelestarian alam sekitar. Bagi meningkatkan pengumpulan sisa plastik, pihak yang membuat sumbangan atau penajaan peralatan Smart AI-Driven Reverse Vending Machine layak mendapat potongan cukai pendapatan.

Kerajaan berhasrat memperkenalkan cukai karbon dan akan mengkaji kebolehlaksanaan mekanisme penetapan harga karbon. Bagi menyokong pelaksanaan mekanisme ini, Kerajaan akan menyediakan

10 juta ringgit secara geran padanan untuk membantu penyediaan penilaian karbon bagi syarikat PKS serta produk-produk berkaitan yang layak.

Fokus 2: Kelangsungan Biodiversiti

Tan Sri Yang di-Pertua,

Kawasan perlindungan menyimpan khazanah biodiversiti yang tidak ternilai dan sekiranya tidak dipelihara, akan menjejaskan ekosistem alam dan agenda pembangunan mampan.

Alhamdulillah, hasil keringat 7,000 peserta berdaftar, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok menjelang 2025 telah berjaya menanam lebih 46 juta pokok terdiri daripada lebih 1,300 spesies. Kerajaan juga akan terus mempergiat projek restorasi hutan bagi menanam anak-anak pokok antaranya di kawasan Hutan Simpan Wilayah Perhutanan Sandakan, Sabah.

Meskipun perkembangan ini baik, namun, aktiviti yang memberi impak kepada khazanah alam perlu segera dikawal. Ini termasuklah pembalakan haram dan pembalakan besar-besaran serta penjualan hidupan yang dilindungi termasuklah juga telur penyu.

Maka, bagi menyokong usaha yang diambil kerajaan negeri dalam mengurus dan meningkatkan keluasan kawasan perlindungan flora dan fauna, Kerajaan akan meningkatkan peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) kepada 100 juta ringgit setahun iaitu penambahan sebanyak 30 juta ringgit.

Untuk memastikan hidupan liar dan habitat hutannya terus terpelihara, Kerajaan memperuntukkan 36 juta ringgit bagi program perlindungan harimau, gajah dan spesies liar lain.

Dengan meningkatkan peruntukan kepada 39 juta ringgit, bilangan renjer komuniti yang mengawal biodiversiti kawasan hutan akan ditingkatkan daripada 800 kepada 1,000 renjer dan digajikan dari kalangan komuniti tempatan khususnya orang asli dan veteran.

Bagi memperbaik, membersih dan merawat sungai di seluruh negara, sejumlah 216 juta ringgit disediakan untuk melaksanakan projek pemuliharaan antaranya di Muara Sungai Merang, Terengganu dan Muara Sungai Perak.

Fokus 3: Komuniti Lestari

Tan Sri Yang di-Pertua,

Kerajaan telah bekerjasama rapat dengan Yayasan Hasanah sejak bermulanya COVID-19. Hasil kerjasama ini, ia telah berjaya mengendalikan 177 projek melibatkan 125 perusahaan sosial dan NGO dan telah memanfaatkan seramai 1.2 juta rakyat yang terkesan.

Maka, bagi memperkukuh kerjasama ini, sebanyak 100 juta ringgit akan disediakan kepada Yayasan Hasanah untuk menerajui usaha di peringkat komuniti seperti menjana pendapatan, memastikan tiada yang ketinggalan dalam pendidikan dan mengiatkan program pemeriksaan kesihatan.

Ke arah memperkasa komuniti sebagai penggerak agenda kelestarian, Kerajaan juga menyediakan 20 juta ringgit kepada UNDP dan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi memperbanyak aktiviti program-program berkaitan SDG secara usahasama di antara Kerajaan, masyarakat setempat serta industri.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ialah suri teladan buat kita semua kerana beliau berbangga memberi mesej tegas di pentas dunia dengan bahasa Melayu. Maka, memperkasa bahasa Melayu, Kementerian Luar Negeri disediakan 5 juta ringgit untuk berkolaborasi dengan agensi berkaitan bagi melaksanakan Program Diplomasi Bahasa dan Budaya ke arah pengantarabangsaan khazanah negara ini.

Di samping Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Kerajaan turut menyokong usaha untuk meraikan kepelbagaian di Malaysia dan memelihara pelbagai bahasa dan budaya lain khususnya di peringkat komuniti seperti Kadazan Dusun dan Siam dengan peruntukan 10 juta ringgit.

Beg yang saya gunakan hari ini untuk membawa buku ucapan Bajet 2023 ialah hasil penenun Sarawak daripada Tanoti sebuah Perusahaan Sosial di Sarawak. Corak tenunan songket pada beg ini melambangkan enam suku kaum utama di Sarawak, iaitu Orang Ulu, Melayu, Bidayuh, Iban, Melanau dan Cina. Kepelbagaian motif tersebut bergabung untuk menghasilkan beg yang menarik ini.

Sama juga dengan kepelbagaian latar belakang kita di Malaysia, jika digarap dan digabung akan membentuk Keluarga Malaysia yang kukuh dan harmoni. Kami berharap Bajet 2023 ini sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada mengeratkan talian antara ahli Keluarga Malaysia, membantu semua yang perlu dan menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara.

PENUTUP

Tan Sri Yang di-Pertua dan sekalian Keluarga Malaysia,

Kini sampailah kita di hujung pembentangan Bajet 2023 ini. Alhamdulillah, tugas ini sudah hampir usai, amanah yang digalas dekat terlaksana.

Setahun dua yang lalu, negara diselubungi seribu kebimbangan dan ketidaktentuan. Kita telah menyaksikan pelbagai perit jerih demi kelangsungan rakyat dan peniaga. Hari ini, jalan raya kota kembali sesak dengan urusan warga kerja; anak-anak kembali girang berlari-lari di laman sekolah; di pintu-pintu sempadan kita, berpusu-pusu pelawat keluar dan masuk ke tanah air.

Kini, cabaran faktor-faktor global luaran pula timbul, namun Kerajaan tidak mengerti erti lelah, dan AKAN TERUS NEKAD untuk menjadi dahan teguh bagi pautan rakyat yang memerlukan.

Bajet 2023 ini diharap dapat menjadi penawar seterusnya kepada pelbagai keperihan yang dialami rakyat buat masa ini. Moga-moga ia dapat terus menyerlahkan jalan ke hari esok, di mana Insyallah, menanti masa depan yang lebih cerah.

Kepada ahli-ahli Yang Berhormat, saya menyeru: marilah sama mendokong Bajet ini... di bawahnya berteduh impian... terpancar harapan... lebih 32 juta rakyat Malaysia... itulah natijahnya, kini lah momennya, ini lah Bajet 2023.

Kepada-Mu Ya Allah, kami tawakal dan berdoa. Semoga Keluarga Malaysia, Makmur Bersama. Tan Sri Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.