Sumber Maklumat Terkini

30 Oktober 2022

Tragedi Halloween di Seoul seperti 'permainan domino'

 


Sekurang-kurangnya 151 orang terbunuh dan 156 lain cedera dalam rempuhan maut di Itaewon, Seoul, selepas sekumpulan besar anak muda yang menyambut pesta Halloween terperangkap dan tersepit di lorong sempit.

Pekerja kecemasan dan pejalan kaki dilihat giat melakukan bantuan pernafasan ke atas mangsa yang terbaring selepas dihempap ​​di daerah ibu kota Itaewon, malam tadi.

Ketua jabatan bomba Yongsan Seoul, Choi Seong-beom, berkata angka kematian mungkin meningkat dan jumlah mangsa yang cedera dan berada dalam keadaan kritikal masih belum dapat dipastikan.

Dianggarkan seramai 100,000 orang berkumpul di Itaewon untuk sambutan Halloween yang terbesar dan diadakan di kawasan terbuka sejak pandemik bermula.

Ia selepas kerajaan Korea Selatan melonggarkan sekatan COVID-19 dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Itaewon adalah kawasan berhampiran bekas ibu pejabat tentera Amerika Syarikat (AS) di Korea Selatan sebelum berpindah pada 2018 dan merupakan kawasan mesra ekspatriat yang terkenal dengan bar, kelab dan restoran terkini.

Setakat ini, masih belum dapat dipastikan apa yang menyebabkan orang ramai memasuki lorong menuruni bukit yang sempit berhampiran Hotel Hamilton.

Seorang mangsa yang terselamat berkata orang ramai mula jatuh dan menghempap satu sama lain "seperti permainan domino" selepas ditolak.

Mangsa yang terselamat dan dikenali sebagai Kim, berkata mereka terperangkap selama kira-kira satu setengah jam sebelum diselamatkan.

Kebanyakan mereka mula menjerit meminta pertolongan, manakala sebahagian lain mengalami sesak nafas, menurut akhbar Hankyoreh.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Lee Chang-kyu, berkata beliau melihat kira-kira lima hingga enam lelaki saling menolak antara satu sama lain sebelum seorang atau dua mula terjatuh.

Menurut seorang pengunjung ke Itaewon, Hwang Min-hyeok, beliau terkejut melihat deretan mayat berhampiran hotel.

Katanya, pekerja kecemasan pada mulanya panik, menyebabkan pejalan kaki yang berada di kawasan itu bergelut untuk memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa yang cedera.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, berkata beliau berjaya mengelak daripada dipijak dengan bertindak masuk ke dalam sebuah bar yang pintunya terbuka di lorong itu.

Seorang wanita berusia 20-an dikenali sebagai Park, berkata beliau dan yang lain berdiri di tepi lorong manakala mereka yang terperangkap di tengah lorong tidak dapat melarikan diri.

Ketua bomba, Choi, berkata mayat dihantar ke hospital atau gim, di mana ahli keluarga dapat mengenal pasti mangsa.

Katanya, kebanyakan mangsa yang maut dan cedera berusia dalam lingkungan 20-anPerdana Menteri Britain, Rishi Sunak dalam ciapannya di Twitter, berkata "berita mengerikan dari Seoul malam ini.

"Ingatan kami bersama mereka yang sedang memberi tindak balas kepada situasi itu dan semua rakyat Korea Selatan pada saat yang menyedihkan ini," katanya.

Kali terakhir Korea Selatan berdepan insiden maut membabitkan golongan muda adalah pada April 2014.

Seramai 304 orang, kebanyakannya pelajar sekolah menengah, maut dalam insiden feri karam.

Insiden mendedahkan kegagalan dan kelonggaran peraturan keselamatan dan sebahagiannya disalahkan kepada kargo yang berlebihan dan diikat dengan teruk selain kru yang kurang terlatih untuk berdepan situasi kecemasan.

Ia juga adalah bencana besar kedua di Asia dalam tempoh sebulan.

Pada 1 Oktober lalu, polis di Indonesia melepaskan gas pemedih mata pada perlawanan bola sepak, menyebabkan rempuhan yang mengorbankan 132 orang ketika penonton cuba melarikan diri.

Tragedi malam tadi juga adalah bencana paling dahsyat dalam sejarah Korea Selatan. Pada 2005, 11 orang terbunuh dan kira-kira 60 yang lain cedera dalam konsert pop di selatan bandar Sangju. 

Sumber : AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.