Sumber Maklumat Terkini

25 November 2022

Bagaimana Anwar dapat sokongan 117 ahli Parlimen

 


Perdana Menteri yang baru dilantik, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh sokongan sekurang-kurangnya 117 ahli Parlimen yang memberikannya legitimasi menjadi Perdana Menteri ke-10.

Kiraan majoriti sokongan itu dicapai sebelum Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melanjutkan tempoh masa kepada parti politik untuk membentuk kerajaan sehingga jam 2 petang semalam.

Perkenan lanjutan itu sekali gus memberikan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tambahan sekurang-kurangnya 24 jam untuk mempersembahkan jumlah sokongan masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong.

Difahamkan, selain 83 ahli Parlimennya sendiri, PH mendapat sokongan 28 ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional (BN). Dua berkecuali, tidak menyokong PH atau PN.

Seorang daripada mereka ialah ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam lima pemimpin tertinggi UMNO .

Satu-satunya ahli Parlimen Parti Bangsa Malaysia (PBM) menambah satu undi dalam perebutan sokongan.

Dua ahli Parlimen Sarawak juga telah memberikan sokongan mereka kepada PH sejak Selasa lalu.

Mereka bertanding di bawah tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Terdahulu Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Openg mengumumkan menyertai kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Anwar.

Katanya, gabungan itu 'akan menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan dengan mematuhi titah Yang Dipertuan Agong'.

Beliau berkata, menjadi hak Anwar untuk membentuk kerajaan.

Sejurus sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang media untuk mempersoalkan jumlah sokongan Anwar.

Bekas Perdana Menteri itu meminta Anwar membuktikan memiliki majoriti sokongan Ahli Parlimen, selain mempersoalkan lanjutan tarikh akhir, yang sepatutnya berakhir jam 2 petang 21 Oktober (Isnin).

Isnin lalu, Muhyiddin menyatakan beliau sudah menyerahkan akuan berkanun (SD) daripada 115 Ahli Parlimen kepada istana.

Dilaporkan pada Selasa, sejurus sebelum masa tambahan yang diberikan oleh Yang Dipertuan Agong tamat, pemimpin BN menarik balik SD mereka.

Jumlah sokongan yang sepatutnya membawa PN ke Putrajaya sepatutnya diperoleh daripada BN, GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.