Sumber Maklumat Terkini

19 Oktober 2022

Usahawan PKS boleh mohon Dana Permodalan Semula



Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) boleh memohon Dana Permodalan Semula PKS bernilai RM600 juta yang diumumkan kerajaan sewaktu Pembentangan Bajet 2023.

Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Tan Sri Noh Omar berkata, tiga agensi dipilih sebagai pelaksana terdiri dari SME Bank, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Bank Simpanan Nasional Bhd (BSN).

Menurutnya, sebagai langkah menyokong pembangunan semula usahawan PKS, Kuskop turut menyediakan dana sebanyak RM4 juta bagi membolehkan usahawan yang layak mengikuti Program Ekuiti Malaysia sebagai keperluan bagi memohon Dana Permodalan Semula PKS.

Katanya, Kuskop mensasarkan sehingga 650 buah syarikat akan menerima manfaat daripada program ini menggunakan teknologi Aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) melalui aplikasi Enterprise Lifecycle Scoring Assessment (ELSA).

"Dana ini menawarkan pelaburan ekuiti sehingga RM5 juta untuk setiap usahawan yang layak dengan tempoh bayaran balik sehingga lima tahun dengan kadar dividen sebanyak enam peratus setahun, "katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Ketua Setiausaha Kuskop, Datuk Suriani Ahmad.

Dana Permodalan Semula PKS itu diperuntukkan kepada SME Bank berjumlah RM200 juta, Teraju (RM300 juta) dan BSN RM100 juta.

Noh berkata, proses permohonan boleh dibuat melalui tiga agensi terbabit dan proses permohonan diadakan selama 30 hari dengan dokumen lengkap yang disertakan usahawan.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan dana ini akan habis dipohon pada suku pertama tahun depan dan menyeru usahawan PKS agar segera membuat permohonan.

Katanya, melalui pelaburan dana ini usahawan PKS dapat menstruktur semula keperluan kewangan perniagaan serta membolehkan mereka memberi tumpuan kepada aspek penawaran produk, peningkatan perkhidmatan serta membantu mengembangkan perniagaan.

"Kerjasama yang diadakan bersama SME Bank, BSN dan Teraju ini adalah sesuatu yang patut dibanggakan dan diteruskan oleh semua agensi lain, "katanya.

Sumber : Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.