Sumber Maklumat Terkini

23 November 2022

Agong rujuk Majlis Raja-Raja proses buat keputusan lantikan PM

 


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, melaksanakan tugas baginda sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan negara apabila mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara esok berkaitan pembentukan Kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri ke-10.

Penganalisis politik merangkap pengamal undang-undang, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata Al-Sultan Abdullah melaksanakan tugas baginda bagi tujuan pelantikan Perdana Menteri mengikut kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, berdasarkan peruntukan mengikut Perkara 43(2)(a) menetapkan dua syarat lantikan Perdana Menteri.

"Pertama, seseorang itu hendaklah ahli Dewan Rakyat, maksudnya seseorang itu memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU).

"Kedua, seseorang itu hendaklah pada hemat Yang di-Pertuan Agong mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

"Dengan kata lain, Yang di-Pertuan Agong perlu berkeyakinan dalam keputusan baginda bahawa seseorang itu mempunyai 'kepercayaan' majoriti Ahli Dewan Rakyat," katanya.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu akan diadakan esok di Istana Negara sebagai usaha Al-Sultan Abdullah merungkai kemelut pembentukan kerajaan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin, berkata perbincangan khas itu bertujuan membolehkan Al-Sultan Abdullah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10.

Katanya, perbincangan dengan Raja-Raja Melayu itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap wakil pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pagi tadi.

Shamsuddin berkata, urusan perbincangan Majlis Raja-Raja itu supaya baginda mendapat pandangan semua pihak dalam pertimbangannya berhubung pelantikan Perdana Menteri.

"Perlu diingat ketika ini tiada Perdana Menteri dan Kabinet yang dapat menasihatkan baginda, maka Yang di-Pertuan Agong perlukan nasihat orang yang berwibawa termasuk Majlis Raja-Raja supaya baginda menjalankan tugas mengikut ketetapan dan berperlembagaan.

"Satu perkara yang kita kena ingat, baginda adalah sebahagian daripada Majlis Raja-raja," katanya.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong perlu mendapatkan sebanyak maklumat sebelum membuat keputusan atas budi bicara baginda.

Sementara itu, pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, perbincangan khas dengan Majlis Raja-Raja adalah sebahagian proses membuat keputusan bagi pelantikan Perdana Menteri.

Katanya, keputusan Yang di-Pertuan Agong bukan tertakluk kepada keputusan Majlis Raja-Raja kerana dalam memilih dan melantik Perdana Menteri, perkara itu adalah tugas baginda seperti termaktub dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Ini kerana keputusan Yang di-Pertuan Agong itu mencerminkan kehendak dan aspirasi Majlis Raja-Raja kerana baginda pada asalnya daripada Majlis Raja-Raja itu.

"Keputusan baginda akan refleksi kepada kehendak Raja-raja Melayu keseluruhan, Majlis Raja-Raja sememangnya mempunyai pengaruh besar, sebab itu baginda merujuk untuk mendapat maklum balas dan supaya mendapat satu bentuk ilham dalam membuat keputusan yang besar.

"Ini bukan satu yang pelik, kerana sememangnya menjadi amalan dan selalu dipraktikkan baginda termasuk dalam pengisytiharan darurat ketika COVID-16 yang juga merujuk kepada pandangan Majlis Raja-raja Melayu," katanya.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.